Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengunakan pentas Felda untuk mengugut para peneroka ketika melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Sabtu lepas.
Beliau yang juga Pengerusi BN mengingatkan para peneroka di Hulu Selangor bahawa BN hanya akan memberikan bantuan dan memacu kepada perubahan jika mereka memberikan kemenangan besar kepada BN dalam Pilihanraya kecil parlimen disitu. Ya! bantuan hanya diberikan jika BN menang. Beliau lupa bahawa BN telah menang besar di kesemua tiga DUN dalam Parlimen Hulu Selangor pada 2008, tapi hari ini baru nak buat ikrar pembangunan dengan nada mengugut.
Ugutan yang berbentuk janji yang ditabur diseluruh negara, sama seperti Timbalannya Muhyiddin yang turut turun berkempen minggu lepas. Sehingga ke hari ini BN gagal memberikan jawapan berhubung isu 4 orang guru yang terpaksa tinggal didalam bilik kecil dibawah kelas tempat mereka mengajar sejak tiga tahun lalu di Ulu Baram.
BN menang di Parlimen Baram pada 2008, namun nasib guru-guru ini tidak berubah. Janji perubahan dan memacu pembangunan hanya tinggal sebagai slogan Pilihanraya. Inilah juga yang akan berlaku kepada Hulu Selangor jika BN kembali disitu. Pengundi juga harus ingat bahawa, jika BN menang sekalipun, mereka hanya mampu memberikan janji kosong kerana Kerajaan negeri masih dalam tangan Pakatan.
Peneroka Felda sentiasa menjadi sasaran Najib, sedangkan hakikatnya beliau hanya menumpang kejayaan Felda yang diwariskan oleh Ayahnya, Tun Razak.
Najib memberi peringatan serius kepada warga Felda di Hulu Selangor bahawa 25 haribulan (hari pengundian) mereka kena undi BN. Hanya dengan memberikan bantuan dan kepercayaan kepada BN barulah Yayasan Kelana Ehsan akan diarahkan untuk membantu mereka. Ini jelas, gula-gula politik Najib.
PAS mengingatkan peneroka Felda agar tidak terpedaya dengan projek perumahan RM 32 juta yang turut diumumkan Najib. Projek yang terletak di kawasan Felda Soeharto seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah bakal dijual kepada para peneroka dengan harga RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah.
PAS harap peneroka memahami hak mereka. Rumah ini akan dijual kepada peneroka, bukan diberikan secara percuma. Ya! bukan percuma, kena beli pakai duit peneroka sendiri. Najib mengakui bahawa mana-mana peneroka yang mahu membelinya boleh memohon pinjaman dari mana-mana institusi kewangan (Bank) atau membuat perjanjian sewa beli dengan Felda. Harus diingat bahawa harga RM 42 ribu dan RM 75 ribu ini adalah harga pokok, belum dicampur dengan kadar faedah. Dengan mengambil kira tempoh pinjaman selama 20-30 tahun, nilainya adalah sekitar RM 100 ribu-RM 120 ribu.
Tanpa mengundi BN, para peneroka masih boleh membeli rumah itu atau rumah lain yang lebih baik, kerana rumah yang bakal dibina itu bukan diberikan percuma, masih ada pilihan.
PAS juga mengingatkan para peneroka agar tidak lupa kes 25000 peneroka, yang ditindas oleh Felda. Sehingga kini Felda masih gagal memulangkan RM 425 juta duit peneroka terbabit yang disimpan dalam Tabung Tanam Semula, walaupun mahkamah telah keluarkan arahan. PAS mahu peneroka bertanya kepada Felda, ke manakah duit itu telah pergi hingga mereka tidak mampu mengembalikannya kepada peneroka yang menuntutnya?
Jika wang tabung pun boleh lesap, inikan pula projek perumahan yang baru dipecah tanah. Peneroka juga jangan lupa bahawa banyak lagi projek perumahan yang masih terbengkalai diseluruh negara, dan perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku, walaupun ketika itu peneroka sudah dikehendaki membayar duit pinjaman Bank. Di mana Felda mahu cari duit RM 32 juta untuk selesaikan projek berkenaan sedangkan hutang RM 425 juta belum mereka selesaikan?
PAS yakin, peneroka yang bijak akan menolak BN. Fikir-fikirkanlah sebelum anda menyesal dikemudian hari.
PAS mengingatkan Perdana Menteri agar sedar kedudukannya dan tidak mengunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk turun berkempen di Hulu Selangor. Gaji beliau semasa turun memecah tanah pada sabtu lepas di Felda Soeharto adalah dibayar dari duit rakyat bukan duit BN. Beliau perlu hormati tarikh sebenar dan tidak berkempen mengunakan jentera Kerajaan sebelum hari penamaan calon. Kalau mahu berkempen gunalah jentera BN sepenuhnya, jika tidak rakyat dengan jelas sudah melihat bahawa jentera BN begitu lemah sehingga terdesak meminjam jentera Kerajaan yang digajikan dengan duit rakyat.
PAS menyeru agar seluruh jentera Pakatan terus mengasak BN di Hulu Selangor dan seluruh negara. Pastikan gambar-gambar jentera Kerajaan yang BN gunakan diambil dan disebarkan untuk perhatian rakyat.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
idrisahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...