Rabu, Ogos 13, 2008
Ini dia lawan Anwar
KLpos melaporkan:
Ini dia lawan Anwar
Oleh Wartawan KLpos.com
Khamis, 14 Ogos 2008
TEKA-TEKI akhirnya terjawab. Akhirnya ia keluar dari mulut timbalan presiden Umno sendiri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Arif Shah Omar Shah orangnya yang akan menentang 'tauke' PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim 26 Ogos ini untuk merebut kerusi parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Arif Shah juga adalah Adun BN Seberang Jaya yang turut berada dalam parlimen Permatang Pauh.
Najib membuat pengumuman itu di Pusat Konvensyen Karnival Sunway di Seberang Jaya malam tadi dihadapan lebih 2,000 penyokong BN, serentak dengan majlis pelancaran jentera pilihanraya BN bagi pilihanraya kecil tersebut.
Menurut Najib, pemilihan Ariff Shah, 52, dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor tempatan dan semasa.
Katanya, beliau adalah calon terbaik menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut kerusi kawasan parlimen berkenaan.
Anwar juga mengadakan ceramah perdananya malam yang sama di Kg Kota, Permatang Pasir.
Pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, Arif Shah yang mewakili BN menewaskan calon PKR Ramli Bulat dengan majoriti tipis 533 undi untuk kerusi DUN Seberang Jaya.
Arif Shah juga adalah penyandang kerusi DUN tersebut sejak tahun 1999 dan tidak pernah kalah sejak dipilih mewakili BN sehingga pilihanraya umum 2008 lalu.
Pada 2004 beliau mengekalkan kerusi tersebut apabila berjaya menewaskan Dr. Mansor Othman dari PKR dengan majoriti 4,464 undi.
Selain para penyokong BN, turut hadir dalam majlis pelancaran jentera BN malam tadi termasuklah Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai dan Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad.
Turut hadir ialah Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh mempunyai tiga kawasan DUN Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya (Arif Shah - BN), Permatang Pasir (Hamdan Abd Rahman - PAS) dan Penanti (Mohammad Fairus Khairuddin - PKR).
Selain BN dan PKR, sebuah lagi parti politik Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), diberitakan akan turut serta dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.
Jika ini terjadi, pilihanraya kecil kali ini akan menjadi pertandingan tiga penjuru diantara BN, PKR dan Akim.
Sebelum ini presidennya Hanafi Mamat berkata calon Akim akan diumumkan sehari sebelum hari penamaan calon 16 Ogos ini.
Presidennya Hanafi Mamat berkata beliau yakin calon Akim akan mendapat sokongan penduduk Permatang Pauh khususnya daripada kalangan penyokong PAS.
Akim yang ditubuhkan pada 1995 dan mendakwa mempunyai kira-kira 10,000 anggota di seluruh negara, pernah bertanding pada pilihan raya umum 1999 bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Baharu tetapi tewas.
"Kita yakin penyokong PAS yang lama memahami hasrat Akim akan mengundi calon parti kami nanti," kata Hanafi dalam satu kenyataannya kepada media baru-baru ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.
Pengundian ialah pada 26 Ogos ini dan hari penamaan calon sepuluh hari sebelumnya.
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Salleh Man berkata Akim tidak akan mendapat sokongan daripada anggota PAS Permatang Pauh pada pilihan raya kecil itu.
"Macam mana mereka dakwa boleh dapat sokongan di Permatang Pauh. Anggota PAS setia pada parti, dan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh masih kukuh," katanya.
-KLpos
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...