Isnin, Oktober 12, 2009
Calon tercalit tebus maruah UMNO-BN | Nizar News
Oleh Lim Hong Siang
Akhirnya, UMNO-BN berjaya menebus maruah dengan seorang calon yang tercalit imejnya, Mohd Isa Abdul Samad apabila menamatkan kekalahan dalam pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia selepas 8 Mac 2008. Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini kembali semula ke gelanggang politik dengan kemenangan majoriti 5,435 undi di PRK Bagan Pinang.
Pakatan Rakyat bukan sahaja gagal menembusi kubu UMNO-BN ini, malah gagal untuk mengurangkan undi majoriti yang diperolehi calon UMNO-BN dalam PRU ke-12. Calon PAS-PR, Zulkefly Mohamad hanya memperolehi 2,578 undi, berbanding Isa Samad yang mengaut 8,013 undi. PRK Bagan Pinang mencatat peratus pengundian setinggi 81.65%, dengan 233 undi rosak.
PRU ke-12 menyaksikan kemenangan calon UMNO-BN, Allahyarham Azman Mohd. Noor dengan 6,430 undi, sementara calon PAS, Ramli Ismail memperolehi 4,097 undi. Peratus pengundian adalah 81.59%, dengan 384 undi rosak pada ketika itu. Dengan kata lain, undi majoriti yang diperolehi UMNO-BN bertambah sebanyak 3,102 undi.
Malah, PRK Bagan Pinang ini memperlihatkan sokongan melangkaui kaum terhadap calon yang pernah disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam politik wang ini. Keputusan ini diterjemahkan oleh Isa Samad sebagai sokongan rakyat terhadap konsep "1Malaysia" yang diuar-uarkan oleh PM Najib Razak.
UMNO: Kemelut atau harapan baru?
Keputusan PRK ini biarpun memacu momentum baru kepada UMNO-BN, bahkan mewujudkan suasana yang cukup mengghairahkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung dalam minggu ini. Kemenangan yang didahagakan selama 19 bulan selepas "tsunami politik" ini, semestinya disambut dengan pujian yang melimpah dalam perhimpunan UMNO.
Persoalannya, apa yang akan berlaku seandainya Isa Samad dinobatkan sebagai wira yang menebus maruah UMNO? Perebutan kuasa yang bakal tercetus sememangnya tidak dapat dielakkan. Kedudukan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mungkin terguling, malah kedudukan Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin juga mungkin tergugat.
Muhyiddin Yassin, memikul tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya BN setelah mengambil alih jawatan Timbalan Presiden UMNO. Bermula dengan PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai dan berakhir di Permatang Pasir, hanya satu kemenangan dikecapi, itu pun di luar Semenanjung Malaysia.
Maka, jasa kemenangan kali ini akan dikalungkan pada leher Isa Samad, terutamanya oleh penyokong setianya dalam UMNO.
Apa yang lebih penting daripada itu, pencalonan dan kemenangan besar Isa Samad semestinya diterjemahkan sebagai penerimaan rakyat terhadap pemimpin yang tercalit dengan rasuah. Maka, pemimpin seperti Ali Rustam, Muhd Muhd Taib dan pemimpin-pemimpin yang pernah tercalar imej itu, mempunyai alasan yang cukup munasabah untuk bangkit semula dalam parti.
Lebih-lebih lagi, penolakan rakyat dalam pilihan raya kecil sebelum ini akan dibaca sebagai "terpukau dengan janji dan pembohongan pembangkang", dan bukannya tuntutan untuk perubahan. Oleh itu, "rakyat yang kini sedar dari mimpi dan khayalan " telah kembali menyokong UMNO-BN.
Pengajaran untuk PR
Walaupun kekalahan sememangnya dijangkakan dari awal, namun kekalahan dengan majoriti yang besar tetap merupakan tamparan sengit kepada PAS-PR. PR didodoikan dengan suasana yang memberangsangkan selepas tsunami politik PRU ke-12.
Kekalahan PRK Bagan Pinang pasti memberi pengajaran kepada PR dalam beberapa aspek. Pertamanya, usaha menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih sebelum ini terbantut, setelah kemenangan dalam PRU ke-12. Kawasan seperti Bagan Pinang menyedarkan PR bahawa isu ketidakadilan dalam sistem pilihan raya masih belum selesai.
Keduanya, PR melihat bahawa rakyat tetap akan memberi sokongan kepada PR, berdasarkan betapa buruknya BN, dan tidak mengambil kira sejauh manakah prestasi dan mutu PR. Perbalahan sesama sendiri dalam PR dianggap akan mendapat toleransi daripada rakyat kerana "ia sekadar mainan media, atau diperbesarkan oleh media".
Pengundi Bagan Pinang memberi jawapan yang sememangnya di luar jangkaan PR. Persoalan kini yang wajib direnungi PR ialah, berapa lagi Bagan Pinang yang ada di Malaysia?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu
Beri sekali dapat banyak kali...
ANDA BUAT ANDA DAPAT
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...