Ahad, September 20, 2009
Lembaran baru di Aidilfitri | Nizar News
Menyatukan orang Melayu - Oleh ZIN MAHMUD - Sebab apa tanpa sebarang kempen, dengan sendirinya manusia Melayu melakukan segala amalan, budaya dan adat dalam menyambut Hari raya Aidilfitri?
Mereka melakukan sesuatu yang automatik, orang Melayu bersedia untuk menyambut Syawal tanpa disuruh-suruh. Mereka sanggup bersusah payah membuat kuih, membuatkan rumah lebih cantik, menempah pakaian serta semua persiapan bagi menyambut Hari Raya tanpa digalak-galakkan.
Begitu juga dengan dorongan untuk balik kampung berduyun-duyun bagi menyambut Hari Raya. Semua dilakukan secara kolektif sebagai adat dan budaya Melayu. Secara turun-temurun ia dilakukan tanpa sebarang peraturan dan undang-undang.
Tidak ada undang-undang yang menyatakan bahawa orang Melayu mesti berhari raya seumpama ini. Sememangnya Islam menjadi dasar kepada amalan dan budaya orang Melayu, tetapi dalam hal sambutan hari raya, ia seolah-olah sudah terpahat dalam minda masyarakat Melayu secara beramai-ramai untuk berkelakuan sedemikian.
Justeru, sambutan Hari Raya ini merupakan amalan kolektif masyarakat Melayu. walaupun ada sebahagian kecil orang Melayu, atas sebab-sebab tertentu mungkin tidak mahu menyambut Hari Raya, tetapi tidak ada siapa yang dapat menghalang keseluruhan bangsa ini untuk melakukan apa yang sudah diamalkan secara turun-temurun, generasi demi generasi.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan satu contoh budaya yang membentuk identiti dan jati diri orang Melayu. walaupun orang Islam di seluruh dunia menyambut Hari raya Aidilfitri, tetapi setiap bangsa mempunyai cara tersendiri yang unik bagaimana mereka menyambut hari raya. Umumnya mereka juga terbawa-bawa kepada cara sambutan yang diwarisi sebelum bangsa berkenaan menganut Islam.
Selain itu pengaruh-pengaruh baru juga mewarnai sesebuah masyarakat menyambut hari kebesaran mereka seperti Hari Raya ini. Sebagai contoh, memasang lampu pelita keliling rumah, memberi wang raya dalam sampul seperti ang pau, menghantar kad raya merupakan ciri budaya asing yang telah diasimilasikan menjadi sebahagian daripada Hari Raya Melayu.
Semua bangsa mempunyai budaya dan amalan masing-
masing yang mencirikan bangsa sendiri. Tentulah timbul mengapa manusia wujud secara berbangsa-bangsa?
Kalau dilihat kepada masyarakat haiwan, terdapat spesies yang hidup secara berkumpulan. Seperti rusa, kerbau, kuda belang dan gajah. Kehidupan secara bermasyarakat ini merupakan cara evolusi yang membolehkan mereka selamat daripada ancaman pemangsa.
Umpamanya apabila seekor harimau hendak menyerang sekawan kuda belang. Mereka akan sukar untuk membunuhnya jika kuda belang berkenaan hidup bergerak secara berkumpulan. Corak belang pada badan kuda itu jika dilihat secara kumpulan akan mengelirukan harimau itu.
Manusia juga merupakan spesies hidupan yang berjaya kerana sifat kolektif atau hidup secara bermasyarakat. Tidak ada manusia yang boleh hidup seorang diri. Semua manusia perlukan sokongan dan kerjasama di antara satu sama lain.
Itu dari segi manusia berbanding spesies lain yang hidup secara bersendirian dan bukan kolektif. Tetapi cuba lihat dalam masyarakat manusia sendiri. mengapakah manusia tidak terdiri daripada satu bangsa saja.
Kalaulah semua manusia merupakan satu bangsa semata-mata dengan bertutur satu bahasa saja, mungkinkah tidak berlaku konflik?
Tetapi hakikatnya manusia hidup secara kumpulan, bermula daripada keluarga hinggalah kepada suku kaum, sebelum membesar menjadi bangsa. Apa yang mewujudkan sesuatu bangsa ialah apabila suku-suku kaum bergabung secara semula jadi untuk menjadi kaum, sementara pelbagai kaum bersatu pula menjadi bangsa.
Kalau keluarga wujud untuk memudahkan kehidupan, maka begitu juga suku kaum, kaum dan bangsa. Justeru orang Melayu seperti juga bangsa-bangsa lain wujud kerana untuk kelangsungan hidup bagi anggota-anggota dan keturunannya.
Maka semua individu wajar menampilkan dirinya menjadi sebahagian daripada bangsa tertentu. Ia adalah semata-mata untuk kelangsungan hidupnya. Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan hakikat bahawa bangsa bersaing di antara satu sama lain untuk hidup dan berketurunan. Perbalahan antara bangsa tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Maka perdamaian adalah jalannya.
