Mohamad Zainal Abidin Hussin
PAS memasuki gelanggang politik baru di Malaysia apabila menolak bentuk perpaduan ala Barisan Nasional (BN) yang sudah ketinggalan zaman.
Perpaduan baru yang dipromosi PAS kini lebih menyeluruh dan bukan hanya stail kosmetik dan retorik semata-mata.
Apabila anggota Parlimen Bukit Gantang yang baru, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin menjelaskan parti itu tidak akan bergabung dengan Umno, ia hanya satu penjelasan kepada situasi yang sedang berlaku di kalangan rakyat Malaysia.
Politik lama cara Umno mereka cipta perkataan perpaduan untuk kepentingan para pemimpin kaum-kaum yang sengaja dipisahkan. Hakikatnya mereka tidak mahu semua rakyat berpadu secara semulajadi.
Mereka membuat pelbagai cara supaya rakyat hidup terpisah-pisah. Pemisahan terancang dibuat supaya kaum berlainan menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan.
Segala aktiviti sosial daripada sukan, kebajikan hinggalah parti-parti politik direka supaya terus menerus berada di landasan perkauman.
Mengambil kesempatan situasi ini, para pemimpin tiap-tiap kaum bertindak kononnya mewakili kelompok masing-masing muncul sebagai 'pejuang' kaum masing-masing.
Maka mereka pun menuntutlah apa yang dikatakan hak untuk kaum masing-masing.
Hakikatnya hak-hak yang dituntut itu tidak ke mana-mana melainkan memenuhi kehendak dan perut para pemimpin dan kroni-kroni mereka semata-mata.
Kini rakyat sudah sedar. Pada realitinya semua penduduk negara ini tidak ada masalah dari segi perkauman. Setiap hari orang Melayu membeli belah di kedai orang Cina.
Mereka yang tinggal sebelah menyebelah sudah hampir lupa atas sebab apa kita harus bermusuh. Masing-masing amat telah memahami apa yang boleh dan tidak boleh di kalangan komuniti lain yang tinggal bersama di negara ini.
Beberapa peristiwa selepas Pakatan Rakyat mentadbir memang mengejutkan Umno.
Lim Guan Eng misalnya turut berarak di sambutan Maulidur Rasul dan menghadiri majlis berbuka puasa dengan umat Islam di masjid-masjid.
Beberapa hari lalu pula anggota Parlimen Kepong, Gobind Singh Deo hadir ke majlis di sebuah sekolah tahfiz dan memberikan sumbangan peribadi.
Ini hanyalah beberapa kes yang terlalu banyak berlaku. Umno dan BN akan tertinggal keretapi jika mereka terus berfikir untuk memperbodohkan rakyat kononnya PAS dan parti-parti lain sebagai anti perpaduan.
Perpaduan ini adalah kehendak sebenar rakyat dan berasaskan aspirasi tulen mereka.
Mereka tidak perlu tunjuk ajar Umno untuk bersatu padu kalau akhirnya mereka terus berpecah sebaliknya pemimpin 'bersatu' mengeksploitasi hasil mahsul negara. - mj _
harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...