Isnin, Mac 15, 2010

Menangkap berudu di dalam longkang



MAC 3 — Soalan : Tuliskan sebuah karangan mengenai tempat tinggal anda. (Tidak melebihi 1200 patah perkataan).

Nama : Zaidel Baharuddin, Kelas : 5 Berlian

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia saya juga mempunyai kampong.

Walaupun pada hari raya saya selalunya akan pergi ke Ipoh untuk menziarahi Opah saya, akan tetapi kampung dalam penulisan saya kali ini adalah dalam erti kata tempat saya membesar, dari segi umur dan saiz pinggang.

Namun kampung saya tidak seperti kebanyakan kampung rakyat Malaysia yang lain sesungguhnya ianya tidaklah mempunyai dusun durian, sawah padi mahupun sumur di ladang untuk orang menumpang mandi, ianya hanyalah sebuah taman perumahan yang mempunyai Rukun Tetangga.

Saya selalu mengatakan kepada rakan-rakan saya ketika di pengajian tinggi yang kampung saya walaupun boleh dikatakan Bandar adalah jauh lebih hebat dan buas dari kampung mereka, walaupun tidak mempunyai dusun durian, sawah padi dan sumur yang boleh orang menumpang mandi.

Ianya yang terletak di hulu negeri cukup berhampiran dengan hutan dan memang mudah untuk terserempak dengan binatang-binatang hutan seperti harimau, gajah, monyet, zirafah dan unta.

Itulah dia kehebatan kampung saya, Hulu Kelang Selangor yang mana terletaknya Zoo Negara.

Hulu Kelang Selangor terletak berhampiran dengan banjaran Titiwangsa; ianya dikelilingi dengan bukit bukau dan kawasan tadahan hujan.

Selain terkenal dengan kegiatan tanah runtuh, Hulu Kelang juga agak dikenali dengan daya tarikan flora dan fauna seperti Bukit Tabuh yang sering terpapar berita mengenai kehilangan atau kematian pengembara, hutan tebal yang bersempadanan dengan Pahang (dan juga Genting Highlands) dan dua anak sungai yang berpunca dari empangan Klang Gate.

Suatu ketika dahulu Hulu Kelang memang terletak di Hulu Sungai kelang dan agak terpencil akan tetapi kini ianya telah berubah menjadi maju, makmur dan bertukar kepada sebuah kawasan perbandaran yang pesat.

Selain dari pembangunan, flora dan fauna, Hulu Kelang juga dikenali sebagai “Hollywood Malaysia” dan menjadi tarikan kepada banyak penggiat seni negara kerana di situ terletaknya studio filem Negara atau FINAS.

Jins Shamsuddin sebagai contoh merupakan ahli UMNO DUN Hulu Kelang Bahagian Gombak, Yusuf Haslam juga tinggal di Taman Melawati Hulu Kelang dan ada khabar angin yang mengatakan dia adalah bekas konduktor Bas Sri Jaya.

Malah cuba anda kaji peristiwa hangat ini; Norman Hakim telah ditangkap basah dengan Memey (bukan nama sebenar) oleh JAIS di Ukay Perdana, ekoran dari kejadian itu Isterinya Abby Abadi menyerang suaminya itu (kini bekas suami) berhampiran Carrefour Wangsa Maju ketika sesi penggambaran Gerak Khas (Diarah oleh Yusof Haslam) dan

sejurus selepas itu menuntut cerai di mahkamah Syariah yang terletak di Taman Keramat, semuanya berlaku dalam kawasan lingkungan Hulu Kelang.

Malah sedarkah anda bahawa kebanyakan babak dalam drama yang dihasilkan oleh syarikat Yusof Haslam selalunya membuat penggambaran di sekitar kawasan berhampiran dengan rumahnya.

Bukan itu sahaja, tahukah anda yang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat saudara Azmin

Ali yang juga abang kepada pengacara panas sensasi Azwan Ali dan anak kepada Ustaz Ali (ustaz yang ajar saya mengaji) merupakan Ahli Parlimen kepada pengundi Hulu Kelang.

Sekarang tahniah anda sudah tahu pelbagai perkara mengenai Hulu Kelang, maka setiap kali anda melalui MRR2 di kawasan berhampiran Zoo Negara pastinya perjalanan anda kini sudah tidak sama seperti dahulu lagi.

Namun di sebalik artis, hypermarket, karaoke, lebuhraya dan pusat senaman “Celebrity Fitness” terletaknya di celah-celah hiruk pikuk kehidupan Bandar, satu Hulu Kelang yang saya kenal dan saya ingat, waktu ketika tempat sebelum semuanya pesat dan makmur, yang mana suatu ketika dahulu saya belajar bagaimana hendak menangkap berudu di dalam longkang.

Saya dan rakan-rakan dibesarkan dengan membaca buku komik LAT. Antara karya beliau yang paling banyak mempengaruhi kami adalah “Kampung Boy”; ianya menceritakan bagaimana budak-budak kampung menghabiskan masa dengan memanjat pokok, melastik dan memancing ikan.

Oleh itu, saya kanak-kanak Bandar yang mudah terpengaruh, terutama dengan iklan

Tora dan DinDang, pastinya dengan penuh perasaan cuba meniru aktiviti watak-watak dalam “Kampung Boy”. Saya tidak banyak mempunyai masaalah dalam bab memanjat pokok mahupun melastik namun timbul masaalah dalam aktiviti memancing ikan. Ini adalah kerana sungai terletak agak jauh (bagi budak berumur 5 tahun) dari rumah kami dan benda yang paling hampir dalam menyamai sebatang sungai adalah longkang yang terletak di padang permainan belakang rumah.

Tidak seperti sungai yang mempunyai ikan keli mahupun Talapia satu-satunya kehidupan yang berenang di dalam longkang berkenaan adalah berudu. Maka atas dasar semangat yang berkobar-kobar maka saya pun menangkap ikan (berudu) di dalam longkang

menggunakan cawan kertas “Slurpee” datang dari kedai serbaneka “7-11” bagi menggantikan pancing. Budak kecil memang bodoh.

Walaupun bermain di dalam longkang itu agak menggelikan dan kotor namun ianya menyumbang kearah pembentukan minda kanak-kanak. Dari situ saya belajar mengenai kehidupan, bagaimana berudu sebenarnya adalah katak.

Bagi seorang budak yang melihat sesuatu yang cukup kecil dan sangat berlainan rupa berubah menjadi katak merupakan sesuatu yang amat menakjubkan. Memang saya bersyukur ketika itu ibu bapa saya berani melepaskan saya dan rakan-rakan untuk berlari, mencari dan mengenal dunia, dalam cara saya sendiri.

Ketika itu masih terdapat pepohon rendang di hadapan rumah kami — sekarang ianya telah menjadi sebuah Lebuhraya. Ketika mana Hulu Kelang tidaklah sesibuk mana dan masih banyak tempat sunyi, ketika mana kes ragut tidak kedengaran, Nurin Jazlin belum hilang mahupun tidak terdengar bayi dibakar dalam tong sampah.

Memang baik kalau dapat memberikan kebebasan kepada anak-anak kecil untuk melihat dunia dengan cara tersendiri namun dunia hari ini sudah berbeza sama sekali. Tidak

pernah saya terfikir bahawa akan datangnya suatu hari akan timbul sebuah papan tanda “Awas Peragut” di bahu jalan raya dan kaki lima.

Sesungguhnya apa guna lebuhraya luas kalau pemandunya tidak berakal, bangunan tinggi mencakar awan tapi penghuni hilang pedoman.

Pembangunan tidak bererti apa-apa sekiranya masyarakatnya hilang jati diri.

Memang Hulu Kelang kini jauh lebih maju, meriah dan mewah berbanding dahulu. Namun janganlah demi pembangunan kehidupan kita korbankan. Sedih bila difikirkan kini seolah masyarakat dalam keadaan sedikit ketakutan.

Salah satu KPI kerajaan ialah untuk mengurangkan kadar jenayah dan ini akan menjadi tanda atas utama dalam penentuan akan datang, akan tetapi saya sendiri berfikir untuk kita dengan mudah melepaskan tanggungjawab adalah tidak wajar.

Kalau kita hendak menyalahkan sesiapa mengenai keadaan semasa masyarakat kita cubalah bermula dengan melihat kedalam cermin. Cuba anda tanyakan diri anda,

bilakah kali terakhir anda terlibat dalam sebuah gotong royong atau sukarelawan dalam apa-apa kegiatan masyarakat?

Memang kini masyarakat kita telah berubah menjadi masyarakat yang bersifat tertumpu kepada diri sendiri dan kuatnya kepentingan terhadap kemewahan dan harta benda,”materialistic”.

Digabungkan dengan tekanan ekonomi dan kemerosotan nilai-nilai akhlak menyebabkan jenayah dan masaalah semakin meningkat. Sudah hilangnya rasa semangat gotong

royong, bantu membantu dan semangat tetangga itu sendiri. Masyarakat kita kini lebih berminat untuk menonton rancangan istimewa hari raya di televisyen dari keluar rumah dan beraya di rumah jiran.

Tapi adakah itu kesimpulan yang kita mahu? Kesimpulan yang mana inilah harga yang

kita bayar untuk kemajuan? Sesungguhnya saya tidak mempunyai jawapan yang tepat, tapi yang pasti ianya perlu bermula dari diri kita sendiri.

Moga suatu hari nanti, kita tidak perlu risau sangat tentang anak-anak pergi menangkap berudu di dalam longkang, sebagaimana suatu ketika dulu.
themalaysianinsider





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...