Khamis, April 30, 2009
Fenomena Nizar
‘Take five’, untuk isu Timbalan Presiden Pas perlu ulama’. Sepuluh hujah ringkas saya tampilkan untuk itu (baca sini). Saya akan sambung semula selepas ini.
Ini fasal fenomena.
Suatu waktu dulu dunia hiburan kita dilanda ‘fenomena Mawi’. Tiada yang tidak kenal Mawi. Kalau ada sesiapa yang berambut pendek, dia dipanggil ‘Mawi’, walau pun sebelum itu telah ramai orang yang berambut pendek seperti itu.
Mawi menjadi fenomena kerana SMS. Ada ramai orang lagi yang bersuara jantan, namun Mawi juga yang disebut. Aura Mawi yang disumbang oleh SMS membentuk fenomena itu.
Kini nampaknya fenomena Mawi tidak sehebat dulu. Dia sudah sebaris sahaja dengan artis lain yang tidak pernah menjadi fenomena. Dia diminati sama seperti orang lain diminati.
Itu dunia hiburan. Dunia politik juga sama.
Semasa era reformasi, Anwar menjadi fenomena. Gambarnya dan namanya terpampang dan disebut dimana-mana. Tandatangannya dibuat besar-besar dan ditampalkan di cermin belakang kenderaan, tanda sokong Anwar. Ada pemidato yang berpidato mirip pidato Anwar. Kalau tak pandang dia, tentu kita sangka Anwar yang sedang berpidato. Kini, Anwar masih menjadi fenomena.
Nik Abdul Aziz juga menjadi fenomena. Semua orang ingin berjumpa dengannya. Kalau boleh semua orang ingin anak mereka ditahnik oleh Nik Abdul Aziz. Hingga kini fenomena Nik Abdul Aziz belum pudar. Dia menjadi fenomena bukan kerana SMS tetapi kerana kezuhudannya.
Sekitar tahun 80-an, Abdul Hadi Awang menjadi fenomena. Pidatonya memukau. Takbir mengiringi pidatonya ketika itu meremangkan bulu roma. Kuliah Jumaatnya di Rusila sangat ditunggu. Ada buku yang ditulis oleh seorang wanita bertajuk, ‘Bertaubat di Masjid Rusila’.
Apa sahaja akan dikaitkan dengan Abdul Hadi untuk tujuan publisiti. Abdul Hadi juga menjadi fenomena bukan kerana SMS tetapi kerana kehebatan pidatonya dan kuliahnya.
Kini Pas dilanda fenomena apa?
Ya, Pas dilanda fenomena Mohamad Nizar. Ada orang Pas yang baru dapat anak menamakan anaknya Mohamad Nizar. Dia ingin anaknya jadi macam Nizar. Pandai cakap Cina, India dan orang Putih. Dia juga kata Nizar pandai cakap Arab dan Peranchis. Entahlah…
Ada yang mengumpamakan Nizar seperti permata yang tersimpan. Kini sinarnya sudah terserlah dan dia bakal terus menyinar tanpa pudar.
Nizar menjadi fenomena kerana mendapat rezeki ‘terpijak’(Maaf, kalau ada yang setuju dengan kalimah itu). Selepas itu dia ‘dipijak’ pula. Namun dia seorang yang bersemangat dan berkekuatan. Dengan sokongan rakan-rakannya, dia melangkah terus menentang orang yang memijaknya. Kini dia sudah mula dapat mengangkat kepalanya selepas menang PRK Bukit Gantang.
Semua itu adalah penyumbang fenomena Nizar.
Nizar juga dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden Pas oleh banyak kawasan. Dalam keadaan dia tidak pernah menduduki mana-mana kerusi Pas peringkat pusat, tiba-tiba terus dicalonkan untuk Naib Presiden, ini memang suatu fenomena.
Khabarnya ada yang bercadang untuk mencalonkannya sebagai Timbalan Presiden. Wah, ini lagi hebat. Ini sudah jadi super fenomena.
Persoalannya, sejauh manakah fenomena Nizar akan bergerak? Selama manakah pula fenomena itu mampu bertahan?
Kalau fenomena Mawi kerana SMS, fenomena Nik ABdul Aziz kerana zuhud, fenomena Abdul Hadi kerana pidato, fenomena Anwar kerana reformasi, bagaimana pula fenomena Nizar?
Mari kita tunggu dan lihat.
Dikirim Oleh Zolkharnain Abidin
bongkarsauh
walaobagaimanapun, Nizar maisih merupakan MB tersayang saya!
BalasPadamhidup Nizar!
Regards,
GoMalaysian.Blogspot.Com
http://gomalaysian.blogspot.com/