Rabu, April 29, 2009

HANIPA JAWAB KENYATAAN PEGUAM UMNO , DATO’HAFARIZAM

Saya mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan Dato Hafarizam untuk menjawab artikel saya yang tersiar secara meluas di alam internet ini (“ Zambry perolehi perintah yang tidak laku” ) Paling kurang saya berterima kasih beliau membaca artikel saya. Terima kasih sekali lagi.

Sebagai peguam saya menghormati pendapat beliau dan bagi saya tidak salah untuk beliau mengambil keputusan menjawab artikel saya tersebut . Menyanjung roh demokrasi yang sebahagiannya adalah kebebasan bersuara , kita wajar menghormati kenyataan beliau ketika menjawab artikel saya tersebut.

Saya tidak bercadang menjawab satu persatu apa yang beliau tulis sebaliknya memadailah saya hanya menjawab isu teras yang beliau bangkitkan di dalam kenyataan beliau tersebut.

Ramai meminta saya jelaskan kenyataan beliau bahawa

"Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri itu oleh Speaker DUN Perak, V Sivakumar batal dan tidak sah, adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan"

Sebenarnya kalau para pembaca membaca tulisan saya dan memahami betul-betul apa yang saya cuba sampaikan, para pembaca akan tahu bahawa dua perintah deklarasi ( perisytiharan ) yang Zambry dan enam exconya perolehi tidak membawa apa-apa kesan .

Bagi sesiapa yang pelajari dan terdedah dengan undang-undang pentadbiran ( administrative law ) mereka akan tahu perintah deklarasi sahaja tidak cukup kuat untuk mengikat Sivakumar.

Memanglah susah nak terangkan pada mereka yang bukan ahli undang-undang ( laymen ) khususnya ahli dan penyokong Umno tentang apa dia certiorari dan apa dia mandamus kerana bukan sahaja orang awam susah untuk faham malahan tidak semua para peguam juga dapat memahaminya atau memahaminya dengan baik..

Saya tidak pasti sejauh manakah Dato ‘Hafarizam biasa dengan kes-kes semakan kehakiman ( judicial review ) dan jenis-jenis perintah ( remedies ) yang biasa dipohon di dalam kes-kes semakan kehakiman.

Bagi pihak saya dan bukan niat nak membanggakan diri, sudah hampir 16 tahun saya menjadi pengamal undang-undang dan dalam tempoh tersebut antara cabang undang-undang yang saya banyak kendalikan kes adalah melibatkan kes-kes semakan kehakiman .

Saya akui tidak semua kes saya menang tetapi pendedahan kepada undang-undang tersebut agak mungkin agak lebih sikit dari Dato’ Hafarizam ( yang juga kawan baik saya )

Saya lihat di dalam jawapan beliau kepada artikel saya , Hafarizam tidak menjawab mengapakah Zambry tidak memohon perintah certiorari ( quashed the decision of Sivakumar ) dan perintah mandamus ( supaya Sivakumar benarkan beliau dan enam exconya masuk ke dalam siding DUN Perak )

Hakikatnya apabila persoalan tersebut dibangkitkan oleh Haji Sulaiman Abdullah, peguam Zambry iaitu Encik Fairuz Hussin mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa Zambry tidak dibenarkan memohon dua perintah tersebut

Berdasarkan jawapan dari Encik Fairuz tersebut, beliau sendiri mengakui bahawa Zambry terikat dengan doktrin pengasingan kuasa - bermakna Mahkamah tidak boleh perintah untuk Speaker membuat sesuatu atau melarang speaker membuat sesuatu. Dengan lain perkataan Fairuz mengakui Zambry tidak boleh mendapatkan perintah certiorari dan mandamus ke atas Sivakumar.

Tanpa perintah certiorari dan mandamus sebaliknya hanya mendapat perintah deklarasi sahaja , ianya tidak membawa apa-apa kesan kerana perintah deklarasi tidak boleh memaksa Sivakumar membuat sesuatu atau melarang Sivakumar membuat sesuatu perkara.

Bagi orang awam mereka mungkin bertanya kenapa perintah deklarasi bersifat begitu ?

Saya boleh jawab tetapi saya jika saudara tanya begitu samalah seperti saudara tanya seorang doktor kenapa ada ubat demam dalam bentuk pil dan ada dalam bentuk minuman atau pun saudara tanya seorang Ulama kenapa solat zohor empat rakaat dan kenapakah solat subuh hanya dua rakaat ?

Di dalam kenyataannya Hafarizam menyatakan bahawa isu mengapa Zambry tidak memfailkan semakan kehakiman sebaliknya hanya memfailkan Saman Pemula sahaja tidak wajar ditimbulkan kerana Mahkamah Persekutuan telah menolak bantahan peguam Nizar berkenaan isu tersebut .

Ya, benar Mahkamah telah menolak bantahan awal peguam Nizar terhadap isu tersebut, Tetapi apa yang Hafarizam tidak jelaskan adalah meskipun Mahkamah menolak bantahan tersebut ianya tidak bermakna perintah -perintah deklarasi yang Zambry pohon sama tarafnya ( dari segi kekuatan dan keberkesanannya ) dengan perintah seperti perintah certiorari dan perintah mandamus.

Hafarizam mungkin terlupa untuk menyatakan bahawa dengan penolakan bantahan tersebut , Mahkamah , pada hemat saya, pada hakikatnya ingin menyampaikan mesej kepada Zambry dengan mesej berikut :-

a. Bahawa memandangkan kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja , kami ( para hakim ) hanya benarkan untuk kamu memohon perintah tersebut melalui kaedah Saman Pemula dan tidak melalui Semakan Kehakiman di bawah Perkara 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

b. Tapi kamu juga kena faham apabila kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja dan tidak memohon perintah certiorari dan mandamus, kami boleh beri perintah yang kamu pohon tapi jangan salahkan kami kalau perintah tersebut tidak boleh membawa apa-apa kesan pemaksaan ( coercive force ) ke atas Sivakumar.

c. Kamu sendiri harus dipersalahkan kerana tidak memohon perintah certiorari dan mandamus bagi memastikan sebarang keputusan Sivakumar bukan sahaja dapat dibatalkan tetapi juga dapat dibuang/dipadam dari rekod DUN Perak. Tanpa perintah certiorari, keputusan Sivakumar tersebut akan kekal di dalam rekod di DUN Perak kerana kamu tidak pohon untuk padamkan perintah tersebut.

d. Kalau peguam kamu sendiri mengaku bahawa kamu tidak boleh pohon perintah certiorari dan mandamus bagi memadamkan keputusan Sivakumar, mengapa kamu masih juga memfailkan permohonan saman pemula ini dan meminta kami memerintahkan perintah yang tidak membawa apa-apa manfaat untuk mencabar keputusan Sivakumar.

e. Memandangkan kamu dah berada di Mahkamah ini dan memohon perintah-perintah deklarasi ( sebanyak 10 perintah ) kami bagi jugalah sebagai “saguhati” kepada kamu iaitu dua perintah deklarasi dari 10 perintah tersebut.


Sama ada mesej tersebut difahami oleh Umno atau tidak kita lihatlah pada 7 hb Mei ini .



peguampas

1 ulasan:

Sendiri mau ingat...