Selasa, Januari 19, 2010

Motosikal Kecil Bertangki Besar Untuk Seludup Petrol

PADANG BESAR: Sebuah motosikal berkuasa kecil yang mempunyai tangki besar adalah antara kenderaan yang ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) kerana menyeludup minyak bersubsidi di sini hari ini.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata motosikal berkuasa 150 cc itu yang sepatutnya mempunyai tangki yang boleh memuat minyak tidak sampai 20 liter telah diubahsuai tangkinya hingga boleh memuat minyak hingga 40 liter.

Lazimnya, motosikal berkuasa 1,500cc mempunyai tangki sebesar itu, katanya.

"Ini taktik terbaru penyeludup minyak yang dikesan. Sebelum ini mereka ubahsuai kereta dengan mewujudkan tangki-tangki tambahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dalam satu rondaan di Jalan Sena dekat sini kira-kira pukul 10.15 pagi, pasukan itu curiga melihat sebuah motosikal bertangki besar lalu membuat pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan itu mendapati motosikal itu telah diubahsuai tangkinya bersaiz sekali ganda lebih besar yang penuh berisi petrol.

Zakaria berkata, motosikal serta petrol di dalam tangki kenderaan itu telah dibawa ke Kem UPP Padang Besar untuk tindakan lanjut manakala penunggangnya, seorang lelaki rakyat Thailand berusia lingkungan dua puluhan turut ditahan.

Dalam satu lagi kes, UPP menahan sebuah lori pikap di kawasan yang sama pukul 1.15 tengah hari dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu telah diubahsuai bahagian tangkinya untuk membawa muatan petrol berjumlah 1,000 liter.

Katanya, UPP telah merampas petrol bernilai RM1,800 dan kenderaan itu turut dibawa ke Kem UPP untuk tindakan lanjut manakala pemandunya sempat melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, UPP menahan sepuluh pendatang asing tanpa izin serta seorang tekong darat di sebuah premis di Taman Beseri Murni, dekat sini pukul 12.30 tengah hari.

Pendatang asing itu, enam lelaki Pakistan dan empat lelaki Myanmar, serta tekong darat itu telah dibawa ke Kem UPP Padang Besar untuk siasatan dan diserah kepada Imigresen untuk tindakan lanjut. - BERNAMA



SAIFUL APEK & MALEK NOOR TELAH TURUT SERTA...ANDA PULA ????
Beri sekali dapat banyak kali...
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...