Ahad, November 09, 2008

Kenyataan Media: Pembebasan RPK

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–-
KUALA LUMPUR, MALAYSIA; 7 NOVEMBER 2008

Rakyat Malaysia hari ini meraikan kemenangan dengan bebasnya Raja Petra dari tahanan ISA. Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tidak berpihak kepada Kementerian Dalam Negeri telah menunjukkan betapa Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah usang dan tidak layak lagi digunapakai.

Saya memuji mahkamah kerana berani untuk menjadi benteng pelindung kepada rakyat bila berhadapan dengan kerakusan penguasa. Komitmen hakim tersebut untuk memastikan keadilan terlaksana membolehkan Raja Petra mengecapi kembali kebebasan yang sememangnya menjadi hak rakyat Malaysia.

Keputusan ini membuktikan kerajaan sekarang tidak layak untuk memerintah. Kerana keangkuhan, kerajaan sekarang tidak menghiraukan hasrat rakyat yang mahukan demokrasi, kebebasan dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

Kepimpinan BN terutamanya para menteri kabinet sepatutnya menginsafi kesalahan mereka kerana menyokong penggunaan ISA dan terus menerus bertindak zalim ke atas Raja Petra, individu-individu yang masih ditahan tanpa dibicara dan para keluarga mereka.

Ahli parlimen yang bertindak mendiamkan diri terhadap saranan Pakatan Rakyat yang mahukan wacana serta perdebatan serius bagi menghapuskan ISA, wajar mempertimbangkan semula pendapat mereka. Keputusan mahkamah hari ini membuka peluang buat semua ahli parlimen untuk maju ke hadapan bagi menghapuskan undang-undang kuku besi ini.

Ramai yang masih ditahan oleh undang-undang kuku besi ini, termasuklah ahli-ahli Hindraf dan individu-individu tertentu yang ditahan kerana dituduh terlibat dengan Jemaah Islamiyah. Mereka semua berhak untuk dibicarakan dengan adil. Saya mengulangi gesaan agar semua tahanan ini dibebaskan dan sebarang tuduhan mestilah dibuktikan di mahkamah.


ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...