Jumaat, September 04, 2009

Rampasan kuasa Selangor:Perancangan 16 Sept berulang? | pkfz



Oleh Wong Shu Qi

Desas-desus bahawa Perdana Menteri, Najib bakal merampas kuasa kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat pada September tahun ini, mungkin berakhir seperti perancangan 16 September, tahun lalu. Agak mustahil untuk Barisan Nasional merampas lapan kerusi, sebagai langkah menjatuhkan kerajaan PR buat setakat ini

Namun, seandainya BN cuba menyempurnakan rancangan rampasan kuasa dengan dakwaan rasuah terhadap ADUN tertentu, ia mungkin memerlukan lebih masa. Singkatnya, kemungkinan untuk BN menggulingkan kerajaan PR Selangor pada September tahun ini, hampir mencecah sifar.

Exco Kontroversi: Hasan Mohd Ali

Exco paling kontroversial, Hasan Mohd Ali (gambar kiri), juga Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, tersenarai dalam golongan "berisiko tinggi". Namun, ketika ditanya kemungkinan Hasan Ali untuk melompat parti, Exco Senior, Teresa Kok menafikannya secara terus-terang, "Lain cerita kalau beliau dapat membawa lapan orang melompat bersama-sama. Kalau tidak, untuk apa beliau lompat? Lompat untuk jadi pembangkang?"

Selepas tsunami politik 8 Mac, Hasan Ali pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar, diberi laluan oleh Khir Toyo (bekas MB) sebagai langkah untuk memastikan UMNO terus berkuasa di negeri, menurut seorang pemimpin PAS. Hasan Ali walau bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan PAS pusat, untuk bersama dengan PR.

Justeru itu, gerak-geri Hasan Ali kebelakangan ini dibaca sebagai desakan untuk menuntut lebih sumber daripada kerajaan PR. Malah, sumber maklumat yang rapat dengan PAS tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Hasan Ali untuk mencetus pertikaian seperti penjualan arak hanyalah "ugutan" semata-mata.

Bagaimanapun, Teresa Kok tetap menolak kemungkinan rakan sekerjanya untuk melompat parti, berasaskan kenyataan bahawa PAS tidak mungkin menarik diri dari kerajaan negeri PR, kecuali Hasan Ali melompat secara individu. Maka, pemimpin DAP ini melihat desas-desus rampasan kuasa, lompat parti cuma "perang psikologi" untuk menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kerajaan PR Selangor.

Rapat dengan Ezam : Amirudin Shaari

Khabar angin sebelum ini meramalkan formula lompat parti 3-2-3, iaitu tiga dari PAS, dua dari DAP dan tiga dari PKR, namun Merdekareview dimaklumkan hanya lima orang ADUN yang berkemungkinan melompat parti, iaitu dua dari PKR dan tiga dari PAS.

Tetapi, Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim ketika ditanya, hanya meramalkan maksimanya empat orang yang berkemungkinan lompat parti, tanpa menamakan siapa mereka.

ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari dan ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafei, adalah antara yang tersenarai dalam "golongan berisiko". Amirudin Shaari tidak terkejut dengan khabar angin bahawa dirinya bakal melompat parti, menyedari dirinya dilihat sedemikian kerana pernah rapat dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd.Ezam Mohd.Nor.

Namun demikian, Amirudin Shaari secara tegas menafikan bahawa dirinya akan melompat parti. Amirudin Shaari pernah menjadi AJK ketika Ezam menerajui AMK, dan Mat Suhaimi Shafei pula adalah ahli ketika Ezam menjawat Ketua Bahagian Shah Alam. Ezam meninggalkan PKR sebelum PRU ke-12, dan menyertai semula UMNO selepas PRU ke-12.

Badrul Hisham Abdullah yang "gagal dihubungi" disenaraikan sebagai "golongan berisiko tinggi". Kerajaan PR Selangor dan PKR telah menuntut beliau untuk memberi perjelasan dalam minggu ini.

"Kerana kami menerima aduan, dan kami terpaksa menguruskannya. Kami perlukan beliau untuk memberi perjelasan, bukan mempersoalkan sama ada beliau akan melompat parti," jelas Amirudin Shaari.

Dakwaan rasuah sebelum lompat?

Pengalaman kedua-dua orang ADUN PKR di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu menghilangkan diri sebelum muncul di depan kamera dalam sidang media bersama Najib, masih segar dalam ingatan. Lompatan kedua-dua orang ini, ditambah pula ADUN DAP Hee Yit Foong yang berakhir dengan kejatuhan Perak ke tangan BN, telah dijadikan sebagai pengajaran untuk PR.

Teresa Kok berkata, kemungkinan UMNO menjatuhkan kerajaan PR melalui lompat parti tidak tinggi. Justeru itu, UMNO kini cenderung untuk menggunakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Mohd. Jailu dituduh rasuah terlebih dahulu, berakhir dengan kedua-dua orang mengambil pendirian pro-UMNO, dan tuduhan awal itu "lenyap" setelah mereka menyebelahi BN. Maka, apa yang berlaku ke atas Exco Selangor, Ronnie Liew mengundang pertikaian.

Ronnie Liew yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan menafikan kemungkinan lompat parti, malah dengan tegas menyatakan, "Siapa yang menyebut 'lompat parti' kepada saya, saya akan laporkan!"

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, artikel ini ditulis dalam bahasa Cina, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

detikdaily



E-Jariah: Beri sekali dapat banyak kali...
SEMUA KAMI LELONG!!!
Daftar SEKARANG!!! Pulangan LUMAYAN !!!
Kelab BlackV6
BELI BUDU,DODOL,SERUNDING ONLINE...SUE 013-9650658
Blog YB Nizar Jamaluddin
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

1 ulasan:

  1. satu persoalan...kenapa wakil PKR mudah lompat parti dan terpengaruh...mereka tidak kental dan masih berjiwa umno atau pengurusan PKR tidak stabil...ini yang leceh ni..hanya untuk kepentingan diri sendiri..kita punyalah bagi support..kalu nak jadi lalang pakailah cawat besi!

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...