Apabila menyedari hakikat tujuan sesuatu bangsa itu, maka dapat difahami mengapa anggota sesuatu bangsa itu wajar bersatu bagi menghadapi persaingan bangsa-bangsa lain untuk kelangsungan hidupnya.
Dengan mengukuhkan kedudukan bangsa sendiri, tidak pula bermakna bermusuhan dengan bangsa lain. Kerjasama mesti dilakukan untuk kepentingan bersama. Umpamanya bangsa Melayu dan kaum-kaum lain seperti Cina dan India wajar bekerjasama dalam payung bangsa Malaysia.
Tetapi di kalangan bangsa Melayu pula sememangnya terdapat perbezaan pendapat dan fahaman berbeza. Dari segi fahaman politik kepartian, orang Melayu di Semenanjung umpamanya berpecah kepada tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perbezaan fahaman politik adalah suatu yang lumrah. Tetapi jangan hendaknya ia menjejaskan kesedaran mengenai kepentingan bangsa itu sendiri.
Parti-parti politik pula sememangnya diwujudkan bagi menampung manusia yang sealiran tanpa mengira bangsa. Barisan Nasional umpamanya diwujudkan untuk menjunjung prinsip-prinsip tertentu. Begitu juga dengan pihak pembangkang.
Maknanya di Malaysia, kepentingan sesuatu kaum bersilang mengikut fahaman politik masing-masing. Tetapi kesemua parti politik pasti perlu komited mempertahankan Perlembagaan negara. Ini kerana penubuhannya adalah di bawah undang-undang yang terbentuk di bawah Perlembagaan.
Perlembagaan negara merupakan kerangka amalan bagi kelangsungan hidup bangsa Malaysia yang di dalamnya terdapat pelbagai kaum.
Bagi orang Melayu, jaminan kelangsungan hidupnya turut terbentuk dalam Perlembagaan. Pelaksanaan Perlembagaan inilah yang wajar dilakukan semua parti politik tanpa mengira fahaman mereka.
Dalam semangat Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh semua orang Melayu, tanpa mengira fahaman politik kepartian, maka wajar hari ini dijadikan satu pembaharuan semangat bagi mengingatkan diri bahawa mereka semua adalah orang Melayu. Wujudnya bangsa Melayu adalah untuk kelangsungan hidup bersama.
Perkukuhkan persaudaraan Islam - Oleh ZULKIFLEE BAKAR - HARI INI, umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri. Kehadiran 1 Syawal sudah pasti diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Bagi kita di Malaysia terutamanya orang Melayu seharusnya kehadiran Aidilfitri kali ini menjadi kesempatan terbaik untuk bermuhasabah bagi mengukuhkan silaturahim antara kita.
Mungkin ada antara kita mempunyai fahaman politik yang berbeza tetapi kehadiran Aidilfitri telah menjadi bukti bahawa kita tiada bezanya dari segi agama. Oleh itu tidak usahlah ada antara kita menyatakan seseorang itu lebih Islam daripada orang Islam yang lain.
Kenyataan seumpama itu hanyalah akan membawa perpecahan yang tiada kesudahannya di kalangan umat Islam di negara. Apa yang harus dimengertikan, biarpun kita mempunyai perjuangan yang berbeza dari segi politik tetapi dalam soal Islam, kita seharusnya tetap sekata mempertahankannya. Atas sebab itulah adalah tidak wajar jika ada umat Islam terutamanya di kalangan pemimpin politik yang secara terbuka menolak sebarang usaha untuk perundingan bagi kesejahteraan umat Islam.
Mahu tidak mahu, Islam sudah menetapkan bahawa umat Islam itu bersaudara. Kita boleh berbeza fahaman politik tetapi jangan sampai perbezaan fahaman berkenaan memecah belahkan kita. Mana-mana juga pihak tidak boleh terlalu angkuh menyatakan mereka lebih memperjuangkan Islam sedangkan di Malaysia ini sudah terbukti agama Islam sentiasa terpelihara dan kebajikan umat Islam tidak pernah diabaikan.
Selama ini, Malaysia sentiasa menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain. Mereka melihat Malaysia biarpun ditadbir oleh orang Islam tetapi nasib penganut-penganut agama lain sentiasa terbela.
Selain itu, Islam berkembang pesat di Malaysia, kita bergerak melaksanakan dasar-dasar Islam secara perlahan-lahan tanpa paksaan. Ketika usaha itu dilakukan kebajikan penganut-penganut lain tidak diabaikan. Mereka bebas melaksanakan amalan agama masing-masing tanpa sekatan.
Semua ini membuktikan bahawa pendekatan Islam yang dilakukan oleh kerajaan adalah bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu adalah sesuatu yang membosankan jika ada pihak yang mendakwa kerajaan yang ada sekarang tidak Islamik atau lebih angkuh menganggap tiada apa yang hendak dirunding dengan parti memerintah terutamanya UMNO.
