Sabtu, Februari 27, 2010
PAS, NGO bantah acara maksiat Pesta Balok
KUANTAN: PAS Kawasan Indera Mahkota membantah Pesta Balok anjuran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana menganggap banyak pengisian programnya menjurus ke arah keruntuhan moral sehingga boleh mencemarkan kemuliaan bulan kelahiran Nabi ini.
Sehubungan dengan itu Yang Di Pertuanya, Nasrun Amir Abdullah, mahu pesta yang berlangsung di pantai Balok dari 26 hingga 28 Februari ini diisi dengan acara-acara yang mendatangkan faedah.
Dalam kenyataannya yang ditujukan kepada Yang DiPertua MPK, Nasrun berkata penganjuran Pesta Balok yang bermula pada 26 Februari ini jatuh pada hari kebesaran Islam iaitu hari Maulid Nabi Muhammad.
“Penganjuran program ini bertentangan dengan akhlak Islam yang menyuruh kita menghormati Rasul kelahiran kita, Nabi Muhammad SAW. Kami percaya bahawa kita yang beragama Islam sepatutnya mengisi hari tersebut dengan program yang lebih mendatangkan faedah seperti menganjurkan hari maulidurrasul dan pihak tuan masih boleh mengekalkan acara forum perdana dan pengisian lain yang bersesuaian”.
“Program-program sukan, pameran, jualan dan ceramah perdana merupakan program yang baik dan kami tidak membantah malahan kami menyokongnya”.
“Namun program Karaoke 60’an, Bintang Kecil dan Wayang Kulit dilihat tidak bersesuaian diadakan kerana ianya menjurus kearah keruntuhan moral dan akhlak muda-mudi”.
Serentak dengan itu Nasrun mengharapkan pihak MPK dapat menilai serta membatalkan program yang di lihat tidak bersesuaian dan mencemarkan bulan yang suci ini.
“Jika di Pulau Pinang apabila keluar berita kerajaan negeri tidak membuat perarakan Maulid Nabi, kita lihat aktivis Umno bukan main lagi marah. Di Pahang bukan sahaja tiada perarakan malah diisi dengan program maksiat. Jadi kalau Umno prihatin pertahan agama, silalah berdemo bantah MPK,” ujar Nasrun.
Sementara itu, Gabungan Badan Gerak Dakwah Pahang (BARAKAH) yang berpusat di Kuantan, turut menghantar memorandum kepada Yang DiPertua MPK membantah penganjuran pesta Pantai Balok.
Dalam memorandum yang turut dihantar kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Kadhi Daerah Kuantan, BARAKAH yang dianggotai oleh 14 buah badan gabungan bukan kerajaan (NGO) memandang berat penganjuran Pesta Pantai di Pantai Balok.
Ini memandangkan tarikh penganjuran tersebut jatuh, ketika umat Islam sedang meraikan tarikh kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Hari yang bersejarah dan mulia itu yang seharusnya diraikan dengan mengingati akhlak mulia,sifat kasih sayang dan risalah suci dan agung Baginda saw. Segala program yang dianjurkan semestinya berpaksikan sedemikian.
Menurut memorandum yang tandatangani pengerusinya Amidi Datuk Abdul Manan, BARAKAH melihat bahawa pesta ini sesungguhnya akan mencemarkan kemuliaan sambutan maulidurasul yang disambut diseluruh negara. Sepatutnya pihak Majlis Perbandaran Kuantan selaku Pihak Berkuasa Tempatan turut serta dan berkerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang meraikan sambutan maulidurasul ini sesuai dengan tema memantapkan ukhuwah perkasakan ummah dengan sambutan yang menepati syariat Islam dan tidak melalaikan.
Persoalannya, adakah pihak MPK berani untuk menganjurkan aktiviti seumpama itu jika ia jatuh pada Hari Kemerdekaan, Hari Hol, Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung atau Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang? Sudah tentu aktiviti yang diadakan akan mengambil kira unsur yang sesuai dengan tarikh tersebut.
Memorandum yang turut dihantar kepada Siasah itu turut mempersoalkan Adakah cerita wayang kulit dan persembahan kebudayaan yang dipertontonkan berkisar kepada kisah kelahiran Baginda Rasul? Jika ya, tahniah diucapkan. Adakah pertandingan karaoke lagu-lagu 60'an juga hanya membenarkan nasyid yang berkaitan dengan kelahiran Baginda? Begitu juga apakah kaitan pertandingan pukul bantal dan sebagainya dengan Maulidur Rasul? Walaupun ada ceramah perdana, namun ia jelas hanya sebagai selitan bagi mempelbagaikan aktiviti.
Di ketika Masyarakat Malaysia dan YAB Perdana Menteri telah melahirkan rasa terkejut terhadap akhlak buruk remaja ketika berlakunya pembakaran janin bayi baru-baru ini, seharusnya aktiviti yang dianjurkan menjurus kepada pembasmian anasir keruntuhan akhlak seperti percampuran bebas, hiburan melampau, lepakan tanpa tujuan murni. Sebaliknya BARAKAH melihat Pesta Pantai ini lebih condong kepada menggalakkan budaya hiburan yang melalaikan serta percampuran bebas lelaki dan perempuan.
sidangonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...