Khamis, Mei 06, 2010

Generasi kedua umat Islam Norway alami krisis identiti

2010/05/05

KUALA LUMPUR: Generasi kedua umat Islam di Norway kini bukan saja mengalami krisis identiti, malah menjadi mangsa prejudis dan penindasan di tempat kerja serta sekolah, kata seorang penyelidik dari negara itu.

"Semakin ramai umat Islam di Norway menjadi penganggur, menyandang jawatan dengan gaji lebih rendah dan berada dalam golongan miskin, manakala sesetengah yang lain pula menjadi mangsa penindasan kaum dan sikap prejudis serta dipandang rendah oleh majikan. Masalah ini juga dihadapi umat Islam di negara Eropah lain," kata Nora Sunniva Eggen.
Eggen, felo penyelidikan PhD di University of Oslo dan sedang menyiapkan tesis tentang pandangan pemikiran Islam, berada di negara ini sebagai tetamu Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Beliau menyampaikan syarahan tentang Islam di Scandinavia, khususnya di Norway, anjuran IAIS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Eggen berkata, Norway membenarkan kebebasan beragama serta pembinaan masjid dan laungan azan bagi solat Jumaat, selain menyediakan dana bagi masyarakat Islam.

"Lawatan Raja Norway ke beberapa masjid tempatan baru-baru ini menjadi bukti jelas bahawa tidak wujud sentimen anti-Islam dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Norway, tetapi persoalan berkaitan identiti generasi kedua umat Islam di Norway tetap menjadi isu penting," kata Eggen.

Beliau berkata, kerajaan negaranya perlu segera menangani masalah penindasan dan amalan berat sebelah yang dikenakan terhadap umat Islam dalam mencari pekerjaan.
Norway menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia, kebanyakannya untuk mencari pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

Masyarakat Islam di negara itu lebih diterima oleh masyarakat tempatan, berbanding di kebanyakan negara lain, katanya.

Eggen mencadangkan supaya kerajaan Norway menambah jumlah sekolah, kemudahan perbankan Islam, tanah perkuburan dan saluran pengedaran makanan halal bagi umat Islam di negara itu. - Bernama

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...