Jumaat, Jun 19, 2009

MASALAH KEKURANGAN GURU



EMAIL DARI PENGUNJUNG UNTUK TATAPAN SEMUA:


Khamis, 2009 Jun 18

Jam 2.00 petang, Khamis 18 Jun 2009, saya menerima panggilan telefon dari pihak pengurusan sebuah sekolah di Kajang, bertanyakan kalau saya boleh datang mengajar di sekolahnya. Saya tidak terperanjat menerima panggilan tersebut, kerana saya memang mendaftar sebagai guru ganti di bawah program KGSK. Bukan sekali ini sahaja saya dipanggil oleh sekolah-sekolah untuk tujuan yang sama. Tetapi dari sekolah ini adalah panggilan pertama bagi saya.

Sebagai guru KGSK, sudah menjadi kebiasaan menerima panggilan dari sekolah-sekolah untuk menggantikan guru bercuti. Malangnya, setiap panggilan selalunya akan menerima jawapan menghampakan. “Maaf puan (selalunya suara perempuan), saya sedang mengajar di sekolah ....” Maka panggilan begini selalunya berakhir dengan satu bentuk keluhan kecewa.

Itulah secebis kisah tentang apa yang sedang berlaku di sekolah-sekolah. Boleh dikatakan semua sekolah mengalami masalah yang satu ini iaitu tidak cukup guru. Paling mencemaskan guru-guru penolong kanan atau guru besar jika kehilangan guru Matematik/Sains dalam tempoh sehingga dua bulan kerana guru bercuti bersalin.
Bagi saya fenomena ini tidak akan berakhir. Setiap tahun, inilah masalah yang akan dihadapi oleh sekolah, bermula dari bulan Januari lagi. Keperluan terhadap guru memang tidak akan berkesudahan. Saya teringat lebih dua puluh tujuh tahun dahulu, satu kenyataan yang menyebut, ‘lima tahun lagi masalah kekurangan guru akan selesai, kerana kementerian sedang mengambil langkah untuk menyelesaikannya’. Begitulah lebihkurang maksudnya. Masa itu saya sedang mengajar di Sekolah Menengah Dato’ Dol Said, Alor Gajah.

Sebenarnya saya meragui tentang kebenaran kenyataan itu. Bukan saya tidak percaya dengan pihak kementerian yang mengeluarkan kenyataan itu. Tetapi saya sedikit musykil, apakah sudah diambil kira semua aspek yang menjadi sebab kekurangan guru. Saya bimbang kenyataan itu didasarkan kepada faktor bilangan guru dalam keadaan semasa. Jika itu sahaja, memang logik, dengan program latihan guru yang mengambil masa selama tiga tahun memang boleh menampung kekurangan guru dalam jangka waktu lima tahun. Itu pun belum boleh dijamin 100 peratus keberkesanannya.

Apakah kenyataan tersebut sudah mengambil kira pula faktor perkembangan manusia? Sudahkah diambil kira? Dalam lima tahun itu, berapa ramai anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan tenaga pengajar yang baru. Berapa ramai pula yang akan lahir. Kecuali sebahagian besar para suami dikasi. Jika faktor ini tidak diambil kira, maka kesimpulan yang saya buat ketika kenyataan itu dikeluarkan ialah kementerian akan gagal. Nah, hari ini terbukti bahawa fenomena kekurangan guru masih meruncing.

Keluhan guru pemanggil tadi saya fahami. Atas rasa tanggungjawabnya, melintau, menggagau, mencari guru pengganti, dari kalangan ‘Kumpulan Guruganti Simpanan Kebangsaan (KGSK). Di Daerah Hulu Langat ini, terdapat, saya anggarkan guru KGSK hanya sekitar 35 hingga 40 orang sahaja. Dari cakap-cakap yang saya dengar, setiap negeri memang mempunyai kumpulan guru KGSK, tetapi berita yang sama, iaitu tidak mencukupi. Dalilnya, saya sendiri, sejak Januari 2009 lagi sehingga hari ini tidak renti-renti mengajar di sebuah sekolah sahaja. Dengan kata lain, sekolah-sekolah lain akan terus bermasalah. Saya yakin masalah mereka hanya akan selesai menjelang akhir semesta dua hujung tahun nanti. Menjelang cuti, baru selesai masalah.

