Khamis, Februari 05, 2009

FRU KAWAL BANGUNAN SUK

[DIKEMAS KINI, 4.50 PETANG] IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak - yang berusia 11 bulan - bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.


Sebaliknya, baginda telah menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuat kuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap telah dikosongkan.


Ekoran arahan itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerah untuk mengambil alih bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.


Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah mengarahkan Menteri Besar dan kesemua Exco Kerajaan Negeri meletakkan jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada mereka agar menyerahkan barang-barang milik kerajaan seperti kereta dan kunci pejabat.


Malah, beliau juga telah meminta Exco dan pembantu-pembantu peribadi mereka agar meninggalkan bangunan tersebut dengan segera.


Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi langkah yang membawa Barisan Nasional (BN) untuk membentuk semula kerajaan negeri di Perak.


Pakatan Rakyat memerintah negeri itu sejak Mac lalu.


Nizar kini mengadakan sidang media bersama Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman menteri besar.


Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.


"Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahliahli Dewan Negeri," kata kenyataan itu.


Ia juga menyebut bahawa Sultan Perak telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan Mohammad Nizar semalam mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.


"Baginda menggunakan budi bicara baginda di bawah Perkara XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak," kata kenyataan itu.


Nizar telah dititah menghadap baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan baginda tidak membubarkan Dewan, dan selaras dengan peruntukan XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) berkuat kuasa serta-merta.


"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahliahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahliahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan itu.

MSTAR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...