ANAK - sebuah NGO yang mewakili generasi kedua dan ketiga anak peneroka Felda - akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan demonstrasi di ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur Rabu ini.
Presidennya, Mazlan Aliman (kanan sekali) merayu kepada kira-kira 1,000 peneroka Felda yang menghadiri konvensyen nasional anjuran PKR di Jerantut semalam, supaya turut hadir beramai-ramai menyertai demonstrasi pada 24 Februari ini.
Mazlan memberitahu demikian ketika ditemui Malaysiakini di konvensyen tersebut. Beliau turut membentangkan kertas kerja mengenai generasi baru Felda.
Di Konvensyen itu, Mazlan menggesa supaya dimansuhkan Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang didakwanya menjadi instrumen utama bertentangan dengan matlamat asal Felda untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan petani dengan menggalakkan mereka membersih, menanam dan akhirnya memiliki lebih 10 ekar tanah.
Katanya, kesannya dapat dilihat di mana 80 peratus tanah yang asalnya dibersih dan ditanam oleh peneroka, berakhir jatuh ke tangah Felda Plantations.
Felda yang ditubuhkan sebagai sebuah agensi pusat pada 1956, melancarkan tanah rancangan pertamanya dua tahun kemudiannya di Bentong. Dengan penggubalan Akta Penempatan Berkelompok 1960, agensi berkenaan telah beralih daripada pembasmian kemiskinan kepada mencatatkan keuntungan optima.
Mazlan berkata peralihan tersebut telah menjadikan peneroka petani penyewa, dengan pendapat antara RM800 hingga RM1,500 sebulan dalam bentuk gaji bulanan, bergantung kepada harga semasa pasaran minyak kelapa sawit atau getah.
Berikutan itu, katanya, skim yang bertujuan untuk membasmikan kemiskinan akhirnya telah menambah beban hutang peneroka dan merosakkan prospek masa depan anak cucu mereka, untuk keluar dari perangkap kemiskinan.
Menurutnya, kini terdapat 1.3 peneroka di 317 tanah rancangan Felda, dengan 800,000 daripadanya merupakan generasi kedua dan ketiga.
Mazlan mendakwa, daripada 23,000 kakitangan kumpulan syarikat Felda, hanya 5,400 orang dari kalangan anak cucu penerika Felda - dan daripada jumlah itu, hanya kira-kira 100 orang yang memegang jawatan tinggi. malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...