Rabu, Disember 02, 2009

Biro Tata Negara peruntuh negara?

Oleh: Mohd Hasbie Muda*

Saya sedikit terperanjat apabila membawa laporan Harakahdaily pagi ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa beliau mendengar sendiri penceramah dalam latihan Biro Tatanegara (BTN) memfitnahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara.

“Saya mendengar sendiri penceramahnya menuduh Tuan Guru, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan (Lim) Kit Siang sebagai sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara,” kata beliau. Beliau juga membangkitkan tentang tindakan BTN mengapi-apikan isu perkauman di dalam modul yang mereka kendalikan.

Jika benar dakwaan yang disebutkan oleh saudara Salahuddin itu, maka ia adalah satu gambaran yang amat jelek dan menyedihkan. BTN telah kelumpuhan fungsi yang sepatutnya dimainkan. BTN sepatutnya menjadi agensi kerajaan yang berperanan untuk membina kesedaran yang tinggi tentang perpaduan di kalangan rakyat. Bukannya membuat fitnah membabi buta dan bukan juga menjadi alat pihak-pihak tertentu yang mengejar keuntungan politik.

Jika disoroti sejarah BTN yang ditubuhkan pada tahun 1975, BTN sebenarnya mempunyai peranan yang cukup penting dalam membina negara dari sudut moral dan jatidiri rakyatnya.

Pada tahun 1970-an, semasa program belia, fungsi Biro Tatanegara (BTN) ketika itu ialah mengawasi kegiatan pertubuhan mahasiswa dan belia bagi memastikan mereka bertindak selaras dengan kehendak dan aspirasi negara.

Pada tahun 1981, selaras dengan keputusan Kerajaan, fungsi BTN telah diperluaskan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara serta meningkatkan semangat keIslaman di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk belia, pelajar, kakitangan kerajaan dan sektor swasta.

Antara lagu yang sering dinyanyikan dalam kursus BTN ialah lagu Warisan. Peserta dibimbing untuk memahami perkara yang tersurat dan tersirat dalam lagu tersebut. Meskipun kelihatan semangat kemelayuan yang ketara dalam lagu tersebut, namun objektifnya ialah bagi mengeluarkan orang Melayu daripada kancah kemiskinan dan akhirnya mencapai matlamat utamanya iaitu perpaduan kaum.

Hal ini adalah selari dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu membenteras kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Kerajaan amat sedar bahawa perbezaan taraf ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia adalah penyebab utama berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Seterusnya pada November 1986, aktiviti BTN diperjelas dan diperkembangkan kepada melatih pemimpin dan bakal pemimpin supaya mereka mendukung usaha-usaha pembangunan dalam beberapa bidang seperti agama, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.

Pada tahun 1992, Jawatankuasa Penyelaras Latihan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan BTN melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap. Program Bina Negara telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri serentak dengan Kursus Bina Negara 1 yang diadakan pada 1 hingga 4 Januari 1992.

Penyertaan dalam Kursus BTN adalah wajib untuk semua pelajar yang mendapat biasiswa kerajaan untuk ke luar negeri. Tujuan kursus tersebut adalah untuk menyemai semangat kenegaraan di kalangan pelajar tersebut agar terus bersikap patriotik ketika di luar negeri.

Namun begitu, timbul banyak aduan daripada peserta kursus tersebut (terutamanya yang berketurunan bangsa minoriti) bahawa terdapat jurulatih BTN yang menyebarkan idealogi yang bersifat perkauman, hinggakan ke tahap menimbulkan kebencian terhadap kaum-kaum minoriti di Malaysia.

Saya juga pernah diprovok dengan kandungan modul-modul sebegitu. Intipati ceramah akan dimulai dengan kepentingan untuk memahami sejarah kependudukan bangsa Melayu, kemudian keadaan anak bangsa Melayu yang masih mundur, kemudian diceritakan tentang kesungguhan pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang gigih membangunkan bangsa dan negara..

…dan kemudian dibilas dengan hentaman dan kejian terhadap pemimpin-pemimpin Melayu dan bukan Melayu yang berada di pihak oposisi. Disedapkan cerita dengan tuduhan subversif, hubungan dengan pihak Yahudi dan sebagainya.

Saya menjadi pelik bin hairan.

Menjadi persoalan, apakah sebenarnya agenda BTN diwujudkan?Apakah mahu membangunkan negara atau MERUNTUHKAN negara?

———

*Penulis ialah Presiden Economics Student Leaders Council (ECONS), sebuah badan pemikir dan NGO bebas terutamanya dalam isu-isu sosio-ekonomi negara, mengembangkan pemikiran kritis dalam politik dan ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Blog Pencak Bicara MHM kini menjadi ruang analisis dan perkongsian beliau.

mahasiswakini



Menambahkan Pendapatan Dengan Team Kami
Saksikan Lelaki Kuat Pacak Langit
Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
SEMUA KAMI LELONG!!!
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...