SELAYANG – Seorang pembantu rumah nekad melarikan diri melalui tingkap tingkat enam sebuah kondominium di sini, semalam setelah tidak tahan menerima deraan mental dan fizikal secara berterusan daripada majikannya.
Gadis berusia 19 tahun yang berasal dari Sabah itu mendakwa dirinya sering didera majikan bukan sahaja dari segi fizikal dan mental, malah dia turut dirogol dan dipaksa melakukan seks oral sejak hampir setahun lalu.
Dia juga mendakwa mengalami kecederaan hampir di keseluruhan badan iaitu di bahagian belakang, muka, tangan, bahu dan kepala apabila majikannya yang merupakan pasangan suami isteri dikatakan menggunakan pelbagai objek seperti kayu, rotan, cebisan kaca dan penyangkut baju untuk mencederakannya.
Selain itu, menurut mangsa tersebut, selepas tiga hari bekerja di rumah majikannya bermula 28 Oktober tahun lalu, suami majikannya yang berusia 40-an sering menyuruhnya memicit badan dengan alasan ‘badan lenguh’.
“Pada mulanya saya hanya menurut kehendak suami majikan saya, tetapi lama kelamaan dia mula menunjukkan belang dengan mengarahkan saya melayan nafsu buasnya.
“Saya cuba menolak. Tetapi dia selalu datang kepada saya semasa isterinya keluar. Selalunya dia akan paksa saya buat seks oral. Kalau saya tak mahu, dia ugut mahu bunuh saya. Setakat saya bekerja di rumahnya, sudah lima atau enam kali dia rogol saya. Saya cuba lari. Namun pintu rumah sentiasa dikunci,” katanya.
Nasib gadis itu menjadi lebih malang apabila isteri majikannya mengetahui dia ada ‘hubungan’ dengan suaminya, wanita (majikan) berkenaan mula bertindak ‘ganas’ dengan mula menderanya hampir setiap hari dengan menumbuk anggota badan dan menendang di bahagian sulitnya.
Katanya, dia takut hendak melarikan diri kerana bimbang adiknya (yang juga merupakan pembantu rumah) diapa-apakan.
“Mereka ugut kalau saya lari atau lapor pada polis, mereka akan bunuh adik saya. Sebab itu saya tidak berani. Kali ini saya tidak tahan lagi. Saya takut untuk balik ke rumah berkenaan,” katanya.
Kisah sedihnya itu diceritakan kepada wartawan Sinar Harian (SH) yang turut membantu membawa Norasilla membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Terdahulu, sejurus turun dari bangunan melalui tingkap berkenaan, dia cuba meminta tolong daripada orang ramai di kediaman mewah berkenaan, namun tiada seorang pun yang mahu membantu kerana menganggapnya kurang siuman.
Melalui maklumat yang diterima orang ramai, wartawan SH kemudian datang ke lokasi kejadian dan akhirnya menyedari gadis berkenaan sedang menyembunyikan diri di dalam surau berhampiran dalam keadaan ketakutan.
“Tolong bawa saya pergi jauh dari sini kak. Saya takut nak buat laporan pada polis, takut dia dera dan bunuh saya. Tolong la..,” katanya kepada wartawan SH sambil merayu.
Wartawan SH kemudiannya membawa Norasilla membuat laporan polis di Balai Polis Taman Sri Murni kira-kira jam 2 petang.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, untuk membuat pemeriksaan, serta dijangka ditahan di hospital beberapa hari lagi berikutan kecederaan yang dialami.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Ku Chin Wah ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung dakwaan remaja berkenaan.
“Kita (polis) baru sahaja menerima laporan mangsa berkenaan semalam.
“Jadi beri polis masa untuk siasat sama ada dakwaan mangsa berasal dari Sabah itu adalah benar atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...