Selasa, September 15, 2009

Suami aktivis anti-ISA dibebaskan | Nizar News


Suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman bersama empat lagi tahanan akan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.

Dalam pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka menunjukkan pemulihan yang positif dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mat Sah Mohd Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) itu dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah (foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Ketiga-tiganya ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Dalam sidang medianya, menurut Bernama, Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA - empat rakyat Malaysia dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan ISA.

Manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Menurut agensi berita itu lagi, terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie mengenai pindaan akta itu.

Beliau dipetik berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin lagi.


Sementara itu, sebagai reaksi segera, Norlaila yang terkejut dengan pembebasan Mat Sah tetap menyatakan kesyukurannya.

"Syukur kepada Allah dan (saya) nak berkongsi rasa gembira ini dengan semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan saya dan GMI," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.

Beliau yang kini berada di Sabah tidak dimaklumkan lebih awal tentang permbebasan suaminya itu.

Norlaila menambah, beliau berharap akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara tersebut setelah kembali ke Kuala Lumpur malam esok.

malaysiakini


E-Jariah: Beri sekali dapat banyak kali...
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
BELI BUDU,DODOL,SERUNDING ONLINE...SUE 013-9650658
Blog YB Nizar Jamaluddin
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...