Rabu, Mac 03, 2010

Wakil rakyat bebas

2 MAC — Jika 10 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dari parti masing-masing sekarang, Barisan Nasional secara automatik akan kembali menguasai dua pertiga majoriti Dewan Rakyat.

Sebenarnya majoriti mudah dengan lebihan satu kerusi pun sudah cukup untuk mana-mana parti menguasai kerajaan.

Namun, penguasaan dua pertiga membolehkan parti pemerintah meminda Perlembagaan Persekutuan seperti melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan mengubah kuasa-kuasa kerajaan negeri.

Sekiranya lompatan itu berlaku, Barisan yang hilang majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 akan kembali berkuasa untuk meminda Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang anti-lompat, mana-mana wakil rakyat boleh meninggalkan partinya atau menyertai parti lain tanpa menjejaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Walau pun lompatan mereka sah di segi undang-undang, ia menjadi cemuhan di segi moral kerana dianggap mengkhianati mandat dan amanah pengundi.

Biasanya yang melompat itu dari pembangkang kepada parti pemerintah. Yang menjadi satu fenomena baru adalah melompat parti tanpa menyertai parti lain; sebaliknya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas.

Ini mungkin dilakukan untuk mengurangkan kemarahan pengundi yang telah memilih parti dan bukannya calon sewaktu pilihan raya. Ia juga bertujuan memberi persepsi bahawa wakil rakyat bebas tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana parti.

Ini bermula dengan Datuk Ibrahim Ali yang menang di bawah lambang Pas di Kelantan mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas sebaik sahaja selesai pilihan raya umum 2008. Beliau amat mesra sekali dengan Umno.

Pada September 2008, apabila Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar dari Barisan, dua Ahli Parlimennya mengumumkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas. SAPP marah dengan Barisan dalam soal hak Sabah tetapi tidak pula mesra dengan Pakatan.

Pada Februari 2009, tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak — dua dari PKR dan satu dari DAP — mengumumkan keluar parti untuk menjadi calon bebas. Keputusan mereka menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri itu. Mereka juga adalah pencipta istilah “wakil rakyat bebas mesra Barisan Nasional”.

Baru-baru ini, dua Ahli Parlimen PKR Datuk Seri Zahrain Hashim dan Tan Tee Beng keluar parti dan turut mengisytiharkan diri wakil rakyat bebas. Mereka tidak menyatakan secara terbuka kemesraan terhadap Barisan tetapi kebencian meluap dilafazkan secara terbuka terhadap pucuk pimpinan PKR dan DAP.

Bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim yang turut meninggalkan parti telah menyatakan ada sekurang-kurangnya 10 lagi wakil rakyat PKR yang dijangka keluar parti. Beliau turut memperlekehkan kepimpinan parti yang ditinggalkannya itu.

Mengapa wakil-wakil rakyat ini memilih untuk menjadi “bebas” dan tidak terus menyertai parti lain terutamanya parti-parti komponen Barisan Nasional khususnya Umno?

Jawapan yang sinis akan menyatakan mereka hanya menunggu masa yang sesuai apabila marah para pengundi sudah reda. Tetapi yang tersirat kadang-kala berbeza dari yang tersurat.

Jika benar ada lebih 10 Ahli Parlimen Pakatan keluar parti, ia merupakan tamparan hebat dan serangan saraf yang paling teruk terpaksa dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Gabungan pembangkang itu bukan sahaja akan kehilangan kuasa untuk menghalang majoriti dua pertiga Barisan di Parlimen tetapi juga terpaksa menelan hakikat pahit kekalahan di luar medan pilihan raya.

Bagi Barisan pula, ia akan menjadi kemenangan paling besar setelah kebanyakan parti komponennya, selain Umno, ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Jadi, kesannya kepada kedua-dua pihak amat serius sekali.

Dengan itu, harga individu wakil rakyat bebas ini akan melambung secara mendadak jika mereka mengisytiharkan diri sebagai “mesra Barisan” atau setidak-tidaknya memberi gambaran buruk terhadap Pakatan yang mereka tinggalkan itu.

Habuan yang bakal mereka terima mungkin jauh lebih besar daripada jika sekadar terus menyertai masuk mana-mana parti dalam Barisan dalam masa yang terdekat ini.

Itulah nilai sebenar menjadi seorang wakil rakyat bebas yang mesra dengan Barisan.

Kedudukannya berbeza pula dengan dua Ahli Parlimen SAPP kerana mereka telah mengambil jalan yang bertentangan dengan meninggalkan Barisan. Tetapi sebagaimana yang diketahui umum, kebanyakan orang politik yang pernah duduk bersama parti pemerintah, mereka jarang berpaut di dahan yang rapuh.

Di segi kesan jangka panjang, jika fenomena mesra dengan parti pemerintah ini berterusan, istilah “wakil rakyat bebas” mungkin dicatatkan sebagai sesuatu yang buruk dan keji dalam arena politik Malaysia.

Berbeza dengan amalan demokrasi moden, “bebas” dalam konteks politik tempatan amat berbeza dengan “independent” yang biasanya dimaksudkan dengan individu atau kumpulan ahli politik yang bosan dengan parti-parti yang ada dan mahu mewujudkan pilihan ketiga kepada rakyat.

Di kebanyakan negara Barat, lebih 40 peratus pengundi tidak membuang undi kerana tidak puas hati dengan pilihan yang ada. Jadi banyak individu atau kumpulan politik mempamerkan diri mereka sebagai “bebas” dengan harapan untuk meraih undi dari kumpulan yang kecewa dengan amalan politik semasa. Ini dilakukan dengan cara mengemukakan idea dan manifesto yang berbeza dari parti-parti tradisional.

Sebaliknya, di Malaysia, calon atau wakil rakyat bebas jarang mendapat perhatian. Biasanya mereka digelar sebagai “kacau daun” sewaktu pilihan raya sahaja kecuali beberapa individu yang dihormati sebagai orang yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat.

Dalam catatan sejarah politik tanah air, antara mereka yang terkenal dengan kegigihan sebagai seorang wakil yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat adalah Abdul Jabar Mohamad Yusof atau lebih terkenal dengan panggilan Cikgu Jabar. Beliau menjadi wakil rakyat bebas bagi DUN Batu Laut (sekarang DUN Tanjung Sepat) Selangor selama tiga penggal berturut-turut setelah menang dalam pilihan raya umum 1974, 1978 dan 1982.

Tetapi dalam keadaan sekarang, istilah “wakil rakyat bebas” seolah-olah sedang menuju ke arah “doublespeak” atau pemesongan makna; sama nilainya seperti luahan kata-kata indah yang biasa didengar dari mulut ahli-ahli politik.

Ia juga akan menjejaskan proses kematangan demokrasi Malaysia. Setakat ini, belum ada tanda-tanda “bebas” itu bererti kuasa atau pilihan ketiga. Malah usaha untuk mewujudkan sistem dua parti juga akan malap jika ada lagi lompatan dari mereka yang mahu bergelar “wakil rakyat bebas” — kerana akhir-akhir ini arah lompatan itu sehala sahaja.

themalaysianinsider




1 ulasan:

  1. Tanpa Nama3/3/10 1:06 PTG

    Fenomena baru ini amat merbahaya kepada demokrasi. Dengan menjadi MP bebeas, mereka bila-bila masa boleh menawarkan undi mereka kepada mana-mana pihak, UBN atau Pakatan untuk habuan.

    Mereka menjadi sekelompok MP yang akan memperdagangkan undi mereka di parlimen kepada mana-mana pihak yang sanggup membayar harga yang lebih tinggi.

    Apabila Pakatan memerintah nanti, perlu digubal satu undang-undang anti lompat yang menyeluruh untuk membenteras penyalahgunaan kepercayaan pengundi kepada mana-mana MP atau ADUN yag melompat.

    bat8

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...