Untuk makluman ibubapa, guru-guru dalam program KGSK ini adalah dari kalangan guru atau pensyarah maktab yang telah bersara. Mereka ini menyudikan diri bertugas semula dengan alasan-alasan tersendiri. Bagi saya, rasa belas kesihan terhadap murid-murid tidak dapat belajar sebab guru mereka bercuti, menjadi sebab utama. Maka saya cuba membantu. Lagipun, saya seperti tidak yakin untuk mengharapkan guru rakan sejawat di sekolah yang sama, yang diarahkan mengisi kekosongan itu, untuk melaksanakan tugas yang sepatutnya. Misalnya, masakan guru Bahasa Melayu/Sejarah akan mengajar matapelajaran Sains atau Matematik? Lebih-lebih lagi bila arahan mengganti dikeluarkan secara bidan terjun, tidak ada persediaan masuk ke kelas. Tugas mengajar bukan semudah seperti menyiram bunga, sedangkan mengajar Pendidikan Jasmani di padang juga perlukan latihan khusus. Jadi bagi mengatasi masalah ini, diwujudkan KGSK. Ini adalah satu inisiatif yang baik.

Program guru sandaran cuba dijalankan dan sedang dilaksanakan. Perlantikannya diambil dari kalangan mereka yang baru keluar universiti atau SPM. Dengan sedikit pengetahuan dalam subjek-subjek tertentu, mereka diarahkan masuk ke kelas. Pendekatan apakah yang digunakan oleh mereka? Seperti yang telah disebut di atas tadi, tugas mengajar bukan semudah menyiram bunga! Kedengaran juga cerita-cerita tentang kalangan mereka yang ‘angkat tangan’ setelah dua atau tiga hari masuk kelas. Berhenti. Itu yang mempunyai rasa tanggungjawab. Yang lain, demi wang ... Jadi KGSK adalah satu wadah penyelesaian yang terbaik.

Satu faktor lagi yang saya fikir perlu dicatat di sini, iaitu keperluan guru Matematik/Sains di sekolah-sekolah, terutama sekolah rendah. Kebanyakan guru KGSK lebih dominan bagi subjek-subjek bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Tamil. Tidak ramai yang mempunyai option Matematik/Sains, seperti saya. Dimana hendak dicekau untuk menampung kekurangannya? Yang pasti, anak bangsa, generasi mendatang yang menjadi mangsa.

Saya fikir suatu program khas harus diwujudkan bagi mengatasinya. Jika tidak, fenomena kekurangan tenaga pengajar akan berterusan. Program KGSK sedia ada ternyata dan terbukti belum dapat menyelesaikannya, kekurangan guru masih begitu ketara. Mengapa? Inilah yang seringkali terlintas dalam fikiran saya, mengapa tidak ramai yang menyertai program KGSK?

Mungkin guru-guru ini dibayar gaji harian. Ada kerja ada gaji, melalui tuntutan. Mungkin ini suatu kebenaran. Sebab? Kempen saya untuk mengajak rakan-rakan menyertai program KGSK kurang mendapat sambutan. dengan pelbagai alasan. Paling ramai menyatakan tidak berbaloi. Saya sendiri pun baru masuk tahun kedua berkhidmat di bawah program ini sudah mula tawar hati, turun semangat untuk terus berkhidmat. Alasan saya, tidak berbaloi. Sistem bayaran elaun pula banyak kelemahannya, lewat, tertangguh-tangguh sehingga tiga empat bulan.

Menteri Pendidikan perasan atau tidak kewujudan program ini? Bagi saya program ini merupakan satu langkah jangka pendek untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Jika boleh disemak dari segi bayaran elaun dan sistem bayarannya, misalnya dibayar secara bulanan yang boleh ditentukan, dan sistem pengurusan agar tidak tertangguh-tangguh membayarnya, ramai akan menyertainya.

Pengambilan guru kontrak, baik jika dihidupkan semula. Tetapi nampaknya kekangan oleh keadaan ekonomi hari ini, mungkin program KGSK adalah yang terbaik. Kerana guru kontrak harus diberi pula bayaran-bayaran tertentu selain gaji. Kosnya lebih tinggi. Bagi mengelakkannya bolehlah diteruskan program KGSK, tetapi harus disemak semula terutama yang berkaitan dengan masalah di atas tadi, antaranya. Wallahu-a’lam.


LINK: http://guruyb.blogspot.com/


Kami tanggung kos rawatan anda secara percuma.
Daftar SEKARANG!!! Pulangan LUMAYAN !!!
CARA MENGHAPUSKAN BAU BADAN
JUST DIET...MATE 5 SARINA 019-5642140.
BELI BUDU,DODOL,SERUNDING ONLINE...SUE 013-9650658
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
description:nizar,zambry,anwar,najib,umno,umno,umno,umno

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...