Apa yang anehnya dalam masa yang sama mereka bersedia berunding dan duduk semeja dengan sesetengah pihak yang secara terbuka menentang pelaksanaan undang-undang Islam apatah lagi bagi menubuhkan negara Islam. Dalam soal ini, yang sepatutnya bermuhasabah bukanlah UMNO tetapi sesetengah pemimpin dalam Pas yang merasakan diri mereka lebih Islam daripada orang lain.
Tindakan mereka untuk menolak sebarang rundingan dengan UMNO atas alasan parti itu mengamalkan dasar kebangsaan ternyata bercanggah dengan ajaran Islam. Dari sudut Islam dalam apa keadaan sekalipun umat Islam haruslah bersatu dan sentiasa berusaha merapatkan perbezaan antara mereka demi kepentingan masa depan ummah.
Mungkin keangkuhan ditunjukkan kerana mereka merasakan parti mereka sudah semakin kuat dan diterima oleh rakyat. Kita tidak menolak andaian itu tetapi janganlah sampai kerana gelojoh untuk mengejar kekuasaan politik, perpaduan ummah diabaikan.
Cukuplah suatu ketika dulu, umat Islam berpecah belah dengan fahaman politik sempit. Kafir mengkafir, sembahyang dua imam atau mengharamkan daging sembelihan umat Islam lain sudah membuktikan bagaimana ketaksuban boleh meruntuhkan perpaduan Islam. Oleh itu kehadiran Aidilfitri kali ini, seharusnya menjadi platform terbaik untuk kita bermuhasabah dan mengkaji semula adakah perlu untuk kita terus bermusuhan sesama Islam. Allah SWT sudah mengingatkan apabila kita berpecah belah maka kita akan menjadi lemah. Inilah yang berlaku sekarang apabila tiada siapa lagi yang gerun dengan kekuatan Islam di Malaysia.
Senario politik yang berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu sudah menjadi bukti bahawa umat Islam tidak mendapat apa-apa jika terus berpecah hanya kerana andaian bahawa orang Islam itu memperjuangkan dasar kebangsaan dan orang Islam ini memperjuangkan dasar Islam. Biarlah kemaafan zahir dan batin yang sering kita hulurkan semasa Aidilftiri benar-benar direalisasikan dalam bentuk tindakan, bukannya hanya bermusim ketika Aidilfitri. Kita perlu memastikan kemaafan yang dihulurkan tersebut adalah bertujuan bagi mengeratkan silaturahim antara kita dan mengenepikan sebarang perbezaan yang boleh mencetuskan perbalahan.
Tidak apa untuk kita berbeza fahaman politik atau bertarung mencari kemenangan untuk parti masing-masing kerana itulah amalan demokrasi, tetapi jangan sampai kita menyimpan dendam kesumat. Mencari keuntungan politik bukan bermaksud kita harus mengorbankan ukhuwah Islamiah antara kita, sebaliknya dalam apa juga tindakan kita perlu memikirkan kepentingan ummah mengatasi segala-galanya. Tiada gunanya kita hanya berjaya dalam merebut kuasa politik atau memperlekehkan sesama Islam tetapi kesudahannya umat Islam menjadi lemah. Apabila kelemahan itu sudah wujud akibat perpecahan yang terjadi maka ketika itu jugalah nasib Islam akan terumbang-ambing.
Kita bukannya tiada ruang untuk memperbaiki keadaan, malah ruang yang diberikan oleh Allah SWT terlalu banyak tetapi acap kali ruang itu ditutupi akibat perasaan dendam politik yang berpanjangan. Kalaulah benar kita berjuang untuk mendaulatkan Islam, kalaulah betul kita bertarung untuk mempertahankan Islam dan kalaulah ikhlas kita ingin memartabatkan umat Islam, maka bersatulah dalam satu saf.
Kita perlu berganding bahu demi memastikan umat Islam tidak terus berpuak-puak, apatah lagi diselimuti kebencian hanya kerana perbezaan politik. Dalam apa keadaan sekali pun fahamilah bahawa ada pihak yang tidak ingin menyaksikan kita bersatu padu. Mereka cuba memecah belahkan kita dengan ancaman dan tuntutan yang bukan-bukan. Jika kita lemah, maka kita tidak boleh menyanggah mereka dan apabila itu berlaku, umat Islam akan berada dalam bahaya dan lebih malang kedudukan agama Islam pula turut tergugat.
Jadikanlah kehadiran 1 Syawal ini sebagai permulaan untuk membuka lembaran baru dalam persaudaraan kita sesama Islam supaya suatu hari kelak umat Islam di Malaysia tidak menjadi pelarian di negara sendiri.
detikdaily
E-Jariah: Beri sekali dapat banyak kali...ANDA BUAT ANDA DAPAT
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...