Ahad, Mac 21, 2010

Gadis asing pelaris restoran


KUALA LUMPUR: Kegiatan tidak bermoral membabitkan wanita warga asing bukan saja tertumpu di pusat hiburan, malah kini restoran turut mendapatkan khidmat mereka bagi melariskan perniagaan.

Ini terbukti apabila sebuah restoran di Bukit Bintang di sini, diserbu malam kelmarin selepas dipercayai menawarkan gadis montok warga asing untuk dijadikan teman untuk berkaraoke di restoran sama selepas selesai menjamu selera.

Restoran terbabit turut menyediakan bilik khas untuk karaoke dan menjadikan warga asing atau pelancong sebagai sasaran. Dalam serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKL) kira-kira jam 9.30 malam itu, polis menahan dua individu berusia 26 dan 32 tahun dipercayai bapa dan ibu ayam yang menawarkan khidmat kepada orang ramai yang lalu lalang di depan restoran itu.


Malah, seorang daripada mereka dikesan memegang walkie-talkie yang dipercayai untuk berkomunikasi dengan penjaga wanita warga asing terbabit untuk urusan penghantaran ke restoran itu jika ada permintaan. Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam berhubung kegiatan serong wanita warga asing di restoran itu.


“Dengan kekuatan 11 anggota bersama tiga pegawai, kami (polis) menyerbu restoran terbabit.


“Risikan hampir dua jam kemudian mendedahkan modus operandi mereka yang membekalkan pelacur dari pusat pengagihan di Jalan Yap Kwan Seng yang diserbu baru-baru ini,” katanya.


Hasil pemeriksaan, polis menahan 21 warga asing dipercayai GRO berada dalam restoran itu dan berpakaian seksi berusia 22 hingga 28 tahun.


Razali berkata, daripada jumlah itu, 15 daripadanya warga Vietnam, empat dari China manakala selebihnya warga Kemboja.


Semua yang ditahan dibawa ke IPKL untuk siasatan. Bagi mereka yang menyalahgunakan permit masuk, mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


“Polis tidak menolak wujud kegiatan maksiat termasuk pelacuran dilakukan di kalangan gadis warga asing terbabit. Bagaimanapun, bayaran yang dikenakan masih dalam siasatan,” katanya.

hmetro





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...