Khamis, Jun 04, 2009
Tiada pilihan, kecuali Pakatan Rakyat
A Shukur Harun
Jumaat, 5 Jun dibukalah tirai Muktamar PAS Ke-55 selama tiga hari seperti ditunggu-tunggu. Para perwakilan dan pemerhati telah pun tiba untuk menghadiri muktamar tersebut di Stadium Malawati di tengah-tengah bandar raya Shah Alam, Selangor.
Kalaulah tidak kerana kemenangan Pakatan Rakyat pada Mac 2008 lalu, tidak mungkin PAS dapat mengadakan muktamarnya di stadium sebesar itu, dengan datarannya yang luas, rimbunan pohon di sana sini dan berhampiran pusat membeli belah, hotel dan Masjid Negeri yang menjadi kemegahan umat, bukan saja di Selangor tetapi juga seluruh Malaysia.
Selangor sebuah negeri rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, di mana ibu negerinya sangat bersifat kosmopolitan dengan puluhan institusi pengajian tinggi di dalamnya.
Para perwakilan dan pemerhati yang datang dari jauh dan dekat akan menyaksikan bagaimana Selangor Darul Ehsan, sebuah negeri terkaya di Malaysia mampu ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan Menteri Besarnya Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.
Dengan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-12 dulu menyebabkan ia beroleh kemenangan besar dan mampu membentuk sebuah kerajaan stabil. PAS sendiri, yang memenangi enam kerusi Dun telah diberikan peranan besar dengan mememang tiga Exco penting ? Dato' Dr Hasan Ali, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abd Samad.
Di bawah kerajaan Pakatan Rakyat ini masjid dan surau dapat dimakmurkan dengan sebaik-baiknya, di mana para pendakwah bebas menyampaikan pelbagai kuliah mereka bila-bila masa. Sementara itu pelbagai dewan yang ada di negeri ini dapat digunakan dengan bebas bukan saja untuk kegiatan kemasyarakatan, tetapi juga untuk ceramah umum dan dakwah.
Rakyat bebas menikmati kebebasan dalam batas undang-undang yang sedia ada. Kehidupan malah lebih baik walaupun dalam keadaan kemelesetan ekonomi.
Saya melakarkan kembali mengenai kejayaan Negeri Selangor Darul Ehsan ini untuk menggambarkan bagaimana penduduk Selangor dapat menikmati kehidupan yang selesa ini di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat.
Justeru itu, Muktamar PAS yang berlangsung di Selangor sekarang sewajarnya memperbaharui ikrar untuk memperkukuh lagi Kerajaan Pakatan Rakyat bukan saja di Selangor, tetapi juga di negeri lain yang diperintahnya.
Muktamar PAS Ke-54 di Ipoh tahun lalu mengambil keputusan memperkukuh Pakatan Rakyat, satu keputusan yang sangat bijaksana. Justeru selepas muktanar kali ini, siapapun yang dipilih memimpin PAS, sewajarnya memperkasa lagi Pakatan Rakyat.
Tidak ada pilihan lain bagi mereka melainkan bekerja keras untuk mempastikan kekukuhan Pakatan Rakyat. Ini kerana Pakatanlah yang menjadi 'government in waiting' ? kerajaan menanti.
Jika kita mengamati, nampak jelas perbezaan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan kerajaan BN yang ada, dari segi ketelusan, kebebasan, keadilan dan menyediakan kehidupan lebih baik.
Lebih daripada itu kejayaan besarnya ialah pendukung Pakatan Rakyat sudah melepasi batas-batas perkauman yang sangat berbahaya. Keharmonian telah terjamin dengan baik, sementara PAS sendiri sudah menunjukkan kemampuan berinteraksi dengan rakyat pelbagai kaum, begitu juga sebaliknya.
Majlis ceramah PAS, KeADILan dan DAP dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum, malah para pemimpin tiga parti ini sudah berada di pentas yang sama dan mennyampaikan ceramah bersama di banyak tempat, sesuatu yang amat sukar kita temui pada masa lalu.
Sementara itu, hasil daripada keterbukaan PAS dan slogannya 'PAS Untuk Semua' semakin menarik perhatian pelbagai kaum, malah Kelab Penyokong PAS yang berada di bawah payung Lajnah Perpaduan Nasional yang diketuai oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa telah menunjukkan kejayaan membanggakan. Menurut laporan terkini, Kelab tersebut sudah melebihi 20,000 orang ahli, malah ramai lagi berminat menyertainya.
Baru-baru ini lajnah tersebut bersama dengan Lajnah Peringkat Pemuda dan Muslimat PAS Pusat telah mengadakan Program Konvensyen Kelab Penyokong PAS di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang dengan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat.
Dalam ucapannya, Tuan Guru menegaskan bahawa PAS sedia menerima Kelab Penyokong PAS sebagai sayap parti memandangkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pelbagai kaum terutama Cina dan India.
Tuan Guru berkata, sepatutya kelab Penyokong PAS itu sudah lama dijadikan sayap parti.
"Saya kata terlewat, patut lama jadi Dewan. Umno selalu ganggu akhir sekali atas kesedaran rakyat, Umno telah digulingkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan konvensyen tersebut.
Program tersebut mendapat sambutan luar biasa di mana orang ramai telah memenuhi dewan tersebut hingga melimpah di luar dewan, suatu sambutan yang mencerminkan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap PAS. Selain daripada kehadiran ahli Kelab Penyokong PAS, turut hadir ahli Penyokong Muda PAS seluruh negara.
Menurut Dr Mujahid, tujuan program tersebut ialah untuk memberi penerangan mengenan pelan tindakan lajnah tersebut untuk menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS (KPP) ke taraf Dewan di dalam PAS. Insya-Allah, katanya, hasrat ini akan dapat direaliasikan.
Ini membuktikan bahawa sejak PRU ke-12 hingga kini sokongan rakyat berbilang kaum terhadap Pakatan Rakyat terus bertambah. Program mereka baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, malah di Perak, sentiasa mendapat sambutan.
Ini bukti bahawa Pakatan telah menunjukkan kemampuannya menjadi pemerintah yang baik di beberapa negeri yang dimenanginya. Tidak mustahil, malah berpotensi besar, insya-Allah, pada PRU ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan dapat menawan negeri yang kini masih lagi dikuasai oleh Barisan Nasional.
Berdasarkan perkembangan sebelum ini, sekurang-kurangnya ada dua Muktamar PAS lagi sebelum PRU ke-13 nanti, iaitu tiga tahun lagi. Namun begitu, muktamar kali sewajarnya digunakan untuk mengatur strategi bagi memperkukuh Pakatan Rakyat.
Daripada gejolak politik yang berlaku sekarag, terbukti Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk menghadapi cabaran, khususnya dari Barisan Nasional. Justeru BN sentiasa mencari peluang untuk melemahkan Pakatan Rakyat.
Oleh itu, tidak syak lagi musuh PAS dan musuh Pakatan Rakyat sentiasa memerhatikan perjalanan Muktamar PAS ini baik ucapan mahupun perbahasan dan usulnya. Sebarang mesej yang salah disampaikan akan membawa akibat melemahkan Pakatan Rakyat dan sudah tentu merugikan PAS sendiri. - lanh _
harakahdaily
Daftar SEKARANG!!! Pulangan LUMAYAN !!!
GAJI MINGGUAN RM2000-RM5000
CARA MENGHAPUSKAN BAU BADAN
JUST DIET...MATE 5 SARINA 019-5642140.
BELI BUDU,DODOL,SERUNDING ONLINE...SUE 013-9650658
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Ingatlah firman Allah Taala:يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119)
BalasPadam