Selasa, Mac 16, 2010

Kenapa rakyat perlu bosan dengan Umno


Salbiah Abdul Wahab

Kes penderaan kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini menjadi-jadi. Selepas satu kejadian dilaporkan, terdengar satu lagi kejadian. Ia seperti menjadi satu ‘pandemic’ dan trend yang boleh dianggarkan berlaku.

Beberapa cadangan dan pendekatan telah dikemukakan bagi mengatasi gejala penderaan kanak-kanak. Segala saluran dan medium digunakan bagi menunjukkan keseriusan gejala ini hendak dibenteras. Kes penderaan ini telah mencapai tahap pengetahuan maksima, iaitu dibawa ke pengetahuan Kementerian Wanita, Polis, mahkamah malahan akhbar dan media elektronik telah memainkan peranan.

Bermakna umum telah mendapat maklumat terperinci kes-kes kejadian penderaan ke atas kanak-kanak. Akhbar dan televisyen telah menceritakan dan mendedahkan gejala ini. Ditambah dengan arahan baru oleh Kementerian dan pihak berkuasa polis yang mahu dilaporkan kejadian yang serupa sekiranya anda mempunyai maklumat kejadian kes-kes penderaan.

Tetapi, kalau polis tahu, apa polis boleh buat? Mengambil contoh, dalam kejadian Makan Malam Menyambut Ulang Tahun ke-2 Pakatan Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan, bilangan polis yang ramai telah dikerah bertugas di tempat makan malam.

Polis telah mengganggu majlis aman penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di premis persendirian dan polis juga yang telah memukul beberapa pemuda yang berada di majlis tersebut. Jadi, ini adalah kes penderaan oleh polis.

Kerajaan Umno BN juga melakukan beberapa penderaan ke atas rakyat. Kerajaan Umno BN telah menjalankan dan akan mengumumkan beberapa lagi perkara-perkara penderaan ke atas rakyat, kerana memenuhi slogan 'rakyat didahulukan' dalam merasai kesempitan dan penganiayaan.

Dengan menamatkan bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat adalah satu bentuk penderaan kerajaan kepada rakyat. Menyekat bantuan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat adalah juga penderaan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri. Yang paling jelas lagi ialah sikap Kerajaan Pusat yang tidak mahu membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan adalah menifestasi penderaan kerajaan Umno BNBn kepada rakyat terbanyak.

Apa yang boleh kita setujui apabila Perdana Menteri Malaysia menyatakan ‘kejadian penderaan ke atas kanak-kanak tanda institusi rumah-tangga rapuh’. Benar ini adalah kesan dari institusi rumah tangga yang rapuh dan penyakit sosial yang ‘pandemic’ dan meruncing seperti barah.

Tetapi kejadian seperti ini ada hubung kaitnya dengan kerajaan. Kehidupan dan tahap sosio-ekonomi rakyat adalah hasil daripada rakyat yang tidak mendapat cukup pembelaan oleh kerajaan. Dikala hendak mencari makan sesuap nasi pun susah bagi golongan yang berpendapatan rendah, ditambah dengan pelbagai cukai yang akan dikenakan Kerajaan kepada rakyat, kesemua ini memberi dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Rasulullah saw pernah bersabda: ‘Rakyat mengikut agama pemimpin’. Apakah ini benar dalam kes penderaan kanak-kanak yang dibunah, rakyat mengikut corak pemikiran dan apa yang dilakukan oleh pemimpin?

Memang bukan jalan penyelesaiannya mendera, menyeksa, menyakiti dan akhirnya membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Tetapi masalah kehidupan yang serba tidak mencukupi boleh mengheret kepada kehidupan tidak tenang dan menyebabkan fikiran terganggu dan lebih teruk lagi mengakibatkan gejala mental yang serius.

Rakyat juga telah bosan dengan pemimpin kerajaan yang turun padang bertemu dan bersalaman dengan rakyat, kemudian dihidangkan makan nasi kawah. Pegang cangkul 3-saat untuk dirakam oleh juru kamera kemudian disiarkan di dalam surat khabar atau televisyen.

Tambah bosan lagi, bila berucap, mengumumkan akan memberi peruntukan yang besar kepada satu-satu kampung. Bertepuk-bersorak orang kampung akan dapat wang besar yang diberi oleh pemimpin UMNO-BN.

Tapi, bila nak dapatnya? Tunggulah pilihanraya, nanti akan diumumkan lagi. Bila!!? Pemimpin ini akan berkata, ‘Itu janji pilihanraya!’.

Mungkin ramai juga yang tidak bosan dengan pemimpin yang sedemikian. Malahan memuji dan mengikut sikap pemimpin. Kerana pemimpin seperti itu adalah buktinya ‘Pemimpin berjiwa rakyat’. Maka sebab itu pemimpin disanjung-sanjung…manalah tahu boleh dapat projek besar. Kerana pemimpin yang berjiwa rakyat akan bersaing dengan rakyat untuk mendapat projek besar, tapi ‘of course’ pemimpinlah dapat.

Hadith Rasulullah saw bersabda mengenai pemimpin: Sebaik-baik pemimpin adalah kamu mengasihi mereka dan mereka (pemimpin) mengasihi kamu. Kamu berdo’a untuk mereka dan mereka mendoakan kamu, dan begitulah sebaliknya.

Adakah ciri ini ada pada pemimpin Umno BN atau ciri ini sesuai untuk kerajaan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat? Diharap rakyat Malaysia boleh memikirkan hal ini.

Maka, tanggungjawab kerajaan Umno BN yang memerintah adalah memikirkan kebajikan rakyat secara holistik. Kerajaan Umno/Bn mesti memikirkan kebajikan rakyat. Sehingga kini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak masih belum mengumumkan apa-apa hadiah istimewa kepada rakyat terbanyak. Setakat yang berunsur ‘political mileage’ ada.

Berbanding dengan negeri Pakatan Rakyat yang hanya baru 2 tahun memerintah telah mampu mengumumkan beberapa kemudahan dan keistimewaan untuk rakyat di negeri Pakatan Rakyat. Bantuan kebajikan untuk rakyat terbanyak menjadi agenda Kerajaan Pakatan Rakyat. Contohnya: air percuma sebanyak 20 meter padu untuk rakyat Selangor. Berbeza dengan Umno. menswastakan air dan kos ditanggung oleh rakyat.

Maka sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan di negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan yang ada ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak kira bila masanya, berlaku sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, kotakan janji anda, pilihlah Kerajaan Pakatan Rakyat untuk kesejahteraan Malaysia dan rakyat seluruhnya.

* Salbiah Abdul Wahab adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat

harakahdaily





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...