Ahad, April 25, 2010

Ibu tiga anak mati ditikam suami



JOHOR BAHRU 24 April - Entah apa dosanya, seorang pembuat kek yang juga ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat ditikam oleh suaminya di Blok C, Flat Larkin, di sini hari ini.

Mangsa, Ahzila Mohamad Sufian, 23, ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom berkata, sebelum itu, ibu mangsa telah datang ke balai polis untuk memaklumkan tentang pergaduhan antara mangsa dan menantunya.

"Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis telah bergegas ke tempat kejadian tetapi mendapati pintu rumah mangsa berkunci.

"Kami terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui mangsa dengan kesan tikaman di dada di ruang tamu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Zainal berkata, pihak polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Beliau memberitahu, polis kini sedang giat memburu suami mangsa berusia 30 tahun yang juga merupakan seorang peniaga.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, ibu mangsa, Zainon Abdul Kadir, 59, berkata, ketika kejadian berkenaan, anak mangsa berusia antara tiga dan lima tahun datang ke rumahnya yang terletak di tingkat 10 blok sama.

"Mereka yang tinggal di tingkat 12 datang ke rumah saya kira-kira pukul 2 pagi... Saya sedang tidur apabila terdengar pintu rumah diketuk dan apabila dibuka didapati ketiga-tiga anak mangsa berada di luar rumah tanpa kelibat ibu bapanya.

"Kemudian saya menyuruh mereka masuk ke rumah dan apabila bangun dari tidur, mereka bercerita tentang pergaduhan antara ibu dan bapa mereka," katanya.

Zainon berkata, anak dan suaminya sememangnya mempunyai masalah rumah tangga tetapi dia sendiri tidak pasti masalah sebenar mereka.

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...