Rabu, November 05, 2008
Bomoh 'hisap' kononnya syarat buang sial
SEPANG: Seorang bomoh dikesan menggunakan cara kotor dengan menghisap kemaluan pesakit, kononnya sebagai satu daripada syarat membuang sial dalam badan.
Bomoh lelaki yang juga seorang warga tempatan itu tidak memilih pesakit, sebaliknya menerima sesiapa saja sama ada lelaki atau wanita yang menemuinya untuk berubat.
Difahamkan, kegiatan tidak bermoral bomoh berkenaan dikesan dilakukan di Ampang sejak beberapa bulan lalu.
Walaupun kaedah itu menjijikkan dan menyalahi hukum agama, segelintir masyarakat masih mengunjungi bomoh terbabit kerana mempercayai 'kehandalannya'.
Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Nasirrahman Saad Khiruddin, berkata:
'Bomoh itu mengenakan syarat menghisap kemaluan pesakit kerana mendakwa ia dapat membuang segala sial yang ada dalam diri individu berkenaan.
'Biasanya, bomoh itu dikunjungi golongan wanita yang mengambil jalan pintas menyelesaikan masalah yang dihadapi. Akibatnya, mereka terpaksa menggadai maruah sendiri tanpa memikirkan hukumnya di sisi agama,' katanya kelmarin.
Nasirrahman berkata, MKN Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang menyiasat kegiatan berkenaan.
'Kita sedang mengumpul bukti kukuh sebelum menahan bomoh terbabit bagi mengelakkan lebih ramai individu terperangkap dengan kegiatan tidak bermoral itu,' katanya.
Dalam pada itu, Nasirrahman berkata MKN Negeri Selangor dan Jais juga sedang memantau 22 kumpulan ajaran sesat di Selangor yang dipercayai masih bergiat aktif sejak setahun lalu.
Katanya, kumpulan ajaran sesat berkenaan termasuk serpihan al-Arqam, Black Metal dan ajaran Negara Islam Indonesia. / Metro, BHS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...