PKR cabang Hulu Selangor akan mencadangkan tiga nama sebagai calon parti itu bagi menghadapi BN dalam pilihan raya kecil di parlimen tersebut tidak lama lagi.
Dua daripadanya, naib ketua cabang Razali Mokhtar dan bendaharinya Datuk Dr Halili Rahmat. Seorang lagi calon masih belum ditentukan.
Seorang pemimpin kanan cabang tersebut memberitahu Malaysiakini, nama-nama tersebut dijangka akan diserahkan kepada ibu pejabat PKR tidak lama lagi.
“Kedua-duanya (Razali dan Dr Halili) sama-sama kuat, terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya,” kata sumber tersebut.
Razali merupakan seorang jurutera, berumur sekitar 40-an dan merupakan anak tempatan kelahiran Batang Kali.
Manakala Dr Halili pula merupakan seorang pakar bedah saraf dan dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anak kelahiran Ulu Yam itu pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.
Berdasarkan pengalaman dan hubungan yang rapat dengan keluarga Anwar. Dr Halili dijangka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk dipilih.
PKR putuskan Ahad ini
Sementara itu, beberapa nama lagi turut disebut-sebut bertanding mewakili PKR bagi kawasan parlimen tersebut.
Mereka adalah: Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim (kanan), Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor Syed Shahir Syed Mohamud (kiri) dan ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.
Tidak jelas sama ada usaha melobi Zaid dan Syed Shahrir sebagai calon sedang dilakukan atau tidak.
Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan, terdapat beberapa pemimpin Pemuda PKR yang sedang giat mengumpulkan tandatangan bagi menyatakan sokongan terhadap Shamsul Badrul (kiri).
Difahamkan petisyen itu akan diserahkan kepada ibu pejabat PKR untuk dipertimbangkan. Usaha ini juga bagaimanapun tidak dapat disahkan buat masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah portal berita melaporkan, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Amin (kiri) dan peguam N Surendran (kanan) turut disebut-sebut dipertimbangkan sebagai calon.
Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh pula dilaporkan berkata tiga hingga lima nama akan dipertimbangkan dalam mesyuarat majlis tersebut Ahad ini.
Di pihak BN pula, juga masih tidak jelas sama ada kerusi tersebut akan ditandingi oleh MIC atau Umno. Parti India itu setakat ini telah mencadangkan timbalannya Datuk G Palanivel (kanan) bagi mewakili BN.
Sementara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula kelmarin dilaporkan berkata, BN menyerahkan perkara tersebut kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bagi menentukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...