Sabtu, Februari 27, 2010
Bekas PM Kanada desak gugur kes Anwar
SHAH ALAM - Selepas dua kontroversi campur tangan asing terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin semalam menjadi pemimpin asing terbaru mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat tersebut.
Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.
“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya,” katanya di dalam :The Globe and Mail:, sebuah portal berita di negara itu.
Dalam kenyataan berkenaan, beliau menegaskan Anwar adalah seorang yang amat komited terhadap demokrasi, keadilan dan undang-undang negara.
“Saya telah lama mengenalinya, semenjak beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia dan saya Menteri Kewangan Kanada.
“Saya melahirkan rasa kesal beliau diperlakukan sebegitu rupa kerana komitmennya kepada prinsip tersebut,” katanya.
Martin adalah bekas Perdana Menteri Kanada dari 2003 hingga 2008 selain menjadi Ahli Parlimen selama 20 tahun dan Menteri Kewangan dari 1993 hingga 2002.
Menurutnya, kehadiran ramai pemerhati dan perwakilan asing semasa perbicaraan kes liwat Anwar merupakan bukti jelas betapa prihatinnya masyarakat antarabangsa terhadap kes beliau.
“Beliau kini dilihat sebagai ancaman kepada pegangan kuasa kerajaan yang memerintah pada pilihan raya akan datang. Ini faktor utama yang mendalangi tuduhan terbaru terhadap beliau,” katanya.
Sebelum ini, 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.
Ia kemudian disusuli kenyata:an Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil :dan saksama kepada Anwar.
Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, kenyataan Kerry adalah peribadi.
sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...