Rabu, Februari 03, 2010

Juara Kerbau Raja



Oleh OSMAN DOL

BUKAN mudah untuk menjadi juara. Tetapi Sagap Mamat sudah digelar juara oleh penuduk-penduduk Kampung Durian Runtuh. Sebut sahaja 'juara kerbau raja' seluruh masyarakat kampung akan mengenalinya.

Sagap Mamat memang hebat. Memang layak dia digelar juara kerbau raja. Semua penduduk tahu bahawa kerbau raja yang dimaksudkan itu ialah kerbau yang lepas bebas di ladang Kelapa Sawit Nam Bee yang hampir 150 hektar luasnya. Dari ladang kelapa sawit itu boleh menembusi hutan tebal Bukit Bulat dan Bukit Panjang. Jadi kerbau-kerbau itu bebas bergerak dalam ladang ladang kelapa sawit itu atau boleh terus mencari penghidupan dalam hutan belantara Bukit Bulat dan Bukit Panjang.

Kerbau-kerbau raja itu masih mempunyai pemiliknya. Pemiliknya adalah orang-orang dari Kampung Durian Runtuh dan kampung-kampung disekitarnya. Kerbau-kerbau itu membiak di dalam ladang kelapa sawit dan dalam hutan tebal Bukit Bulat dan Bukit Panjang. Walaupun kerbau-kerbau itu tidak pernah balik ke rumah pemiliknya, namun begitu pemilik-pemiliknya tetap mengenali kerbau masing-masing.

Namun begitu ada juga pemilik-pemilik kerbau itu mengadu yang kerbaunya hilang. Mereka tidak tahu sama ada kerbaunya dibaham oleh harimau atau dicuri orang. Setahu-tahu orang-orang kampung, tidak pernah ada harimau sama ada di ladang kelapa sawit itu atau di dalam hutan bersebelahan ladang kelapa sawit. Dan hendak dikatakan ada orang yang mencurinya, tidak menasabah juga, tidak mudah hendak menangkap kerbau-kerbau liar itu. Melainkan Sagap. Mustahil pula Sagap jadi pencuri kerbau.

Kerbau raja atau kerbau liar sekali-sekala keluar juga menampakkan diri di kampung-kampung. Walaupun kerbau-kerbau itu tidak langsung balik ke rumah tuannya, tetapi mereka keluar juga ke kampung-kampung. Dan bila binatang-binatang ini keluar, banyak tanam-tanaman orang dikerjakannya. Tahi kerbau pun bersepah di jalan-jalan raya. Mereka tidur di jalan-jalan raya yang amat merumitkan pengguna-pengguna jalan raya.

Dan bila datang musim raya, sama ada raya Aidul Fitri atau Aidul Adha, kerbau-kerbau raja ini amat diperlukan. Bukan mudah untuk menangkap kerbau-kerbau liar yang sudah menjadi semacam seladang ini. Dan, mereka tahu musim-musim diri mereka diperlukan untuk sembelih, mereka tidak akan keluar ke kampung. Berbulan-bulan mereka terus hidup di hutan dan di ladang-ladang kelapa sawit itu.

Waktu-waktu beginilah maka tenaga Sagap Mamat diperlukan. Entah berapa puluh ekor kerbau-kerbau raja itu ditangkapnya. Ketika menangkap itu dia tidak perlukan pembantu. Dia seorang sahaja pergi. Usahanya tidak pernah menghampakan pemilik-pemik kerbau itu. Tunjukkan sahaja mana satu kerbau yang dikehendaki; kalau pagi dia keluar, sebelah petangnya pastilah dia akan balik bersama kerbau yang dikehendaki itu.

Atas kebijakan dan kecekapannya itu, maka dia digelarkan oleh masyarakat kampung 'juara kerbau raja'. Dan yang paling menghairankan, Sagap tidak pernah menggunakan senapang untuk menangkap kerbau-kerbau itu. Dia gunakan tenaganya sendiri. Upahnya lumayan juga. RM 300.00 setiap seekor kerbau yang dapat ditangkap.

Selagi ada kerbau-kerbau raja itu, selagi itulah tugas Sagap Mamat tidak ada noktahnya. Pagi tadi tenaga Sagap Mamat diperlukan lagi. Haji Husin yang hendak mengadakan kenduri kahwin Ahad depan, telah menyuruh Sagap menangkap seekor kerbau jantannya yang besar. Dua hari sudah, Sagap sudah berjaya membawa pulang seekor kerbau betina milik Haji Husin. Ini kerana, Haji Husin akan menyembelih dua ekor kerbau bagi perkahwinan anak lelakinya ini, jadi Haji Husin perlukan seekor lagi.

"Kerbau jantan aku itu garang, kau kena hati-hati," pesan Haji Husin sebelum ini.

"Insya Allah, haji jangan risau," kata Sagap dengan penuh keyakinan diri. "Yang penting, saya sudah kenal pasti kerbau haji itu."

Sagap juara kerbau raja yang berumur hampir 40 tahun itu kelihatan begitu gagah melangkah masuk ke dalam ladang kelapa sawit itu. Setiapkali hendak menjalankan tugasnya itu, motorsikalnya diletakkan di belakang rumah Haji Seman. Kalau bawa motorsikal tentulah merumitkan apabila kerbau itu dapat ditangkap kelak.

Hari itu, sehingga jam 7.10 petang, Sagap juara kerbau raja belum balik. Biasanya jam 4.00 petang atau selewat-lewatnya jam 4.30 petang Sagap tentu sudah balik bersama kerbau yang ditangkapnya. Kenapa hari itu lewat? Amat menghairankan Haji Husin, isteri dan anak-anaknya, serta orang-orang kampung yang berhampiran rumah Haji Husin.

Dan ketika azan masjid Kampung Duriah Runtuh berkumandang, kelihatan Haji Seman dengan motorsikal buruknya menghala ke rumah Haji Husin. Timah, isteri Sagap dan anak-anaknya seramai tiga orang yang sedang menunggu di rumah Haji Husin berasa begitu hairan.

"Kenapa?" tanya Haji Husin sebaik Haji Seman memberhentikan motosikalnya.

"Sagap..." Haji Seman gugup.

"Kenapa Sagap?" soal Haji Husin.

"Polis…"

"Apa ada kena-mengena dengan polis?" soal Timah.

"Polis dah tangkap Sagap dengan tiga orang kawan-kawannya. Dia ditangkap ketika hendak masukkan daging kerbau dalam lori…"

"Astaghfirullah…..mana kau tahu?" tanya Haji Husin.

"Saya nampak. Masa itu saya ada dalam ladang itu tengah pungut daun kelapa sawit nak bagi kambing saya makan…"

detikdaily


BEKERJA SECARA SAMBILAN ATAU SEPENUH MASA DI RUMAH
Beri sekali dapat banyak kali...
Kelab BlackV6
Iklan di Biaqpila cuma RM30 sebulan (Iklan Banner+Teks) >> email ke biaqpila(at)gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...