Sabtu, Mei 29, 2010

Selangor Mahu Dedahkan Nama ADUN, Ahli Parlimen BN Salahguna Kuota Rumah Kos Rendah


SHAH ALAM 29 Mei - Kerajaan Negeri Selangor akan mendedahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyalahgunakan kuota pembelian rumah kos rendah untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarga terdekat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan membuat pemantauan secara terperinci untuk memastikan kuota yang diperuntukkan kepada ADUN itu diagihkan dengan betul.

Dalam satu kenyataan Khalid menjelaskan ketika pentadbiran kerajaan BN, setiap ADUN diperuntukkan kuota untuk mengagihkan rumah kos rendah kepada mereka yang layak.
Namun, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran pada Mac 2008, kuota yang diamalkan sejak sekian lama itu telah dimansuhkan kerana diragui ketelusannya.

Pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) 27 Mei lalu, kerajaan negeri juga telah mengarahkan pemantauan dibuat terhadap setiap kakitangan kerajaan yang memiliki rumah kos rendah sejak 2004 sehingga sekarang.

"Bagi kakitangan kerajaan yang telah memiliki rumah kos rendah, mereka akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan jika terdapat unsur penyelewengan dalam pemilikan itu, tindakan sewajarnya akan diambil," kata beliau.
Menteri Besar berkata kakitangan kerajaan yang tidak layak juga akan diminta untuk menyerahkan semula rumah berkenaan kepada kerajaan negeri untuk dijual kepada mereka yang benar-benar berhak.

Sambil merujuk kepada kes Sharipah Marhaini Syed Ali dan Hanizah Katab, Khalid berkata mereka telah diminta menyerahkan semula unit yang dimiliki kepada kerajaan negeri untuk dijual.

"Tindakan ini tidak bermakna kerajaan negeri cuba menyekat mana-mana kakitangan kerajaan daripada memiliki rumah kos rendah asalkan mereka benar-benar layak serta menepati syarat dan prosedur yang telah ditetapkan.

"Ini kerana kerajaan negeri mahu memastikan pengagihan rumah kos rendah dibuat secara adil sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang ditekankan dalam pentadbiran," ujar beliau lagi.

SK


Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...