Dey Macha

dsp160519

dsp231112
IKLAN BANNER RM30-TEKS RM10 SEBULAN biaqpila(at)gmail.com



Selasa, Mei 06, 2014

HUDUD: POLITIK SIAPA LEBIH JANTAN?


Oleh Liew Chin Tong
Parti-parti pembangkang akan kekal sebagai pembangkang jikalau tidak keluar dari kerangka di mana PAS mewakili dan bersuara hanya untuk umat Islam dan DAP mewakili dan bersuara khususnya untuk bukan Islam.

Kerangka ini membuka peluang kepada Barisan Nasional dan media massa arus perdana untuk memainkan politik "siapa lebih jantan".

Dalam mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat pada Selasa, 29 April yang dihadiri Menteri Besar Negeri Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil Kelantan buat pertama kali, saya mengimbas balik pertemuan saya dengan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali di Canberra, Australia pada hari 11 September 2001, kebetulan hari yang diingati sedunia sebagai titik hitam sejarah – "911".

Selepas berkempen dalam pilihan raya 1999 untuk kawan saya, kini penceramah popular dengan gelaran "Superman", Dr Hew Kuan Yau yang tewas dalam pilihan raya tersebut, saya dilantik sebagai setiausaha politik untuk Teresa Kok yang baru menang sebagai ahli Parlimen kawasan Seputeh.

Lim Kit Siang kalah di Bukit Bendera dan Karpal Singh kalah di Jelutong dalam pilihan raya pada 29 November 1999 lantaran permainan sentimen Islamfobia terhadap PAS, ditambah dengan penampilan imej rusuhan perkauman Mei 1998 di Indonesia oleh media massa kawalan Barisan Nasional (BN).

Isu negara Islam, hudud, PAS dan rusuhan berunsurkan perkauman di Indonesia dijadikan bahan kempen untuk mengalahkan DAP di kawasan pengundi bukan Melayu.

Wanita MCA berkempen dengan "politik bakul sayur" di kalangan makcik dengan mesej ringkas: Adakah makcik bersedia untuk kemungkinan berlakunya rusuhan sebagaimana kejadian 13 Mei dan rusuhan di Indonesia? Malah, PAS terus diberi gelaran "parti potong tangan".

Pengundi bukan Melayu mengundi BN kerana ketakutan manakala pengundi Melayu mengundi PAS beramai-ramai lantaran kemarahan terhadap penganiayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang dan Karpal kalah di peringkat Parlimen buat pertama kali sejak mengambil tempat di Parlimen pada 1969 (Kit Siang) dan 1978 (Karpal), sementara PAS menang 27 kerusi Parlimen, rekod terbaik dalam sejarah PAS ketika itu.

Bos saya, Teresa tidak berada di kawasan pada hari pertama saya masuk untuk bekerja di pejabat pada 16 Disember 1999.

Beliau menyertai rombongan Kit Siang untuk mengunjungi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Walaupun Kit Siang baru sahaja tewas dalam pilihan raya dan berundur dari jawatan Setiausaha Agung DAP (jawatan terpenting dalam parti) seterusnya, kelangsungan Barisan Alternatif tetap menjadi tumpuan beliau.

Sepanjang tahun 2000, Kit Siang menyeru ahli DAP untuk melawat ke Kelantan dan Terengganu, melihat dengan mata sendiri apa yang berlaku di bawah pimpinan PAS dan bukannya menilai PAS dengan maklumat dalam media massa sahaja.

Dua kali saya mengetuai rombongan Seputeh ke Kelantan dan Terengganu. Pemandu pelancong di Kelantan adalah Hu Pang Chiaw dan saya sempat berkawan dengan bekas Speaker DUN Kelantan Cikgu Rahim (Wan Abdul Rahim Wan Abdullah) dalam lawatan tersebut.

Kit Siang juga menganjurkan "dialog tamadun" di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor bersama Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang pada Julai 2000, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelumnya.

Saya melanjutkan pengajian di Australian National University pada tahun 2001 dan bertemu dengan rombongan Malaysia ke Commonwealth Parliamentary Association yang merangkumi Cikgu Rahim dan Cikgu Pa (Mustafa Ali). Pada 22 September 2001, DAP keluar dari Barisan Alternatif.

DAP mengalami perdebatan dalaman yang hangat selama dua tahun sebelum keluar dari Barisan Alternatif, dengan Kit Siang cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan DAP dalam BA, meskipun hampir semua pemimpin dalam parti tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan pemimpin PAS yang kelihatan terperangkap dalam perbahasan negara Islam yang didendangkan Utusan Melaysia dan Umno.

Dalam "politik siapa lebih jantan", MCA mencabar DAP untuk mengutuk PAS dan Umno pula mencabar PAS untuk melaksanakan hudud dan menubuhkan Negara Islam. Kita – PAS dan DAP – kalah pada pusingan pertama, iaitu Barisan Alternatif.

