KUALA LUMPUR, 25 April — Dalam suasana panas menanti keputusan rasmi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini, tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor pula “panas hati” apabila khabar angin heboh memperkatakan bahawa mereka telah meninggal dunia.
Bermula dengan Adun Kota Damansara (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, khabar angin itu kemudian dikaitkan dengan Adun Damasara Utama Dr Cheah Wing Yin (DAP) dan juga Adun Sungai Burong Shamsuddin Lias (Barisan Nasional), hingga menimbulkan kekeliruan banyak pihak.
Bilik berita Bernama dan telefon bimbit wartawan hari ini dihujani dengan panggilan bertalu-talu daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan tersebut selain daripada ingin mendapatkan perkembangan mutakhir keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Nyata khabar angin itu tidak berasas apabila Shamsuddin ketika dihubungi Bernama menjawab panggilan tersebut sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu.
“Alhamdulillah saya masih sihat, tiada apa-apa. Memang saya terima banyak panggilan dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bertanyakan kesahihan khabar angin bahawa saya sakit tenat dan sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya beliau sihat dan berada di Hulu Selangor bagi membantu jentera BN pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
“Saya kecewa dengan dengan budaya suka menabur fitnah dan khabar angin seperti ini. Ia perlu dicegah dan dihentikan kerana boleh merosakkan masyarakat,” katanya.
Shamsuddin turut meminta orang ramai khususnya rakan-rakan dan pengundi di kawasannya supaya bertenang dan tidak mempercayai khabar angin itu.
“Terima kasihlah kerana menelefon dan menghantar SMS kepada saya. Ramai terperanjat dengan berita kematian saya ini. Apapun saya masih sihat dan masih hidup,” katanya.
Dr Mohd Nasir pula walaupun gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya berhubung khabar angin itu tetapi disahkan sihat dan tidak terbabit dalam sebarang kemalangan jalan raya oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan yang memaklumkannya melalui twitter.
“Dr Nasir, pengerusi PSM dalah selamat dan sihat. Beliau tidak terlibat dalam sebarang kemalangan seperti disebarkan dalam khabar angin,” tulisnya dalam twitter itu yang menggunakan identiti twitter Arul PSM Sec-Gen, yang disiarkan di laman web rasmi PSM. Adun Damasara Utama, Dr Cheah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Sunway selepas terlibat dalam kemalangan 13 Mac lepas, turut menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Bagaimanapun pembantu khas beliau, Richard Yap ketika dihubungi menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin semata-mata.
Sebaliknya Yap berkata, keadaan Dr Cheah kini bertambah stabil dan beliau dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.
“Selepas Rabu ini, kami jangkakan pelawat dibenarkan melawat beliau,” katanya. Adun itu mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam. — Bernama
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...