Selasa, Januari 20, 2009

UMNO DAH HABIS MINYAK



Umno sudah habis gas

Ustaz Idris Ahmad
Tue | Jan 20, 09 | 3:25:46 pm MYT

Umno hilang daya tarikan - demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tajuk berita Utusan Malaysia 20 Januari yang melaporkan dari Manama, Bahrain.

Umno perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata, langkah tersebut perlu kerana Umno kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.

"Kita perlu ada 'wow factor' (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali."

Demikianlah komen Muhyiddin mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu.

Pertandingan tiga penjuru melibatkan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi, menang dengan majoriti 2,631 undi; Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Sebenarnya apa yang berlaku ialah perjuangan Umno sudah tidak relevan dengan tuntutan semasa. Umno dalam kempennya masih lagi dengan modal lama iaitu pembangunan. Kempen ini sesuai pada zaman Raja Bersiong bukan zaman langit terbuka. Nada kempen "kalau undi BN dapat pembangunan, kalau undi pembangkang negeri akan mundur," sudah basi.

Kempen seperti ini sudah tidak sesuai bagi sebuah negara yang hendak hendak masuk 52 tahun merdeka. Sekarang pengundi sudah matang. Mereka sudah memahami bahawa siapa sahaja yang memerintah dia akan membuat pembangunan.

Kalau tidak ada Umno-BN, pembangunan tetap dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang dipegang oleh manusia. Kerana fitrah manusia yang Allah beri kepada mereka otak yang sentiasa mencari dan mencuba untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Sebab itu manusia disebut sebagai 'haiwan madaniyun' iaitu makhluk yang berkembang. Justeru Allah amanah kepada manusia untuk mentadbir muka bumi ini sebagai khalifah.

Allah tidak wariskan kepada binatang yang otaknya tidak berkembang. Sebab itu lembu daripada zaman purbakala makan rumput hinggalah tahun 2020. Lembu tetap makan rumput jangan kita andaikan lembu apabila dunia sudah maju dia akan makan burger.

Generasi muda yang menjadi pengundi pada hari ini mereka yang celik maklumat. Mereka tidak akan mudah diperbodohkan oleh pemimpin Umno-BN dengan gula-gula pembangunan dan ugutan.

Mereka tahu membezakan antara intan dan kaca. Mereka hendak pembangunan yang dilaksanakan biarlah manfaat untuk semua rakyat jelata. Bukan pembangunan yang hanya dinikmati oleh juak-juak pemimpin Umno. Contohnya apa yang rakyat dapat daripada program Piala Monsun yang menelan belanja tidak kurang RM250 juta setiap tahun.

Mereka mempersoalkan berapa banyak rumah nelayan yang terdapat di sekitar Pulau Duyung boleh dibina dengan wang sebannyak itu. Rakyat dapat hampas, kroni dapat isi dan kuah. Generasi baru tidak rela melihat pembangunan yang hanya dinikmati oleh segelintir anak beranak pemimpin Umno-BN sahaja, sedangkan ia tidak melimpah kepada rakyat.

Mereka marah kenapa rakyat Terengganu termiskin nombor dua di Malaysia selepas Sabah. Sedangkan Terengganu ada hasil minyak. Kenapa masih ramai lagi rumah yang tidak layak berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang dipenghuni oleh setinggan yang tidak sesuai wujud di negeri Kuwait Malaysia. Mereka bertanya ke mana wang royalti minyak dibelanjakan.

Generasi muda pada hari ini adalah orang yang antirasuah. Mereka tahu bahana rasuah apabila menimpa dalam sebuah negara. Sikap ini tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin Umno-BN malahan indeks rasuah semakin meningkat bukan semakin baik. Akibat rasuah nilai projek sepatut boleh buat dua jambatan di kampung mereka tetapi hanya boleh membina satu jambatan sahaja. Sebab itu Umno boleh tipu orang pada sesetengah masa tetapi ia tidak boleh menipu orang dalam semua masa.

