Oleh Fazilah Sahir
SEGAMAT 27 Feb - Suasana majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina di Segamat malam tadi yang dihadiri Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba menjadi kecoh apabila salah satu kabel elektrik di luar restoran Tong Hock tersebut terbakar.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10:20 malam itu disedari oleh beberapa penyokong KEADILAN di luar restoran ketika hadirin di dalam restoran sedang asyik mendengar ucapan Datuk Seri Anwar.
Tindakan pantas pihak penganjur dan penyokong yang memadamkan kebakaran tersebut dipuji kerana sebarang kelewatan akan mengakibatkan kebakaran restoran yang dipenuhi para penyokong Pakatan Rakyat.
Walau bagaimanapun ini tidak menganggu ucapan Ketua Pembangkang yang terus meniup semangat juang kepada lebih 1,000 penyokong.
Turut hadir pada majlis itu termasuk Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor Annuar Salleh, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye serta pimpinan Pakatan Rakyat Johor.
Seorang saksi kejadian, Sim Ah Kiong, 45, memberitahu kejadian itu disedari beliau ketika lalu di hadapan restoran dan ternampak percikan api di kabel terbabit.
"Saya sedang jalan di depan restoran ini. Tiba-tiba saya lihat ada percikan api atas kepala saya. Rupanya kabel elektrik ini terbakar," katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur 'sabotaj' kerana tidak menyenangi kehadiran Datuk Seri Anwar.
"Mungkin ada orang nak sabotaj Anwar. Mereka tak mahu bagi dia berucap dekat sini," katanya.
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng yang turut hadir pada majlis itu memberitahu pihak polis sebelum ini tidak membenarkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berucap di majlis tersebut.
Lebih 30 anggota polis kelihatan mengawal ketat sekitar restoran tersebut menyebabkan penyokong yang hadir berasa kurang senang
Daripada pengamatan Suara Keadilan kejadian di Segamat semalam seolah-olah sudah dirancang dan menjadi satu kebiasaan bila sahaja Datuk Seri Anwar mengadakan ceramah diseluruh negara.
Di Kuantan umpamanya ketika beliau berucap pada ceramah sempena Konvensyen KEADILAN Negeri Pahang bulan lalu sistem audio dan pembesar suara secara tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan sebahagian hadirin tidak dapat mendengar amanat pemimpin utama Pakatan Rakyat itu.
suarakeadilan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...