Jumaat, Mei 07, 2010

Khalid Dedah Dua Lagi Saksi Penting

Oleh Frederick Luccas


SHAH ALAM 6 Mei - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan terdapat dua lagi saksi penting yang terlibat dalam kes tembak mati Aminulrasyid Amzah tetapi polis memilih untuk tidak mendedahkannya.
Mereka adalah penunggang motosikal yang dilanggar oleh Aminulrasyid dan pemilik kenderaan yang digeser oleh kereta yang dipandu mangsa.
"Mereka merupakan saksi yang amat relevan dalam kes ini, kerana walaupun penglibatan mereka hanya pada permulaan kejadian seperti yang diceritakan oleh rakan mangsa, Azzamuddin Omar, tetapi saksi ini adalah bukti kukuh bahawa Azzamuddin telah melaporkan apa yang benar dan tidak mereka cerita.
"Jika apa yang dikatakan pada awalnya benar dan dapat dibuktikan, maka sudah pasti laporan Azzamuddin itu benar pada hujungnya," jelas Khalid.
Beliau menerangkan apabila pemilik kereta yang digeser datang berjumpanya, saksi tersebut mengaku takut untuk membuat laporan kerana merasakan boleh ditahan reman.
"Dia pemilik kenderaan yang digeser, maknanya dia tak terlibat langsung dalam tragedi yang menimpa Aminulrasyid tetapi dia takut untuk melaporkan kepada polis.
"Inilah imej polis sekarang, rakyat takut membuat laporan kerana takut dipersalahkan tanpa sebab," tegas beliau.
Khalid juga mendesak pihak polis meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid yang ditembak mati 26 April lalu sambil menyifatkan tindakan polis adalah melampau.
Beliau berkata kejadian sebegini perlu dihentikan jika polis mahu membersihkan imejnya serta pulihkan maruah mereka.
"Polis perlu mengaku kesalahan dan meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid dan jangan mengharapkan ini akan berlalu jika polis memilih untuk mendiamkan diri sahaja", tegas beliau dalam satu sidang media di pejabatnya di sini petang tadi.
Tambah beliau rakyat kini cukup takut untuk berurusan dengan polis disebabkan imej dan persepsi yang menakutkan ini.
Khalid juga mengulas mengenai keganasan polis pada 1 Mei lalu di Dataran Shah Alam
Pihak polis didakwa bertindak meleraikan kumpulan belia dengan kekerasan sehinggakan seorang pelajar kolej swasta, Mohd Nazmi Anuar Mohd Ali berusia 20 tahun cedera dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
"Pendekatan 'shoot first, ask later' yang diguna pakai oleh polis perlu dihentikan dan polis perlu memikirkan cara untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, bukan merenggangkan lagi hubungan dengan rakyat yang makin rapuh," katanya lagi.
Khalid berkata beliau akan berusaha untuk memperbaiki dan mengembalikan keyakinan rakyat terutamanya penduduk Shah Alam terhadap polis.
Antaranya ialah program pengiktirafan untuk anggota polis Shah Alam yang menunjukkan khidmat yang cemerlang kepada rakyat.
"Warga Shah Alam perlu mensyorkan kepada kami jika mereka merasakan ada anggota polis yang menunjukkan khidmat yang cemerlang seperti membantu menolak kereta rosak atau membantu dalam apa cara sekalipun, tetapi rakyat yang perlu mencadangkan. Kami akan memberi ganjaran dengan menilai laporan rakyat sahaja", ujarnya lagi.
Program ini, katanya, akan mendapat peruntukan RM10,000 setahun di mana anggota polis akan digred untuk anugerah tempat pertama, kedua dan ketiga yang membawa hadiah wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM2,000.
"Saya harap dengan program sebegini, anggota polis akan berasa lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas mereka dan sekaligus dapat memperbaiki lagi hubungan dengan rakyat," ujar beliau.


SK


Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...