Naib Presiden Umno, Mohd Ali Rustam dalam nada menyindir berkata, BN juga perlu menjadi seperti PAS yang suka menabur janji-janji kosong setiap kali pilihan raya kecil diadakan asalkan mengundi parti itu boleh masuk syurga.

"Saya hairan, mengapa mereka percaya pada PAS yang tidak buat apa-apa kerja tapi menjanjikan syurga dan menolak BN yang banyak membuat pembangunan di sana," katanya. (Utusan Malaysia 19/1/2009)

PAS hendak tanya bila ia janjikan syurga kepada para pengundi? Saya hendak cadangkan supaya Ali Rustam cadangkan kepada penceramah Umno supaya janji siapa yang undi Umno-BN dapat syurga. PAS sikit tidak marah. Biarlah masyarakat menilai bahawa undi BN dapat syurga.

Sebenarnya apa yang berlaku hendak menunjukkan bahawa memang Umno sudah tidak lagi boleh hidup lama dan Umno sudah tua seperti yang disebut oleh Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri. Umno kena tinggal ideologi lapuk mereka yang tidak mempunyai hala tuju. Ideologi sekular yang Umno pejuangkan akan menemui ajal dan tidak sesuai dengan fitrah manusia.

Semua ideologi manusia tersungkur di muka bumi ini. Dasar pragmatism (berubah-berubah) ikut suasana sudah tidak sesuai pada era ini. Rakyat benci dengan sikap bermuka-muka dan menjadi bahan ketawa dan mainan orang sahaja. Kalau ideologi komunis boleh tersungkur dalam masa 70 tahun oleh pengikutnya sendiri, maka Umno juga akan roboh melalui pengikutnya juga yang tidak tahu apa yang mereka pejuangkan selama ini.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menanamkan rasa takut ke dalam hati mereka, sehingga mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangannya sendiri dan dengan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan." - al-Hasyr, 59:2

Umno hanya boleh bertahan kerana ia ada kuasa dan jentera kerajaan. Sebab itu kita boleh melihat yang menggerakkan jentera pilihan raya Umno di Kuala Terengganu ialah agensi kerajaan. Kalau hendak harapkan jentera parti ia tidak akan bermaya.

Umno perlu ingat jentera kerajaan mereka bekerja ikut waktu dan masa. Setiap tayar yang bergolek semuanya perlu disediakan wang. Berapa ramai pula pegawai kerajaan yang dikerah untuk membantu pilihan raya Kuala Terengganu adalah daripada kalangan mereka yang menyokong dan simpati dengan Pakatan Rakyat.

Sampai bila Umno boleh bertahan dengan sikap demikian rupa. Sekarang lima negeri Umno sudah tidak bermaya dan sudah lumpuh. Ada sesetengah tempat hendak buat mesyuarat Umno cawangan terpaksa buat di kedai kopi kerana tidak ada tempat.

Selama ini pejabat Umno ialah hak milik kerajaan. Sekarang apabila Umno kalah maka tidak ada tempat untuk bergantung lagi. Ini berbeza dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kita tegak di atas keringat dan usaha pengorbanan di kalangan ahlinya sendiri.

Umno bergerak dengan upah, bukan berasaskan hati yang suci. Sebab itu pada hari mengundi kita boleh lihat bagaimana bangsal panas Umno hanya meriah dalam beberapa jam sahaja selepas itu keadaan menjadi lengang, kerana bayaran setakat itu sahaja.

Dari segi moral mereka sudah kalah. Ia berbeza dnegan bangsal panas PAS sentiasa dipenuhi sampai tutup pintu pagar tempat mengundi. Sahlah Umno sudah habis gas dan tidak mampu lagi untuk menyalakan dapur perjuangan mereka dan menunggu hari untuk di talkinkan oleh ahlinya sendiri. - lanh _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...