Khamis, Disember 11, 2008

HARIMAU MALAYA DAH TAK DAK TARING


Sukar diramal bak kejadian tanah runtuh begitulah prestasi skuad bolasepak kebangsaan kita. Prestasi mereka boleh dikatakan memuaskan pada Pestabola Merdeka baru-baru ini.Itupun mungkin sebab mereka bertarung dengan anak mengkarung.Bila berdepan dengan bapak mengkarung mulalah menggelabah hilang punca. Baik dari jurulatih mahupun pemain sendiri.Tiada idea kreatif mahupun ikhtibar daripada pengalaman lalu.Corak permainan yang ditunjukkan ketika menentang Vietnam pada petang Hari Raya Korban lalu betul-betul menyebabkan mereka dijadikan bahan korban oleh pasukan Vietnam.Samada korban itu sah atau tidak, ianya tidaklah menjadi tajuk perbualan bagi anak-anak kecil yang bermain banjir di Kelantan atau Terengganu.

Apa sudah jadi dengan latihan demi latihan selama ini? Semuanya menghabiskan beras jati cap kapal layar saja.Tiada langsung cubaan serangan skuad kebangsaan kita yang sebegitu taktikal yang dapat kita lihat sepanjang pertandingan AFF.Kelemahan idea tidak menjamin sebarang kejayaan walaupun semangat juang tinggi membukit antarabangsa yang runtuh baru-baru ini.

Penyerang kita seolah-olah hilang punca bila diasak benteng pertahanan lawan.Sepatutnya benteng pertahanan mereka yang gelabah bilamana kita melakukan serangan. Begitulah sebaliknya pula,barisan pertahanan kita yang hilang punca bila mana sesekali pihak lawan melakukan serangan.Senario beginilah yang selalu kita dapat perhatikan pada setiap perlawanan pasukan kebangsaan kita.

Pertukaran penjaga gol utama Helmi Eliza dengan menyenaraikan Syed Adney pada pertemuan dengan Thailand petang semalam juga bukanlah langkah bijak yang dilakukan oleh Sathianathan.Beliau seharusnya tidak menyalahkan Helmi seratus peratus dalam kekalahan kepada Vietnam.Pemain pertahanan yang gagal mengawal bola dengan baik juga merupakan faktor kekalahan tersebut.Cubaan Helmi menyelamatkan beberapa rembatan kencang dalam perlawanan dengan Vietnam seharusnya menjadi alasan dia terus mengekalkan Helmi namun Sathianathan lebih rela menghukum Helmi akibat satu kesilapan daripada menghargai prestasi gemilang penjaga gol Kedah itu.

Syed Adney yang menggantikan Helmi pada perlawanan dengan Thailand lebih hancur prestasinya,sehancur lampu tidur di bawah runtuhan banglo yang berselerakan di Taman Bukit Mewah.Malaysia dibelasah 3-0 oleh Thailand semalam.Terpadamlah hasrat untuk melangkah ke episod seterusnya dalam Piala Suzuki AFF 2008.Itulah padahnya meletakkan penjaga gol kedua pada perlawanan penting yang menentukan Malaysia berputih mata atau berkuning gigi.

Sememangnya kita sudah hilang taring,sebab itulah pasukan lemah seperti Laos pun dah tak kecut perut bila bertarung dengan kita.Kita perlu menumpukan usaha ke arah menyemai biji benih dari baka yang bertaring panjang supaya lebih ditakuti lawan. Selagi kita tidak bertaring,selagi itulah pihak lawan dengan mudah mentertawakan setiap ancaman penggempur kita.Anak dubuk kurus pun tidak akan gerun kepada harimau yang tidak bertaring.Untuk itu biarlah kita menjadi dubuk bertaring (gambar kat atas) daripada menjadi harimau yang hanya ada gigi geraham berlubang dan sentiasa diserang sakit gigi (gambar kat bawah).

Hilang akal ke apa...asal kalah je kena hentam,asal kena hentam je kalah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...