Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Khamis, Februari 05, 2009

MB, exco diarah kosong pejabat, serahkan kereta

MALAYSIAKINI

kemaskini 4.05pm Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.

Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.

Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.


kemaskini 3.28pm Speaker DUN V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.

Lobi agar mereka meninggalkan Pakatan Rakyat bermula sejak selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas.


kemaskini 3.20pm Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.

Suasana di luar kediaman itu kelihatan tenang dengan sekumpulan kecil penyokong dan wartawan.

Kira-kira 30 anggota Unit Amal PAS mengawal kediaman tersebut. Tiada anggota polis berpakaian seragam kelihatan.


kemaskini 2.33pm Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak perkenan dewan undangan negeri dibubarkan, demikian menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak hari ini.

Baginda juga menitahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai menteri besar Perak berkuatkuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

kemaskini 2.14pm Tempat perhimpunan 100,000 orang untuk menyokong kerajaan Pakatan Rakyat telah dipindahkan dari kediaman menteri besar ke Stadium Ipoh.

kemaskini 2pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Beliau dijadual mengadakan sidang akhbar bersama menteri besar dan Lim Kit Siang pada 3 petang.

Naib presiden PKR, Azmin Ali turut hadir.

kemaskini 1:33pm Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Malaysiakini difahamkan DUN Perak tidak akan dibubarkan.

Keputusan lanjut kedudukan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak belum jelas.

kemaskini 1:30pm Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan istana Kinta jam 1.05 tengah hari tadi selepas menghadap Sultan Perak 15 minit kemudiannya.

Menteri besar itu bersama Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan sidang media jam 3 petang.

kemaskini 1:26pm Datuk Seri Najib Razak tidak mengadakan sidang media selepas bermesyuarat dengan badan perhubungan Umno negeri di pejabatnya di Ipoh.

Beliau kelihatan masuk sejurus selepas tengah hari ini.

kemaskini 11:54pm Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak serta tiga Adun Bebas hari ini menghadap Sultan Perak untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan perdana menteri berkata kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon menteri besar baru yang akan dikemukakan oleh BN.

"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas menghadap Sultan Perak kali kedua di Istana Kinta.

kemaskini 11:48pm Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

kemaskini 11:00pm Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap dan mendapat perkenan Sultan Azlan Shah untuk Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak.

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi, dan sambil tersenyum, melambaikan tangan kepada wartawan tanpa berhenti di pintu masuk istana.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa BN negeri cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Adun berkenaan menyokong BN secara terbuka.

Berikutan perkembangan tersebut, BN kini mempunyai 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pakatan juga 28 dengan tiga bekas Adun PKR dan DAP yang kini wakil rakyat bebas yang telah menyatakan sokongan kepada BN.

'Situasi tidak menentu'

Manakala Adun Bota, Nasarudin - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Selepas mengadap Sultan Perak, Najib akan mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Agenda utama mesyuarat tersebut dijangka adalah mengenai pemilihan calon untuk jawatan menteri besar yang baru.

Sebelum ini, Najib telah membatalkan satu majlisnya di Putrajaya pagi ini untuk berlepas ke Perak untuk mengadap Sultan Azlan Shah.
KOMEN
0 KOMEN

0 komen (Sila komen sikit..):

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive