Ahad, Mac 07, 2010

Wang ihsan: Husam cabar Mustapa bersumpah

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 6 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa menolak dakwaan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang terus mempertahankan pendirian hanya wang ihsan menjadi hak Kelantan berasaskan undang-undang, sambil mencabar beliau agar bersumpah.

Mustapa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husein merupakan dua pemimpin Umno yang begitu menonjol dalam isu royalti apabila terus-menerus menjadi sasaran serangan pemimpin kerajaan negeri ekoran dikatakan penghalang kepada bayaran royalti

Mustapa dan Awang Adek adalah anak kelahiran Kelantan.

“Jika benar apa yang dipertahankan mereka itu berasaskan undang-undang, dan sama-sekali tidak berniat menafikan hak rakyat, dan tidak juga kerana kepentingan politik, saya cabar Datuk Pa (Mustapa) bersumpah dengan nama Allah.

“Semua rakyat barangkali merasai wajar kalau sumpah itu dibuat memandangkan royalti itu adalah milik sejuta lebih rakyat Kelantan.

“Sekurang-kurangnya sejuta lebih rakyat Kelantan itu hendak lihat sendiri kebenaran menteri berkenaan,” kata beliau pada majlis Penutupan Diskusi Semasa Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-undang.

Diskusi anjuran Urusetia Kerajaan Negeri dengan kerjasama Muslimat Legal Team dan gabungan badan NGO itu diadakan di dewan Balai Islam Lundang dekat sini.

Akhir bulan lalu satu taklimat hampir sama berhubung isu berkenaan disampaikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas kepada exco kerajaan negeri.

Awal minggu ini Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan usul untuk membawa pertikaian itu ke mahkamah.

Sementara itu dalam satu perkembangan lain Setiausaha Akhbar Menteri Besar Ahmad Fadhli Ashaari memaklumkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah pun dibenar pulang hari ini selepas dimasukkan ke hospital dua hari lepas.

Nik Aziz dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) selepas mengadu sakit dada Rabu lepas.

themalaysianinsider





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...