Selasa, September 29, 2009
Boroi petanda kesihatan dalam bahaya
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
SETIAP kali membeli barang keperluan untuk diisi dalam rak dapur, penulis menghabiskan banyak masa cuba memahami makna label yang sehalus semut untuk mengetahui kandungan barang dibeli.
Lama membelek dan membandingkan dua tiga jenama, termasuk yang baru di pasaran, akhirnya penulis mencapai barangan lebih popular di arena iklan dan maklumat pada label ditolak ke tepi - kerana tidak faham.
Bertanya kepada rakan, rupa-rupanya penulis tidak bersendirian. Ramai juga tidak �berapa tahu� makna terselindung di sebalik senarai panjang bahan, terutama nama saintifik seperti tertera di bungkusan pembalut.
Pakar Diet Weight Management Information Center Berhad (WMIC), Lee Ching Li, berkata kurang faham mengenai maklumat pemakanan pada barang dibeli menyebabkan ramai gagal menurunkan berat badan, walaupun kurang makan.
Malah, tidak kurang merungut dan berputus asa melihat jarum penimbang menunjukkan angka lebih besar sebelum mereka mengamalkan diet dan hanya makan makanan terpilih.
�Bahan yang terkandung dalam makanan disenaraikan mengikut kuantiti. Bahan yang ditulis dulu atau pada kedudukan teratas, kuantitinya paling banyak. Jika tidak ditulis beratnya pun, kita masih boleh buat anggaran kasar.
�Caranya mudah. Contohnya kandungan gula. Semua perkataan berakhir dengan -sa seperti sukrosa, glukosa, maltosa atau fruktosa adalah gula. Madu, gula tebu, susu pekat, molasses dan sebarang sirap buah juga adalah gula. Jadi kiralah berapa kali nama-nama ini ditulis.
�Begitu juga lemak. Perkataan minyak, lemak dihidrogenkan separa atau penuh, lemak sayuran, mentega, marjerin, lelemak, lemak konfeksionari atau lemak gantian semuanya membawa makna sama: lemak.
�Nama saintifik memang boleh mengelirukan kita, tetapi ambil cara yang mudah. Ingat perkataan yang berakhir dengan -sa adalah gula dan semua sodium, tidak kira apa jenisnya adalah garam,� katanya.
Perkara kedua penting untuk diberi perhatian adalah saiz hidangan. Boleh dikatakan hampir semua makanan kini disertakan dengan saiz hidangan yang dicadangkan pengeluar bersama peratusan kandungannya dan jumlah kalori.
Jika ditulis satu hidangan bersamaan tiga keping biskut atau 250 mililiter jus buah, bermakna kita disarankan makan tiga keping biskut saja atau minum 250 mililiter jus sehari.
�Jika kita makan enam keping biskut, bermakna kita makan dua hidangan. Kandungan lemak dan gulanya mungkin jauh lebih tinggi daripada sepinggan nasi. Ini antara punca ramai gagal menurunkan berat badan, walaupun mereka tidak makan nasi,� katanya.
Pengarah Eksekutif WMIC, Pauline Low, pula berkata pengurusan berat badan perlu bermula sejak kecil, seawal mungkin dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam kerana ketika ini anak lebih mudah dilatih.
Lebih penting, ibu bapa perlu menjadi teladan terbaik kepada anak-anak. Caranya juga mudah iaitu kurangkan makan di luar, sebaliknya masak sendiri makanan anda dengan memilih resipi menyihatkan serta kurangkan makanan diproses (seperti nugget, daging burger, sosej, biskut).
�Jangan jadikan �makanan�, terutama makanan segera, sebagai hadiah untuk anak atau diri sendiri. Kunjungan ke restoran makanan segera pula tidak seharusnya menjadi aktiviti yang ditunggu-tunggu anak-anak.
�Sesekali makan di luar itu bagus untuk mengeratkan ikatan keluarga, tetapi ajarlah anak memilih sajian menyihatkan. Contohnya, mi sup jauh lebih menyihatkan daripada mi goreng atau galakkan anak memilih hidangan yang banyak serat kerana ia cepat mengenyangkan,� katanya.
Bimbang dengan peningkatan kanak-kanak obes, Low berkata, ibu bapa perlu membawa anak mendapatkan pemeriksaan untuk memastikan ia bukan disebabkan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, kanak-kanak tidak perlu mengamalkan diet kerana mereka, terutama yang aktif, memang banyak menggunakan tenaga. Namun, ibu bapa hendaklah mengawal pertambahan berat supaya seimbang dengan ketinggian.
Penjagaan berat badan, khususnya bagi anak obes, adalah tanggungjawab seisi keluarga. Maknanya, bukan saja daripada segi pemilihan makanan seimbang, tetapi turut memb a b i tkan kegiatan harian yang aktif dan selalu bersenam.
Lebih baik jika ia dijadikan aktiviti keluarga bagi mengurangkan anak menghabiskan terlalu banyak masa di depan komputer dan televisyen.
Individu yang mengalami masalah berat badan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat percuma daripada pakar pemakanan di WMIC, selain menjalani analisis berat dan kandungan lemak dalam badan.
Tiga kaedah digunakan iaitu melalui penentuan Indeks Jisim Tubuh (BMI), saringan kandungan lemak badan dan ukuran pinggang yang disaran dilakukan setiap bulan.
Mengapa ukuran pinggang juga penting? Individu boroi perlu ambil perhatian. Boroi bukan saja tidak cantik, tetapi ia petanda bahaya. Ini kerana kebanyakan organ penting ada di sini dan kehadiran lemak berlebihan boleh menjejaskan fungsi organ berkenaan lalu menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.
�Tiada jalan mudah untuk kurus. Ia perlukan masa, kesabaran dan disiplin menjaga makan serta bersenam. Jangan terpengaruh dengan iklan ubat kurus badan, terutama pil dan herba yang tidak diiktiraf kerajaan.
“Jika masih mahu ambil pil kurus, pastikan ia di bawah seliaan doktor. Berbincang dengan doktor mengenai hal ini dan pastikan juga anda faham kesan sampingan setiap ubat. Jangan bahayakan kesihatan semata-mata ingin cepat kurus,” katanya
sidangonline
E-Jariah: Beri sekali dapat banyak kali...ANDA BUAT ANDA DAPAT
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...