Isnin, Oktober 26, 2009
Cuba kalau yang menang di Bagan Pinang itu PAS | Nizar News
Oleh DINSMAN
Ya, bagaimana kalau yang menang di Bagan Pinang itu ialah calon PAS (Pakatan Rakyat) dan bukannya calon Umno-BN. Bagaimanakah keadaan kita selepas menerima berita kemenangan itu? Pastinya gembira sangat, 'kan!Gembira sungguh, dan bahkan berkemungkinan besar akan terlebih gembira. Masakan tidak! Berturut-turut lapan kali pilihan raya kecil (PRK) di Semenanjung semuanya kita (Pakatan Rakyat) yang menang, termasuk dua antaranya merampas kerusi Umno. Rasa-rasa macam rakyat Malaysia sudah pun berubah dan sedar, serta sudah boleh menilai mana yang makruf dan mana yang mungkar, mana yang baik dan mana yang jahat.
Rasa-rasanya kita sudah pun bersedia untuk mengambil-alih kerajaan persekutuan melalui pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti. Tak ada masalah. Rakyat sudah bangkit. Mereka sudah faham perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, dan mereka sudah bersedia untuk memberikan undi mereka kepada kita. Rasa-rasanya kemenangan sudahpun berada di pihak kita. Lapan kemenangan berturut-turut dalam PRK itu sudah cukup untuk meyakinkan.
Kita pun jadi terlalu percaya dan yakin dengan kekuatan kita. Dan pastinya tidak akan timbul lagi upaya berfikir mengenai kelemahan kita dan upaya mengkaji semula strategi kita untuk meningkatkan persediaan bagi menghadapi PRK dan PRU akan datang. Kita yakin yang strategi dan cara berkempen kita sepanjang musim kempen itu semuanya betul, bijak dan berkesan. Tidak perlu lagi memikirkan kelemahan dan kesilapan.
Dan kita pun akan berkata: Tengoklah, rakyat Malaysia sudah faham dan menolak pemimpin yang tercemar dengan amalan rasuah. Rakyat Malaysia tidak dapat menerima lagi budaya samseng dan ugut-mengugut itu. Rakyat Malaysia sudah celik politik, dan mereka tidak dapat diperdaya lagi dengan segala taktik menipu dan strategi jahat Umno-BN. Bahkan undi pos pun tidak lagi menjadi masalah kepada kita.
Nyaris-nyaris kita akan terpedaya dengan tanggapan, sentimen, komitmen dan emosi kita sendiri. Ya demikianlah segalanya boleh bertukar dengan semudah itu sahaja. Suatu fenomena yang sangat menarik untuk kita perhatikan. Betapa rapuh dan kaburnya apa yang kita anggap sebagai realiti sosio-politik itu.
Kalau kita yang menang maka bacaannya begini, dan kalau kita yang kalah maka bacaannya begitu, padahal garis yang membezakan antara kedua-duanya boleh saja tergelincir dan bertukar-ganti. Dan kita pun mungkin saja jadi terpedaya di situ. Siapa tahu? Hah ha ha ... (Dunia belako!)
Semua orang mengharapkan kemenangan. Pihak yang bertanding kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan. Di tengah-tengahnya adalah rakyat yang (tiba-tiba saja) menjadi rebutan. Rakyatlah yang menentukan. Atau siapakah sebenarnya yang menentukan? Rakyatkah ataupun kita yang menentukannya?
Tak mengapalah soalan yang conceptual itu. Tidak penting sekarang. Yang penting ialah rakyat sudahpun memberikan undi mereka, dan mereka telah memilih calon Umno-BN.
Syukurlah! Kita kalah, tapi syukurlah, kerananya maka otak kita pun semuanya jadi aktif berfikir dan bermuhasabah, mencari di mana lemah dan salahnya kita; melihat semula apa yang kita telah buat, dan apa yang sepatutnya kita buat dan apa yang sepatutnya kita tak buat, sesuai dengan realiti dan tahap ketamadunan masyarakat kita.
Berbagai-bagailah pendapat, pandangan dan analisis boleh kita baca dan dengar berikutan dengan kekalahan ini. Ada yang melihat kepada kelemahan di pihak kita, dan ada yang terus menyalahkan pihak lain, sama ada pihak parti dan kerajaan BN, jabatan-jabatan kerajaan yang menjadi alat BN, mahupun pihak rakyat yang masih belum sedar.
Banyaklah juga pandangan dan analisis yang menarik. Paling pentingnya bagi saya ialah hakikat bahawa majoriti rakyat di Bagan Pinang masih belum mahu menerima PAS. Ini suatu fakta yang pahit, tetapi mesti dan perlu ditelan juga
Maka kekalahan ini adalah yang paling baik dan sesuai untuk Pakatan Rakyat, khasnya PAS, dan tepat pada waktunya. Sekali lagi syukur kepada Allah yang maha bijaksana dan sentiasa membantu hamba-hamba-Nya sesuai dengan apa yang sewajarnya.
Kita selalu berkata bahawa tiap sesuatu kejadian itu ada hikmahnya. Memanglah fitrah kejadian Tuhan itu demikian. Tetapi soalnya dapatkah atau bagaimanakah kita memanfaatkan hikmah yang disediakan Allah pada setiap kejadian yang kita alami itu?
Sekadar mengatakan kemenangan BN itu sebagai petanda yang mereka masih menerima perasuah dan amalan rasuah - apakah itu ada manfaatnya untuk masa depan kita? Atau dengan mengatakan kemenangan Isa Samad itu akan membawa masalah kepada masa depan Umno - apakah itu juga ada manfaatnya kepada masa depan PAS?
Saya tak akan berlagak pandai dalam ruangan ini dengan mengeluarkan senarai apa-apa yang patut dan tidak patut dipelajari oleh PAS dan Pakatan dari peristiwa kekalahan di Bagan Pinang itu. Saya hanya ingin mengajak kita berfikir, dengan kemampuan otak kita masing-masing. Bagaimana kalau PAS menang di Bagan Pinang itu? Mana yang lebih baik untuk PAS dan Pakatan sebenarnya - menang di Bagan Pinang itu, atau kalah?
Kalau soalan ini ditanya sebelum hari mengundi, tentulah ia kedengaran bodoh. Apa perlunya ia ditanya sedangkan semua orang bekerja bermati-matian untuk menang. Siapakah yang masuk ke medan juang untuk mencari kalah? Itu soalan yang tidak munasabah.
Tetapi setelah melepasi waktunya dan keputusan pun telah diketahui, soalan itu menjadi wajar sekali untuk ditanya dan dijawab dengan seikhlasnya. Bukan dengan emosi pejuang yang berkobar-kobar untuk mengalahkan musuh di medan perang, tetapi dengan fikiran yang waras dan berlapang dada untuk melihat apa yang benar, demi untuk kemenangan di masa depan.
Waktu senggang yang membolehkan kita duduk berfikir secara rasional dan bijak ini adalah perlu. Soalnya, apakah waktu senggang begini tidak wujud sekiranya kita menang? Jawabnya ya, memang ia tidak akan wujud sekiranya kita menang. Kemenangan akan melahirkan dorongan dan fikiran ke arah lain; manakala kekalahan pula akan melahirkan dorongan dan fikiran ke arah yang lain.
Sekarang kita kekalahan. Maka manfaatkanlah hikmah yang terdapat dalam situasi ini. Selamat bermuhasabah!
utaraonline
Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...