Selasa, Mac 24, 2009

BERANIKAH UMNO SAHUT CABARAN INI?

ADA BERANI KE? MOH KITE LAWAN DI BUKIT GANTANG.RAKYAT DISELURUH MALAYSIA NAK TENGOK YANG MANA PILIHAN HATI RAKYAT.

Umno dicabar letak Zambry lawan Nizar di Bukit Gantang

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Mar 24, 09 | 8:38:15 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Umno-BN dicabar agar menamakan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai calon bagi menentang calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.

"Masih ada masa untuk Umno ubah nama calon sebab penamaan hujung minggu ini.Saya cabar Umno namakan Zambry, kita nak tengok siapa pilihan sebenar rakyat sebab sebelum ini Umno kata Nizar ditolak rakyat, buktikan dengan calonkan Zambry, kita tengok siapasebenarnya yang dipilih rakyat," ujar Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah hari ini.

PAS mengambil tindakan berani untuk menamakan Nizar yang sebelum ini ditohmah Umno dengan pelbagai lemparan tuduhan ketika penggulingan kerajaan Pakatan Rakyat secara 'kontroversi', kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, cabaran itu realistik agar rakyat diberi peluang menjadi hakim menentukan sama ada Nizar atau Zambry sebenarnya menjadi pilihan.

Ujarnya kegagalan Umno menamakan Zambry selaku calon mereka di Bukit Gantang menggambarkan mereka tidak yakin dengan kempen mereka sebelum ini.

Kegagalan ini juga katanya, adalah tanda atau 'signal' kepada rakyat yang perlu menghukum Umno di Bukit Gantang dan dua PRK lain yang berjalan serentak, katanya.

"Jika Nizar menang, Dun Perak perlu dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat pula untuk memilih kerajaan mereka sendiri," katanya.

Pada 23 Mac lalu, PAS mengumumkan Nizar sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden PAS,Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN, Ismail Saffian, 49.

Ismail yang juga bekas Ketua Penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Allahyarham Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.

Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno, Dato' Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat. - wann/mks._

harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...