KUALA LUMPUR, Feb 21 — Kerajaan pusat hari ini mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam iklan itu satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian, kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.
Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Malah iklan penjelasan itu menambah, Tengku Razaleigh pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaian kedudukan wang ihsan kerana bayaran yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.
Walaupun Tengku Razaleigh telah mengubah pendiriannya pada masa ini, kedudukan undang-undang masih tidak berubah, jelas iklan penjelasan tersebut.
Ia merujuk kepada pandangan Tengku Razaleigh pada 2000 yang turut disasarkan menerusi risalah mengkritik beliau, yang diedarkan di Kelantan sekarang.
“Rakyat dan negara wajib menghormati undang-undang negara,” kata penjelasan itu lagi.
Iklan penjelasan itu yang diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjawab lapan isu termasuk pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas itu dan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.
Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Pakatan Rakyat telah mengesyorkan pembentukan kokus isu tuntutan bayaran royalti dengan meminta Tengku Razaleigh agar mengetuainya.
Penjelasan ini diiklankan kira-kira tiga minggu selepas Tengku Razaleigh berkata Kelantan ada hak untuk mendapatkan bayaran royalti lima peratus bukannya wang ihsan.
Kelmarin Majlis NGO Kelantan menganjurkan Ceramah Perdana Royalti Minyak, Antara Politik atau Hakikat Sebenarnya.
Pada ceramah itu, Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan persekutuan bahawa Kelantan hanya berhak kepada wang ihsan bukannya royalti.
Menjawab isu yang menyentuh ketua pembangkang maklum tentang kedudukan hak kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ini, iklan itu berkata, berdasarkan kedudukan peruntukan perundangan yang sedia ada, Anwar sedar kerajaan negeri tidak ada hak terhadap apa-apa bayaran tunai atau royalti berkaitan hasil petroleum yang diterokai di luar perairan wilayah negeri.
Oleh kerana itu kata iklan penjelasan tersebut, ketua pembangkang pernah cuba mengusulkan cadangan pindaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Parlimen, Disember lalu.
“Dengan itu ketua pembankang sendiri menyedari bahawa kerajaan negeri Kelantan tiada hak atas mana-mana telaga minyak atau gas yang berada dalam kawasan persekutuan,” kata iklan penjelasan ini.
Mengenai isu pertama iaitu “Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?”, penjelasan itu berkata:
“Istilah yang digunakan pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah bayaran tunai sebanyak lima peratus dan perkataan royalti tidak digunakan dalam mana-mana istilah akta berkenaan,” kata kerajaan pusat dalam iklan penjelasan itu.
Penjelasan itu juga berkata, negeri Kelantan atau mana-mana kerajaan negeri di Semenanjung tidak berhak kerana semua telaga minyak dan gas yang mengeluarkan hasil di Semenanjung masa sekarang berada di luar perairan wilayah negeri melebihi tiga batu nautika.
“Oleh yang demikian apa-apa hasil yang diperoleh di luar perairan negeri melebihi tiga batu nautika adalah hak milik kerajaan persekutuan,” katanya.
Mengenai isu kedudukan Sabah dan Sarawak dalam isu pembayaran royalti, penjelasan itu berkata, sebelum tahun 1974 kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hal royalti melalui kuat kuasa perjanjian serta Akta Pelantar Benua 1966.
“Ia merupakan sejarah dan hak istimewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963,” kata penjelasan.
themalaysianinsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...