Khamis, Januari 29, 2009

SAMAN FITNAH KHALWAT 40 JUTA

Fitnah khalwat: Dr Halimah sedia saman My Kmu.net RM40 juta
Saidah Hairan
Thu | Jan 29, 09 | 12:53:47 pm MYT
KUALA LUMPUR, 29 Jan (Hrkh)

- Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali hari ini menepis dakwaan fitnah dalam forum sebuah laman web, kononnya beliau ditangkap berkhalwat di salah sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Fitnah terhadap beliau turut disangkal oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menegaskan tiada serbuan dilakukan pada malam tersebut sebagaimana yang dilaporkan dalam laman web itu.

Dakwaan palsu itu disebarkan dalam laman web My Kmu.net oleh Jamilisa yang menggunakan nama 'Brigade Commander Selangor' dengan tajuk 'Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap'.

Jamilisa dalam ruangan forum pada 25 Januari melaporkan mendapat maklumat melalui rakannya dari Kampung Idaman yang megatakan Adun Selat Klang (Dr Halimah) ditangkap basah di sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Berikutan perkembangan itu, Dr Halimah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, petang 27 Januari lalu.

"Pada hari yang dikata saya ditangkap khalwat, saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana menghadiri forum Perdana Keluarga Bahagia bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood," jelasnya.

Sebelum pergi ke forum Perdana beliau menghadiri satu mesyuarat bersama Yayasan Amal di Shah Alam.

Beliau mendapat tahu fitnah tersebut tersebar dalam laman web My Kmu.net setelah diberitahu oleh suaminya pada 26 Januari iaitu ketika pulang daripada forum Perdana Keluarga Bahagia.

Sehubungan itu tambah beliau, dengan keizinan Menteri Besar Selangor, beliau akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik laman web itu sebanyak RM40 juta.

"Saya mendesak pimpinan Umno sam ada di Selangor atau Pusat menyiasat perkara itu kerana saya yakin dan percaya mereka tahu siapa di belakang laman web itu," tegasnya.

Menurut beliau, di bawah laman web itu ada tertera slogan 'Demi Islam' dan dengan perkataan 'Demi Islam' juga Umno perlu siasat perkara tersebut.

Tegas beliau, Umno yang mengatakan mereka merupakan sebuah parti Islam sila teliti surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.

Ayat itu bermaksud; "Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik." - lanh _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...