Khamis, April 15, 2010

Adegan bogel jatuhkan imej negara


KUALA TAHAN – Penggambaran filem sebuah syarikat luar negara yang dilakukan di sebuah lokasi Taman Negara Kuala Tahan dekat sini dilihat melanggar tatasusila budaya Melayu Islam khususnya dan mencemarkan imej negara.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, Pemuda UMNO kesal dengan syarikat perfileman itu yang dilihat tidak peka dan sensitif terhadap budaya di negara ini, yang dilakonkan dalam beberapa adegan penggambaran itu.

Menurutnya, penggambaran terbaru dilakukan di Dedari berdekatan Kuala Tahan di sini membabitkan pelakonnya tidak berpakaian dan cuma menutup di bahagian alat sulit sahaja, yang jelas menunjukkan produksi filem itu mengambil mudah isu sensitiviti penduduk Melayu Islam termasuklah Orang Asli Taman Negara.

“Saya tidak bersetuju adegan yang melanggar tatasusila itu diadakan, kerana pusat pelancongan ini dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa yang inginkan ketenangan, dengan pelancong tempatan pula terdiri daripada pelbagai kaum yang kuat berpegang kepada agama, adat dan budaya masing-masing.

“Saya juga kecewa mengapa pihak berkaitan meluluskan penggambaran adegan itu dilakukan di sini, kerana sepatutnya skrip filem itu dilihat dahulu, dikaji dan ditapis supaya tidak melanggar etika dan meragukan semua pihak,” katanya ketika ditemui menyertai gotong-royong perdana di Jerantut Feri semalam.

Wan Amizan berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kerajaan Negeri perlulah tampil menyiasat perkara itu seterusnya menimbang semula permit kebenaran syarikat filem berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan berkata, apa yang dikesalkan ialah syarikat berkenaan membawa Orang Asli dari negara lain, melakonkan adegan tanpa pakaian di dalam kawasan berkenaan.

Menurutnya, adegan oleh pelakon tambahan itu hanya menutup di bahagian alat sulit masing-masing boleh dilihat oleh penduduk yang menaiki bot penambang, yang berulang alik ke perkampungan di Hulu Tembeling ketika penggambaran berlangsung di beberapa rumah Orang Asli yang dibina khas berdekatan Sungai Tembeling.

“Adegan atau babak itu berdekatan sungai yang mudah dilihat orang awam, dan tentu lebih teruk serta memalukan jika berlaku di dalam hutan membabitkan pelakon wanita pula bersama pelakon utama yang dirakam krew filem itu,” katanya.

Wan Amizan berkata, jangan kerana sikap ambil mudah dan terlepas pandang membuatkan apa yang pernah menggemparkan negara dahulu berulang lagi, yang akhirnya memberi kesan dan imej buruk kepada Malaysia, yang digambarkan oleh filem dari luar negara.

Menurutnya, apabila adegan seumpama itu dibiarkan dirakam, pastinya apabila ia ditayangkan kelak penonton negara luar secara tidak langsung beranggapan bahawa itulah realiti sebenar sikap dan budaya di negara ini, sedangkan hakikat sebenarnya salah dan menjejaskan imej di sini.

“Pemuda UMNO melihat peraturan terhadap syarikat filem luar negeri yang memilih lokasi di negeri ini untuk penggambaran, perlu meneliti skrip atau perjalanan cerita termasuk dokumentari supaya bersih daripada unsur maksiat dan mematuhi tatasusila orang Melayu.

“Ini penting kerana adegan yang dirakam seharusnya berkaitan keindahan flora, fauna dan pemandangan persekitaran Taman Negara Kuala Tahan, sebaliknya bukanlah babak tidak senonoh yang dikaburi oleh alam semula jadi,” katanya.

Wan Amizan berkata berkata, beberapa hari lalu beliau turun menyiasat di lokasi penggambaran apabila menerima aduan, seterusnya bertemu dengan krew filem berkenaan untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Menurutnya, memang ada babak tidak sesuai yang tidak sepatutnya ditonjolkan dan bercanggah dengan budaya tempatan, namun cuba ditepis pengarah produksi berkenaan dengan bertegas mengatakan adegan itu tidak menyalahi budaya tempatan dan sebahagiannya adalah babak arahannya.

“Beberapa pengawal juga diupah syarikat itu supaya tidak membenarkan orang luar memasuki ke lokasi di Dedari ketika penggambaran dibuat terutamanya melibatkan adegan dalam hutan.

“Saya kesal dengan kegiatan syarikat perfileman luar yang membuat penggambaran di sini menjatuhkan imej budaya Melayu tempatan dan menggambarkan seolah-olah masih ada hutan Malaysia didiami oleh Orang Asli yang tidak bertamadun dan berbogel,” katanya.

Menurutnya, kajian dan penelitian mendalam perlu diberikan, supaya mana-mana syarikat penggambaran tidak sewenang-wenangnya mengeksploitasi kawasan pelancongan di sini untuk tujuan dan kepentingan mereka.

“Kita tidak mahu promosi menerusi filem akan menimbulkan tanggapan negatif bahawa negara ini masih ada masyarakat yang ketinggalan, dengan masih tidak berpakaian, tinggal di hutan dan menjadi bahan tontonan umum dengan tanggapan yang salah,” katanya.

Katanya, sebelum ini sudah ada dua syarikat filem luar negeri pernah membuat penggambaran di Tabung berdekatan Taman Negara, tetapi mereka mematuhi etika dan memahami sensitiviti masyarakat di sini.

sinarharian






3 ulasan:

  1. tak heran sangat la kalau yang lakukabn adegan bogel tu orang asing sebab memang budaya mereka macam tu, tapi yang saya hairan kat bandar2 besar di malaysia ni lagi ramai orang berbogel termasuk orang melayu yang ngaku islam tapi sebenarnya mereka bertelanjang kerana tidak menutup aurat,sepatutnya pemuda umno pahang lebih peka dengan kes yang melibatkan orang melayu islam yang berperangai melebihi bangsa asing dari segi akhlak,pakaian dan pergaulan bebas,pembuangan bayi adalah disebabkan pergaulan bebas remaja dan kerajaan telah membuka seluas2nya pintu kemungkaran ini kepada remaja melayu islam ini kepada maksiat, jadi patutkah kita salahkan orang asing berbogel kerana ini budaya mereka dan membiarkan orang melayu islam lebih teruk dari mereka sedangkan kita melaungkan malaysia adalah negara islam keseluruh dunia.tepuk dada tanya iman kita.betulkan dulu pemimpin2 kita termasuk menteri2 dan bini pemimpin melayu islam kita agar lebih berpegang teguh pada ajaran agama islam.

    BalasPadam
  2. ini sudah bagusss..inilah dikatakan demokrasi

    BalasPadam
  3. sah2 dah...negara pun bukan negara islam...klu negara islam undang2 Allah pasti berjalan...tu je jawapan...

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...