Ahad, April 04, 2010

Penyewa cuba rogol, cederakan tuan rumah

SUBANG JAYA – Malang bagi seorang pemilik rumah apabila dia bukan saja disamun lelaki yang menyewa rumahnya, bahkan gambar bogelnya turut dirakam dan diugut disebarkan dalam kejadian, petang kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku apabila pemilik berkenaan, seorang wanita lingkungan 30-an mengunjungi rumah teres dua tingkat miliknya di Subang Jaya di sini, untuk mengutip wang sewa seperti biasa.

Sumber berkata, setelah pembayaran diterima, dia kemudian membatalkan hasrat untuk terus pulang apabila dimaklumkan lelaki terbabit bahawa bumbung di tingkat satu rumah berkenaan mengalami kebocoran.

Tanpa menyedari dirinya bakal menjadi mangsa, wanita yang bekerja sebagai guru muzik di Petaling Jaya itu terus menuju ke tingkat atas untuk melihat masalah diadukan.

“Bagaimanapun, mangsa yang mendakwa tidak melihat sebarang kebocoran di tempat dimaksudkan, tiba-tiba terkejut apabila penyewanya bertindak mengacukan sebilah pisau dan terus menampal mulutnya dengan pita pelekat.

“Mangsa kemudian dibogelkan dan dalam masa sama gambarnya dirakam sebelum bertindak rakus mahu merogolnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, wanita itu yang teringat langkah pencegahan jenayah rogol dan mahu mengelakkan daripada menjadi mangsa, kemudiannya terus membuang air besar dan kecil di situ, bagi menimbulkan loya supaya suspek tidak meneruskan hasratnya.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengheret wanita itu ke bilik air dan mengarahkannya membersihkan diri.

“Suspek juga memaksa mangsa melakukan seks oral sebelum mengarahkannya mengeluarkan kad mesin juruwang automatik (ATM) yang mengandungi wang,” katanya yang memaklumkan mangsa mendakwa, suspek kemudian menghubungi seorang rakannya supaya datang segera ke rumah berkenaan.

Menurut sumber, suspek meminta bantuan rakannya supaya datang mengambil kad ATM mangsa supaya ke bank bagi mendapatkan wang, sementara suspek mengawal wanita terbabit di rumah terbabit.

Menurutnya, tiba-tiba suspek bertindak ganas apabila dimaklumkan rakannya bahawa nombor pin yang diberikan mangsa tidak betul hingga menyebabkan kad ATM berkenaan 'ditelan' mesin.

“Suspek mengamuk dan memijak kepala mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan berlakunya sedikit kecederaan.

“Setelah puas melepaskan kemarahannya, suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan dompet duit mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa kemudiannya dapat menyelamatkan diri sebelum membuat satu laporan di Balai Polis Subang Jaya, pagi kelmarin.

sinarharian




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...