Isnin, Mac 01, 2010
Tukang urut kena perah
TERTIPU...tukang urut melayan pelanggan.
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
KUALA LUMPUR: Mereka rela bekerja sebagai gadis urut kerana mahukan wang lumayan dengan cara mudah tanpa mengira halal haram, namun impian itu tidak kesampaian selepas terperangkap dengan kontrak disediakan tauke rumah urut.
Lebih menakutkan, mereka diwajibkan bekerja tidak kurang dari 10 bulan dan tauke memberi amaran akan menghantar samseng untuk mencari gadis urut yang berhenti kerja atau melarikan diri sebelum cukup tempoh itu.
Perkara itu didedahkan seorang gadis urut yang hanya mahu dikenali sebagai Camelia, 27, selepas menyesali perbuatannya dan berasa diperbodohkan oleh majikan sepanjang bekerja sebagai tukang urut.
Dia kini melarikan diri daripada bekerja di premis rumah urut berkenaan dan mahu mencari pekerjaan lain.
Camelia berkata, ketika diterima bekerja, dia diwajibkan menandatangani kontrak bekerja selama 10 bulan dengan merelakan gaji dipotong sebanyak RM400 sebulan, sekali gus membolehkan si tauke memperoleh untung atas angin sebanyak RM4,000.
“Saya tidak diberitahu secara khusus mengenai potongan wang gaji itu kerana di dalam kontrak tidak pula ditulis alasannya, malah salinan kontrak yang ditandatangani tidak diberi.
“Yang saya faham, ia sebagai persediaan jika premis diserbu atau saya ditahan pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam, polis atau pihak berkuasa tempatan.
“Wang potongan bulanan itu digunakan untuk membuka semula perniagaan atau menjamin saya. Sebab itu banyak rumah urut yang diserbu dan ditutup boleh buka semula sebab mereka ada wang yang diperah daripada tukang urut,” katanya.
Selain dipotong RM400, kontrak berkenaan memerlukan wanita terbabit merelakan apa saja potongan yang dibuat.
“Jika premis kena samun atau rompak, gaji kami kena potong sekitar RM100 hingga RM150. Jika lewat datang kerja sejam kena potong RM100 dan jika tidak datang kerja gaji kena potong antara RM200 hingga RM300. Dari semasa ke semasa ada saja potongan gaji yang dikenakan ikut suka hati mereka,” katanya.
Menurutnya, beberapa syarat dikenakan juga tidak masuk akal, antaranya jika sakit perlu datang ke premis untuk tempoh lebih dua jam bagi membuktikan benar-benar sakit.
“Paling saya takut, jika tidak bekerja sehingga tamat kontrak, tauke akan cari sehingga ke rumah dan melakukan lagak seperti samseng. Ada rakan yang lari pernah kena begitu. Sekarang saya takut juga kerana melarikan diri daripada bekerja di premis itu,” katanya.
Camelia yang hanya bekerja tiga bulan berkata, tidak sukar bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan kerana hanya perlu menandatangani kontrak dan belajar urut ala kadar sebelum bekerja.
“Kami digalak melakukan khidmat urut batin kerana mampu memberi lebih keuntungan kepada tauke dan pada masa sama diri sendiri. Jika urut biasa untuk tempoh sejam berharga RM50 hingga RM60, saya hanya mendapat RM15 dan selebihnya milik tauke.
“Jika urut batin, daripada bayaran RM50 yang dikenakan kepada pelanggan, saya cuma diberi RM20, bakinya tauke ambil. Jika ramai pelanggan, banyaklah gaji saya, tetapi sama ada gaji banyak atau sedikit, tauke tetap untung kerana potongan gaji yang dikenakan,” katanya.
Seorang lagi bekas gadis urut yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita, 20, berkata tauke rumah urut berani membuka perniagaan itu kerana mampu beroleh untung besar.
“Bayangkan, jika seorang pekerja dipotong RM400, berapa banyak tauke boleh dapat. Itu tidak termasuk keuntungan yang diperoleh daripada pelanggan. Jika ada banyak premis, lagi banyak untung,” katanya.
Rozita mendakwa, sebab itu sehingga hari ini premis rumah urut tidak pernah surut.
“Tukang urut diperah habis-habisan. Ada yang berani mengambil tukang urut di bawah 21 tahun dan diletakkan di lokasi yang kononnya selamat daripada serbuan.
“Apa pun, tauke tak susah sebab kalau kena serbu, barang kena rampas, bilik kena pecah dan pekerja kena tahan, tauke ada wang untuk memulakan perniagaannya semula. Semua wang yang dipotong hasil titik peluh tukang urut,” katanya.
Rozita mengakui menyesal bekerja sebagai tukang urut dan menasihati wanita lain supaya tidak melakukannya.
“Memang pekerjaan itu kononnya boleh dapat banyak wang, tetapi kita sebenarnya dipergunakan habis-habisan,” katanya.
hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...