Selasa, Mac 30, 2010
Bangunan UMT runtuh: 1 maut, 4 cedera
KUALA TERENGGANU, 29 Mac — Seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh dalam satu kejadian petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata buruh terbabit tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya empat rakan mangsa dilaporkan cedera termasuk seorang cedera parah akibat dihempap dan terjatuh dari para besi yang runtuh ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air dan membancuh konkrit di bangunan itu pada kira-kira pukul 5.10 petang.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum diperolehi, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
“Ketika sedang melakukan kerja-kerja menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan itu iaitu di ketinggian lapan meter, para besi yang diduduki oleh beberapa pekerja tiba-tiba runtuh bersama konkrit tangki air yang masih belum keras.
“Konkrit bersama para besi itu kemudian menimpa beberapa orang lagi pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja-kerja membancuh simen di bawah,” katanya.
Pauzan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih berada di tempat kejadian sehingga pukul 8 malam ini untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika terdapat mangsa yang masih tertimbus ekoran kejadian itu.
Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur UMT setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Dis 2008 dan dijangka siap 18 Oktober tahun ini.
Seorang saksi yang juga juruperunding untuk projek berkenaan Sharif Dollah, 30-an berkata beliau berada di kawasan berhampiran apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan.
“Saya nampak beberapa orang pekerja Bangladesh terjatuh dari para besi yang runtuh itu, dan apabila menghampiri tempat kejadian saya dapati mereka telah berlumuran dengan simen yang masih basah dan ada yang berdarah,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan orang pekerja Bangladesh sedang melakukan kerja-kerja di situ.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said turut melawat tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat tentang kejadian itu.
Beliau melahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu dan menyifatkan ia berpunca daripada kecuaian pekerja itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau menasihati pekerja-pekerja pembinaan supaya mengutamakan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian hari ini. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...