Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 21 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan apa gunanya slogan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sedangkan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sedang menuju kehancuran.
Menurutnya lagi, MCA yang akan memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini hampir terbenam ekoran sikap kepimpinannya sendiri yang rakus serta ego.
"Kalau mahu membina Malaysia ke arah yang lebih cemerlang, kita harus ada kekuatan dalaman terutama parti yang menjadi teras BN. MCA, Gerakan, MIC dan Umno telah hilang kewibawaan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu kerana rakyat tidak lagi menaruh harapan terhadap parti itu," tegasnya ketika perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Terbuka Hock Teik, Jalan Satu di sini, petang semalam.
Baginya, BN umpama sebuah kapal yang hampir karam di lautan yang bergelora.
“Bila karam semuanya rosak termasuk enjin serta anak kapal," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pulau Pinang dengan kerjasama DAP Kepala Batas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri resah dengan perkembangan politik kerabat BN terutamanya MCA yang dilihat makin kurang sokongan.
Sampai kini, MCA gagal mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan maruah parti tertua Cina itu.
"Rakyat terdiri daripada masyarakat Cina usah lagi bergantung harap pada MCA sebaliknya kena berani membuat perubahan dan memberikan sokongan padu pada Pakatan Rakyat yang memerintah empat buah negeri," kata beliau.
Sementara itu, wakil masyarakat Cina Kepala Batas, Lai Hock Peng berharap iklim politik sekarang masih menyebelahi Pakatan Rakyat, tambahan lagi Parlimen Kepala Batas ditandingi orang baru, bukan lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, pasti PAS yang bertanding berpeluang kali ini kerana lazimnya orang baru sebagai calon BN akan menghadapi masalah perebutan.
"Saya yakin bila PAS bertanding kelak pada pilihanraya umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan menang kerana dulu ia hanya bergantung pada nama Tun Abdullah yang terkenal dengan cucu tok guru," jelasnya.
harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...