Namum, pengalaman DAP keluar dari Barisan Alternatif agak pahit untuk generasi reformasi seperti saya.

Kami sedar bahawa hanya dengan gabungan tenaga kedua-dua parti pembangkang – PAS dan DAP – yang mempunyai asas yang kukuh (solid base) masing-masing, barulah BN boleh ditumbangkan.

Saya memilih untuk membuat tesis dan kajian sejarah PAS dengan harapan sejarah pahit ini tidak diulangi.

Tiga belas tahun selepas berpecahnya Barisan Alternatif, selepas diuji dengan kerjasama dalam Bersih sejak tahun 2005 dan dalam Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008, dan selepas PAS berkempen dengan tema "PAS untuk semua", nampaknya sekarang kita kembali pula ke masalah yang memerangkap kita sebelum ini.

Tidak dinafikan bahawa hudud adalah hukum Allah, ‎tetapi dalam situasi Islam sebagai agama yang diterima oleh pelbagai bangsa dan budaya, dan berinteraksi dengan bukan Muslim sebagai pemerintah dengan minoriti, teks (kitab) dan konteks (context) memainkan peranan yang sama berat. Maqasid syariah memberikan tumpuan terhadap konteks.

Konteks politik Malaysia adalah, kita sebagai masyarakat majmuk di mana pemerintah memainkan sentimen syak wasangka di antara kaum untuk mengekalkan tampuk kuasa.

Dalam konteks Islamfobia yang didorong pemerintah, adakah dasar eksklusif seperti hudud akan mendapat pemahaman masyarakat umum?

Adakah ini akan memartabatkan Islam dan umat Islam serta membawa kejayaan politik kepada PAS?

Lebih membimbangkan, adakah PAS-DAP akan kalah lagi dalam pusingan kedua dalam Pakatan Rakyat? – Harakah,.

*Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP.


DD



2 ulasan:

  1. Tanpa Nama6/5/14 3:42 PTG

    Perjuangan PAS bkn shj utk mng dlm pilihanraya. Asas perjuangan PAS ialah memartabatkan hukum Allah. Memartabatkan hukum allah adalah wajib bagi ummat islam. Penolakan hukum allah boleh menjadikan seseorg muslim itu kafir. Soal menang dlm pilihanraya adalah soal kedua. Agama islam berbeza dgn agama lain. Agama bukan islam tidak kisah soal dasar perjuangan apa yg dibawa. Kalau islam tertakluk pd hukum hudud,qisas,takzir dan diat. Islam bkn membicara soal hidup didunia shj. Kehidupan abadi diakhirat adalah objektif utama. Org bukan islam agar sukar memahami hal sebenarnya. Bahkan org islam sendiri ramai yg tidak faham. Kami penyokong2 PAS setuju dgn pucuk pimpinan utk mekaksanakan hudud walaupun terpaksa tewas dlm PRU 14 , krn mencari redha ALLAH itu lebih tinggi darjat dari segala isi dunia. Sekian.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama8/5/14 1:35 PG

      Wajib menuntut ilmu.

      Undang undang jenayah dalam Islam ada 4 jenis :

      a. Qisas
      b. Hudud
      c. Diyat
      d. Ta'zir

      Qisas melibatkan 3 kes, iaitu :

      a. Bunuh dengan sengaja

      b. Melukakan dengan sengaja

      c. Mencederakan sehingga hilang anggota (mencacatkan) dengan sengaja

      Hudud pula melibatkan 6 kes :

      a. Murtad

      b. Merompak

      c. Minum arak

      d. Berzina

      e. Mencuri

      f. Tuduh zina (qazaf)

      Diyat (pampasan) pula melibatkan 2 kes :

      a. Bunuh dengan tak sengaja atau seolah olah sengaja

      b. Cederakan atau cacatkan dengan tak sengaja atau seolah olah sengaja.

      Ta'zir pula ialah hukuman hukuman lain bagi kes kes lain yang ditetapkan oleh pemerintah dalam bentuk mendidik. Contohnya saman, ia tidak sesuai dijatuhkan kepada orang yang kaya kerana ia tidak mendidik orang kaya tersebut untuk mengubah sikapnya yang sengaja melanggar lampu isyarat misalannya.


      Secara mudahnya, hukuman yang digariskan hanyalah bagi 9 kes sahaja, iaitu mencuri, berzina, minum arak, tuduh zina, merompak, murtad, membunuh, mencacatkan dan melukakan.

      Ini sahaja yang wajib dilaksanakan mengikut ketetapan syarak. Manakala selebihnya seperti langgar lampu isyarat, hack komputer orang, membakar sampah sarap di kawasan terbuka dan lain lain terletak di bawah ta'zir yang mana hukumannya diputuskan oleh pemerintah mengikut kesesuaian dan bertujuan mendidik.

      Sila share
      Alhamdulillah....

      Padam

Sendiri mau ingat...

LISTEN TO AL-QURAN ONLINE

Listen to Quran

Blog Archive