Sabtu, Mei 08, 2010

Judi Bola: Perangi, bukan bagi lesen

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen perjudian semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 dilihat "menghalalkan yang haram, demi keuntungan".

Pemuda PAS Wilayah dalam satu kenyataan memberitahu, alasan kerajaan untuk mengeluarkan lesen kerana pertaruhan haram tetap berlaku, tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.

"Rakyat mahu kerajaan mengharamkan judi dan memerangi industri haram ini hingga ke akar umbi.

"Sepatutnya kerajaan meningkatkan usaha membasminya bukan menghalalkannya untuk mendapatkan keuntungan," kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudin.

Semalam Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan sedang mempertimbang akan meluluskan lesen judi tersebut.

Beliau memberi alasan, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Negara Malaysia tambah Herman, tidak boleh disamakan dengan negara Israel yang bebas melakukan apa sahaja termasuk perjudian dan segala kemaksiatan.

Apatah lagi katanya, perjudian adalah haram bagi semua agama di negara ini.

"Tidak ada agama yang menghalalkan tabiat judi yang jelas merugikan kewangan rakyat dan negara," katanya.

Mengulas lanjut Herman berkata, rakyat tidak redha dengan kepimpinan yang ada kerana sanggup mencampur adukan hasil negara dengan sumber yang haram seperti judi dan arak.

Lebih memalukan katanya, apabila yang mahu meluluskan lesen ini adalah kalangan menteri-menteri yang beragama Islam.

Tindakan itu ujarnya dikhuatiri mengundang musibah dan kemurkaan dari Allah s.w.t.

"Menteri Agama dan ustaz-ustaz Umno begitu bangga menyebut didepan rakyat bahawa mereka mahu jadikan Malaysia ini sebagai, Baldhatun toyyibah warabbun ghafur atau negara yang makmur serta mendapat pengampunan dan keredhaan Allah.

"Tetapi dengan dasar dan cara pemerintahan sebegini negara ini akan terus mendapat kemurkaan Allah," tambahnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru para Ulama, Majlis Fatwa serta rakyat keseluruhannya bangkit menentang tindakan kerajaan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam ini.

harakahdaily


Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...