Khamis, Disember 17, 2009

Tidak hadir: Mahfuz, Che Rosli beri penjelasan

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Ekoran kegagalan hadir sewaktu undian menolak bajet sulung Datuk Seri Najib pada lewat malam Isnin lalu, dua dari lima Ahli Parlimen PAS yang dihubungi hari ini memberi penjelasan.

Mereka masing-masing Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat.

Mahfuz ketika dihubungi memaklumkan beliau berada di Jakarta pada tarikh tersebut atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu beliau juga memberitahu tidak mendapat maklumat berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini.

"Saya sebenarnya sudah maklumkan kepada Presiden (PAS) seminggu yang lalu...saya mahu ke Jakarta Jumaat lalu atas urusan peribadi.

"Sehingga hari saya ke Jakarta (Jumaat), saya tidak tahu tentang hasrat Pakatan nak tolak Bajet 2010 (pada) 11 malam Isnin lalu," jelas Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi bagi mewakili PAS menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat hadir ke program tersebut.

"Saya terima sms (sistem pesanan ringkas) lewat petang, ketika itu saya di Sungai Besi dalam perjalanan ke Hulu Langat.

"(Sebagai) tuan rumah, saya terpaksa hadir suatu majlis Pakatan (demi) menggantikan Nizar (Ahli Parlimen Bukit Gantang) yang tidak hadir,"

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau cuba lari dari tanggungjawab ekoran kejadian itu.

"Saya bukannya lari tugas," katanya lagi.

Kedua-dua mereka juga bercadang menghantar surat penjelasan kepada presiden parti dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Isnin lalu bajet 2010, yang dibentangkan oleh Najib sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tersebut.

15 ahli parlimen Pakatan Rakyat masing masing lima dari PAS dan bakinya dari PKR dan DAP gagal hadir pada sesi pengundian tersebut.

Manakala 70 Ahli Parlimen dari BN juga gagal hadir pada pengundian tersebut.

Selain Mahfuz dan Dr. Che Rosli, tiga lagi wakil rakyat PAS adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Baling Taib Azamuddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Harakahdaily bagaimanapun sedang berusaha meminta penjelasan dari ketiga-tiga wakil rakyat PAS yang belum dapat dihubungi hari ini.

Kegagalan kesemua ahli parlimen pakatan rakyat hadir pada proses pengundian tersebut dikritik hebat oleh media khususnya blog yang mendakwa mereka penyebab Pakatan gagal menolak bajet Najib.

harakahdaily


Menambahkan Pendapatan Dengan Team Kami
Beri sekali dapat banyak kali...
MAHUKAN PENDAPATAN RM2000-RM3000 SEMINGGU?
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

1 ulasan:

  1. salam...
    bersama martabatkan sepak takraw sebelum kita ianya dibawa ke olimpik

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...