KUALA TERENGGANU, Feb 10 — Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa mereka berada dalam ketakutan selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan daripada nombor yang tidak dikenali.
Adun Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Permaisuri Abdul Halim Jusoh dan Adun Ajil Datuk Rosol Wahid menyatakan demikian semasa memberikan keterangan secara berasingan di hadapan Hakim M.Bakri Abd Majid.
Mereka mengaku menerima SMS yang sama yang berbunyi: “Baik YB (Yang Berhormat) jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”
Ketiga-tiga mereka memberi keterangan pada perbicaraan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 38, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang didakwa membuat ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Adun tersebut pada April tahun lepas.
Mohd Ariffin, 57, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz @ Juned berkata beliau menerima SMS itu pada pukul 11.21 malam, pada 13 April lepas semasa menginap di Hotel Felda di sini.
Katanya beliau tidak mengetahui siapa penghatar SMS itu dan telah menghubungi Ahmad Ramzi untuk memaklumkan perkara tersebut dan Ahmad Ramzi memberitahu nombor telefon bimbit berkenaan adalah nombor Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said iaitu Wan Ahamad Wan Muda.
“Untuk pastikan kebenarannya, saya telah turun dari hotel ke tempat letak kereta untuk mengambil dairi kerajaan negeri dan saya sahkan nombor yang saya terima dengan nombor SUSK (tertera dalam diari itu) adalah sama,” katanya.
Katanya pada mulanya beliau merasa biasa sahaja sebab kini sudah kenal penghantar SMS ugutan itu tetapi setelah memikirkan senario politik di Terengganu ketika itu, barulah timbul rasa takut.
Beliau kemudian menghubungi Abdul Halim, yang juga mengatakan bahawa beliau turut menerima SMS tersebut, dan telah mengajak Abdul Halim dan Ahmad Ramzi untuk datang ke biliknya bagi membincangkan perkara itu.
Mereka juga telah menghubungi peguam Alias Abdullah untuk mendapatkan pandangannya mengenai tindakan yang mereka perlu ambil dan Alias menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis selepas meneliti SMS itu yang didakwanya mempunyai unsur jenayah, kata Adun Paka itu.
“Saya kemudiannya, bersama YB Abdul Halim Jusoh serta Ramzi, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 12.55 pagi, 14 April 2009,” katanya.
Semasa menjawab soalan peguam bela tertuduh, Datuk Hazman Ahmad, sama ada Adun Paka itu ada membalas SMS itu, Mohd Ariffin berkata beliau ada membalasnya dan kemudiannya menerima SMS berbunyi “sorry, wrong number”.
Adun Paka itu berkata beliau juga ada membuat panggilan kepada nombor berkenaan menerusi telefon bimbit milik isterinya, namun tiada jawapan.
Sementara itu, Abdul Halim pula berkata beliau terima SMS itu lebih kurang pukul 11.20 malam pada 13 April lepas semasa berada di kawasan Gong Badak dekat sini.
Adun Permaisuri, yang merupakan saksi ketiga perbicaraan itu berkata beliau terkejut apabila mendapat SMS yang berbau ugutan itu dan merasa takut kerana tidak tahu nombor telefon bimbit itu milik siapa.
Abdul Halim berkata beliau telah menghubungi Ahmad Ramzi yang merupakan kawan rapatnya dan diberitahu bahawa Mohd Ariffin juga turut menerima SMS yang sama, dan terus berjumpa Mohd Ariffin dan Ahmad Ramzi di hotel itu.
Katanya beliau turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 12.55 pagi, 14 April 2009.
Sementara Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid semasa memberi keterangan berkata berkata beliau menerima SMS itu pada pukul 11.15 malam, 13 April semasa berada di sebuah kedai makan di Kuala Berang.
Selepas mendapat SMS itu beliau menerima panggilan dari Mohd Ariffin bertanyakan sama ada beliau menerima SMS yang sama.
“Dia (Ariffin) cerita kepada saya dia terima SMS ugutan dan saya maklum kepada dia saya juga terima SMS ugutan. Cumanya nombor yang dia terima berlainan dari nombor yang saya terima. Yang nombor saya terima ialah +31234567890, lain dari dia punya dan dia maklumkan yang dia dapat SMS dari nombor SUSK Menteri Besar,” katanya menjawab pertanyaan Shahidani.
Menjawab soalan pihak peguam bela, Rosol berkata dengan keadaan suasana politik yang tidak stabil di Terengganu, maka timbul rasa takut memandangkan SUSK adalah orang yang rapat dengan Menteri Besar.
Katanya beliau membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang pada pukul 12.47 pagi, 14 April 2009. Semasa ditanya oleh peguam bela sama ada mereka akan takut jika SMS itu datang dari Ahmad Ramzi, ketiga-tiga Adun berkata sekiranya SMS itu datang dari Ahmad Ramzi mereka tidak takut kerana beliau merupakan kenalan rapat mereka.
Ahmad Ramzi dituduh pada pukul 11.21 malam 13 April tahun lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.
Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, pada tarikh, tempat dan waktu sama, dan juga terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh sama.
Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web (ownsmsbiz.com/v1) dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Shahidani dan dibantu Nor Azimon Azumi dan Ooi Chooi Geok manakala tertuduh diwakili peguam Hazman, Rosli Abd Rahman dan Mohamed Noor Mahmud manakala Alias Abdullah sebagai peguam pemerhati.
Perbicaraan bersambung 26 April. — Bernama
BEKERJA SECARA SAMBILAN ATAU SEPENUH MASA DI RUMAH
Beri sekali dapat banyak kali...
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...